Jumaat, 4 Februari 2011

Sistem Islam DiTegak Penindasan Jahiliah DiTolak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Kini kita mula menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w dalam suasana kelam jahiliah namun sesuai dengan pemilihannya sebagai nabi lagi rasul maka baginda terhindar daripada amalan tradisi masyarakat sekitarnya sama ada berbentuk penyembahan berhala, hiburan melampau, berfoya-foya dengan kemewahan dan tabiat buruk yang lain. Sebaliknya baginda yang diuji sejak dari kelahiran dengan kehilangan beberapa ahli keluarga terdekat yang mematangkan baginda ditambah dengan kerja-kerja harian yang secara tidak langsung mencungkil bakat kepimpinan dan manusia yang mampu berdikari sejak dari zaman remaja lagi. Oleh itu sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri terutama golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Jarum halus musuh Islam terutama Yahudi dan Kristian dalam menjauhkan umat Islam daripada mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w terus meresap dalam sanubari umat Islam yang kini berada dalam suasana jahiliah moden sehingga merasakan cara pemakaian, pemakanan, sosial, perundangan, pemerintahan yang diajar oleh nabi dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai pada masa kini. Musuh Islam tidak akan meruntuhkan masjid sebaliknya akan memperbanyakkan tempat dan program hiburan agar umat Islam menjauhi masjid. Musuh Islam tidak membakar al-Quran sebaliknya menyibukkan umat Islam dengan urusan dunia yang banyak dijadikan alasan tiada masa untuk belajar al-Quran apatah lagi memahami isi kandungan seterusnya melaksanakannya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran :
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Umat Islam dijadikan umat pilihan oleh Allah untuk dicontohi oleh orang lain sekiranya kita menunaikan segala kewajipan agama dengan sebaiknya. Sebaliknya pada hari ini umat Islam bagaikan tidak mampu menunjuk contoh yang terbaik kepada orang lain akibat menjauhi cara hidup Islam. Contohnya betapa ramai umat Islam yang tenggelam dalam hiburan melalaikan hingga terlibat dengan arak dan dadah atas alasan untuk mencari ketenangan. Inilah yang diperingatkan oleh Sayyidina Ali bahawa hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, ia akan merosakkan.
Akibat kegagalan umat Islam memberi contoh teladan yang baik malah ramai yang jahil tentang agamanya sendiri ditambah lagi usaha dakwah yang agak terbatas membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menghina syariat Islam. Usaha dalam merosakkan akhlak umat Islam oleh kerajaan sendiri melalui program maksiat terus bertambah sedangkan usaha dalam membina peribadi mulia semakin terpencil apatah lagi usaha dakwah kepada orang bukan Islam yang hidup sekitar kita sama ada sebagai rakan tempat kerja, jiran sebelah rumah, rakan niaga dan sebagainya. Bila kita renungi usaha dakwah nabi Muhammad s.a.w yang menghantar surat dan utusan kepada pemimpin-pemimpin negara dan qabilah untuk mengajak mereka kepada cahaya iman dan keadilan Islam maka pada hari ini jarang pemimpin umat Islam yang melakukannya malah apa yang lebih teruk bila pemimpin umat Islam dijadikan contoh kepada perkara yang buruk seperti rasuah, pecah amanah dan seribu macam kelakuan jahat yang lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Keindahan Islam didinding oleh keburukan akhlak yang ditonjolkan oleh umat Islam sendiri. Selagi umat Islam mencari sistem yang bercanggah dengan al-Quran selagi itulah kita dihina. Selagi umat Islam menjadikan contoh teladan pada manusia yang membenci cara hidup nabi selagi itulah kita tidak menemui ubat mujarab sebaliknya menelan racun berbisa. Bila timbul isu larangan azan atas alasan bertukar antara azan dan kuliah Subuh, mempertikai masalah berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan yang halal nikah ditambah dengan tulisan bekas Perdana Menteri Singapura yang menganggap Islam punca kegagalan menyatukan kaum di Singapura maka ia sepatutnya menyedar umat Islam tentang betapa bernilainya laungan azan yang mesti disahut dengan sama-sama datang ke masjid bukannya marah orang membantah azan sedangkan masih ramai umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak solat berjemaah malah meninggal terus solat fardhu. Jangan hanya marah kepada orang bukan Islam yang mempertikai larangan berjabat tangan sedangkan daripada pemimpin hingga rakyat di bawah bukan sahaja berjabat tangan malah bergaul bebas sehingga masalah sosial semakin parah. Malahan dakwaan sesat Lee Kuan Yew kita wajib jawab dengan tindakan yang membuktikan kepada dunia bahawa Islamlah merupakan satu-satunya agama yang berjaya menyatukan manusia yang berlainan bangsa, negara dan agama melaui syariatnya yang begitu hebat. Semua penghinaan ini juga sepatutnya membuka mata pemimpin dan kita semua bagaimana perlu menggandakan lagi usaha dalam menerangkan tentang Islam kepada orang bukan Islam. Jangan disebabkan kepentingan seperti bimbang jika orang bukan Islam semakin kenal Islam maka mereka akan benci kepada sekuler dan semangat kebangsaan sempit maka dakwah Islam tidak diperkasakan. Ambillah iktibar daripada kejatuhan Kerajaan Islam India walau pun ratusan tahun memerintah India namun antara punca jatuhnya kerajaan akibat khalifah mendengar hasutan menterinya agar tidak menjalankan dakwah kepada rakyat India yang beragama Hindu atas alasan jika mereka kekal kafir maka kutipan jizyah semakin banyak sedangkan jika rakyat India memeluk Islam menyebabkan wang zakat dan Baitul Mal habis dibelanjakan untuk diberikan kepada muallaf. Akhirnya apabila rakyat India terus kekal dengan Hindu yang menyebabkan mereka bangkit menjatuhkan kerajaan Islam. Oleh itu sebarlah Islam mengikut kemampuan kita dengan ilmu dan pelaksanaan. Ramaikan orang yang cintakan Islam dalam negara, kurangkan musuh yang bencikan Islam barulah kita mulia dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah :
إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 128-129 surah al-A’araf :
قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ قَالُوا أُوذِينَا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَأْتِيَنَا وَمِنْ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Maksudnya : (Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa". Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"
Ketika menyoroti kejatuhan pemimpin kuku besi satu demi satu dalam masa terdekat bermula di Tunisia kini merebak ke Mesir dan membahang di Yaman maka kita ingat kepada kata-kata semangat nabi Musa a.s kepada bani Israel bahawa sekuat-kuat Firaun dengan pangkat menggunung, harta bertimbun, pengikut berduyun namun akan dijatuhkan akibat kesesatan dan kezaliman. Apa yang lebih penting ialah setiap keruntuhan jahiliah mestilah diganti dengan Islam bukannya sekadar menukar kepada jahiliah yang baru. Begitulah sunnatullah yang berlaku sehingga hari ini di mana pemimpin yang zalim dan menindas rakyat dengan cara yang hampir sama iaitu membina kekayaan keluarga atas penderitaan rakyat jelata, mengekalkan kuasa dengan penipuan termasuk pilihan raya yang menyebabkan mereka dijatuhkan dengan cara hina melalui kebangkitan rakyat di jalan raya. Kita panjatkan doa kepada Allah agar diselamatkan warga dan pelajar Malaysia di Mesir serta menukar pemimpin dan corak pemerintahan kepada Islam bukannya terus menjadi boneka kepada Amerika dan Yahudi Israel. Semoga kebangkitan ini memberi sinar kepada Islam dalam menghentikan keganasan dan penindasan termasuk petanda awal kejatuhan penjenayah dunia Amerika dan Yahudi Israel serta sekutu jahat musuh Islam yang lain. Allah telah menjanjikan kepimpinan dan pemerintahan kepada hambanya yang soleh bagi memastikan keamanan dunia yang diurus berasaskan agama. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 3 Februari 2011

125. KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W PERUBAH TAMADUN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 7 - 8 سورة الفرقان :
وقالوا مال هذا الرسول يأكل الطعام ويمشى فى الأسواق لولآ أنزل إليه ملك فيكون معه نذيرا أو يلقى إليه كنز أو تكون له جنة يأكل منها وقال الظــلمون إن تتبعون إلا رجلا مسحورا
Maksudnya : Dan mereka(orang kafir) berkata : “ Mengapakah rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?. Mengapakah tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya?. Atau (mengapakah tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan atau ada kebun baginya di mana dia dapat makan hasilnya?”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata lagi :” Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang terkena sihir”.
Umat Islam dan Rabiul Awwal begitu rapat di mana setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh pelusuk dunia sama-sama merayakan majlis memperingati Maulidur Rasul samada secara besar-besaran atau kecil-kecilan. Umat Islam sama-sama memperingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang telah banyak berjasa dalam membentuk umat manusia yang telah lama tenggelam dalam kesesatan dan tersiksa dalam kezaliman. Kelahiran baginda telah mengubah tamadun manusia daripada kegelapan jahiliah kepada suluhan sinar cahaya Islam, daripada penindasan berasaskan hukuman manusia yang sesat kepada keadilan Islam yang mampu menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Walau pun nabi Muhammad s.a.w telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun yang lalu namun setiap kali tibanya tarikh 12 Rabiul Awwal maka umat Islam sentiasa menyebut tentang riwayat hidup nabi Muhammad s.a.w bersama dengan perjuangan dakwahnya yang suci dan mukjizatnya serta pujian terhadap segala sifatnya yang terpuji yang mesti diteladani oleh seluruh umat Islam bukannya sekadar disebut dalam berzanji dan selawat sahaja. Jika umat Islam mahu kembali menjadi umat yang mulia dan dikagumi oleh dunia maka kita mesti kembali semula kepada seluruh ajaran yang telah dibawa oleh nabi kita Muhammad s.a.w dan jangan sama sekali kita hanya mengambil sebahagian hukum yang disukai dan meninggalkan sebahagian yang lain sehingga kita menjadi umat yang dihina oleh Allah akibat daripada kedegilan kita sendiri. Kejayaan nabi Muhammad s.a.w dalam membina Daulah Islamiah yang unggul di bumi Madinah Munawwarah dan seterusnya diikuti oleh khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah selepas mereka berasaskan kepada hukuman wahyu al-Quran yang adil telah membawa kepada terbinanya tamadun yang utuh yang mementingkan pembinaan insan dan kebendaan secara serentak demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Umat Islam yang dulunya tertindas di bumi Mekah telah menjadi umat mulia malah mula menjadi umat yang memerintah dunia bermula daripada bumi Madinah kerana mereka menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai perlembagaan

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ketika umat Islam sentiasa menyebut tentang kelebihan dan kemulian serta kehebatan peribadi dan sifat yang ada pada Rasulullah s.a.w maka ada juga di kalangan umat Islam sendiri yang cuba mempertikaikan beberapa sifat kemanusiaan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w seolah-olah mereka mahu menutupi kehebatan nabi dengan sifat kemanusiaan yang ada pada nabi itu. Jika pada zaman nabi adanya golongan kuffar yang sentiasa merendah-rendahkan keperibadian nabi yang dianggap tidak layak menjadi nabi lagi rasul disebabkan makan dan membeli-belah di pasar sebagaimana manusia lain serta tidak pula mempunyai harta kekayaan dan kebun disamping tiada bersamanya malaikat sebagai pembantu dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Maka pada zaman kita ini wujud golongan yang mahu merendah-rendahkan martabat nabi yang sememangnya mulia dan hebat apabila mereka lebih banyak menonjolkan tentang beberapa sifat kemanusiaan yang ada pada nabi seperti nabi berkahwin dengan ramai wanita malah mereka turut menuduh bahawa nabi mempunyai gundik bagi menunjukkan bahawa nabi merupakan seorang yang kuat nafsunya. Ini merupakan tuduhan yang sesat dan liar sedangkan antara hikmat kepada perkahwinan nabi itu sendiri ialah bagi menyebarkan dakwah Islam secara yang lebih meluas bukannya bertujuan untuk memuaskan hawa nafsu sebagaimana yang dituduh. Setiap perbuatan dan perkataan nabi berdasarkan wahyu bukannya dilakukan atas dasar mengikut hawa nafsu
Golongan ini juga cuba menonjolkan tentang kepimpinan nabi yang didakwa memulakan dasar kepimpinannya atas asas kebangsaan iaitu bangsa arab Quraisy sebelum menonjol diri dengan kepimpinan agama. Jika diteliti dari sudut sejarah sendiri maka kita dapati Rasulullah s.a.w merupakan seorang nabi yang begitu kuat menentang asabiyyah atau kebangsaan bertepatan dengan perutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri adalah untuk menjalankan dakwah kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa berbeza dengan nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini yang diutuskan untuk kaum tertentu sahaja. Kita turut diingatkan bagaimana nabi pernah menolak jawatan sebagai raja Mekah yang berdasarkan bangsa bukannya Islam. Malah nabi begitu benci dan marah kepada umatnya yang berjuang atas dasar kebangsaan sehingga kepimpinan yang berasaskan Islam ini dengan mengenepikan semangat kebangsaan telah membawa kejayaan kepada dakwah Islam semenjak di Mekah lagi apabila ramai di kalangan umat bukan arab yang memeluