السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Kini kita mula menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w dalam suasana kelam jahiliah namun sesuai dengan pemilihannya sebagai nabi lagi rasul maka baginda terhindar daripada amalan tradisi masyarakat sekitarnya sama ada berbentuk penyembahan berhala, hiburan melampau, berfoya-foya dengan kemewahan dan tabiat buruk yang lain. Sebaliknya baginda yang diuji sejak dari kelahiran dengan kehilangan beberapa ahli keluarga terdekat yang mematangkan baginda ditambah dengan kerja-kerja harian yang secara tidak langsung mencungkil bakat kepimpinan dan manusia yang mampu berdikari sejak dari zaman remaja lagi. Oleh itu sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri terutama golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Jarum halus musuh Islam terutama Yahudi dan Kristian dalam menjauhkan umat Islam daripada mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w terus meresap dalam sanubari umat Islam yang kini berada dalam suasana jahiliah moden sehingga merasakan cara pemakaian, pemakanan, sosial, perundangan, pemerintahan yang diajar oleh nabi dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai pada masa kini. Musuh Islam tidak akan meruntuhkan masjid sebaliknya akan memperbanyakkan tempat dan program hiburan agar umat Islam menjauhi masjid. Musuh Islam tidak membakar al-Quran sebaliknya menyibukkan umat Islam dengan urusan dunia yang banyak dijadikan alasan tiada masa untuk belajar al-Quran apatah lagi memahami isi kandungan seterusnya melaksanakannya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran :
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Umat Islam dijadikan umat pilihan oleh Allah untuk dicontohi oleh orang lain sekiranya kita menunaikan segala kewajipan agama dengan sebaiknya. Sebaliknya pada hari ini umat Islam bagaikan tidak mampu menunjuk contoh yang terbaik kepada orang lain akibat menjauhi cara hidup Islam. Contohnya betapa ramai umat Islam yang tenggelam dalam hiburan melalaikan hingga terlibat dengan arak dan dadah atas alasan untuk mencari ketenangan. Inilah yang diperingatkan oleh Sayyidina Ali bahawa hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, ia akan merosakkan.
Akibat kegagalan umat Islam memberi contoh teladan yang baik malah ramai yang jahil tentang agamanya sendiri ditambah lagi usaha dakwah yang agak terbatas membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menghina syariat Islam. Usaha dalam merosakkan akhlak umat Islam oleh kerajaan sendiri melalui program maksiat terus bertambah sedangkan usaha dalam membina peribadi mulia semakin terpencil apatah lagi usaha dakwah kepada orang bukan Islam yang hidup sekitar kita sama ada sebagai rakan tempat kerja, jiran sebelah rumah, rakan niaga dan sebagainya. Bila kita renungi usaha dakwah nabi Muhammad s.a.w yang menghantar surat dan utusan kepada pemimpin-pemimpin negara dan qabilah untuk mengajak mereka kepada cahaya iman dan keadilan Islam maka pada hari ini jarang pemimpin umat Islam yang melakukannya malah apa yang lebih teruk bila pemimpin umat Islam dijadikan contoh kepada perkara yang buruk seperti rasuah, pecah amanah dan seribu macam kelakuan jahat yang lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Keindahan Islam didinding oleh keburukan akhlak yang ditonjolkan oleh umat Islam sendiri. Selagi umat Islam mencari sistem yang bercanggah dengan al-Quran selagi itulah kita dihina. Selagi umat Islam menjadikan contoh teladan pada manusia yang membenci cara hidup nabi selagi itulah kita tidak menemui ubat mujarab sebaliknya menelan racun berbisa. Bila timbul isu larangan azan atas alasan bertukar antara azan dan kuliah Subuh, mempertikai masalah berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan yang halal nikah ditambah dengan tulisan bekas Perdana Menteri Singapura yang menganggap Islam punca kegagalan menyatukan kaum di Singapura maka ia sepatutnya menyedar umat Islam tentang betapa bernilainya laungan azan yang mesti disahut dengan sama-sama datang ke masjid bukannya marah orang membantah azan sedangkan masih ramai umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak solat berjemaah malah meninggal terus solat fardhu. Jangan hanya marah kepada orang bukan Islam yang mempertikai larangan berjabat tangan sedangkan daripada pemimpin hingga rakyat di bawah bukan sahaja berjabat tangan malah bergaul bebas sehingga masalah sosial semakin parah. Malahan dakwaan sesat Lee Kuan Yew kita wajib jawab dengan tindakan yang membuktikan kepada dunia bahawa Islamlah merupakan satu-satunya agama yang berjaya menyatukan manusia yang berlainan bangsa, negara dan agama melaui syariatnya yang begitu hebat. Semua penghinaan ini juga sepatutnya membuka mata pemimpin dan kita semua bagaimana perlu menggandakan lagi usaha dalam menerangkan tentang Islam kepada orang bukan Islam. Jangan disebabkan kepentingan seperti bimbang jika orang bukan Islam semakin kenal Islam maka mereka akan benci kepada sekuler dan semangat kebangsaan sempit maka dakwah Islam tidak diperkasakan. Ambillah iktibar daripada kejatuhan Kerajaan Islam India walau pun ratusan tahun memerintah India namun antara punca jatuhnya kerajaan akibat khalifah mendengar hasutan menterinya agar tidak menjalankan dakwah kepada rakyat India yang beragama Hindu atas alasan jika mereka kekal kafir maka kutipan jizyah semakin banyak sedangkan jika rakyat India memeluk Islam menyebabkan wang zakat dan Baitul Mal habis dibelanjakan untuk diberikan kepada muallaf. Akhirnya apabila rakyat India terus kekal dengan Hindu yang menyebabkan mereka bangkit menjatuhkan kerajaan Islam. Oleh itu sebarlah Islam mengikut kemampuan kita dengan ilmu dan pelaksanaan. Ramaikan orang yang cintakan Islam dalam negara, kurangkan musuh yang bencikan Islam barulah kita mulia dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah :
إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 128-129 surah al-A’araf :
قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ قَالُوا أُوذِينَا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَأْتِيَنَا وَمِنْ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Maksudnya : (Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa". Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"
Ketika menyoroti kejatuhan pemimpin kuku besi satu demi satu dalam masa terdekat bermula di Tunisia kini merebak ke Mesir dan membahang di Yaman maka kita ingat kepada kata-kata semangat nabi Musa a.s kepada bani Israel bahawa sekuat-kuat Firaun dengan pangkat menggunung, harta bertimbun, pengikut berduyun namun akan dijatuhkan akibat kesesatan dan kezaliman. Apa yang lebih penting ialah setiap keruntuhan jahiliah mestilah diganti dengan Islam bukannya sekadar menukar kepada jahiliah yang baru. Begitulah sunnatullah yang berlaku sehingga hari ini di mana pemimpin yang zalim dan menindas rakyat dengan cara yang hampir sama iaitu membina kekayaan keluarga atas penderitaan rakyat jelata, mengekalkan kuasa dengan penipuan termasuk pilihan raya yang menyebabkan mereka dijatuhkan dengan cara hina melalui kebangkitan rakyat di jalan raya. Kita panjatkan doa kepada Allah agar diselamatkan warga dan pelajar Malaysia di Mesir serta menukar pemimpin dan corak pemerintahan kepada Islam bukannya terus menjadi boneka kepada Amerika dan Yahudi Israel. Semoga kebangkitan ini memberi sinar kepada Islam dalam menghentikan keganasan dan penindasan termasuk petanda awal kejatuhan penjenayah dunia Amerika dan Yahudi Israel serta sekutu jahat musuh Islam yang lain. Allah telah menjanjikan kepimpinan dan pemerintahan kepada hambanya yang soleh bagi memastikan keamanan dunia yang diurus berasaskan agama. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan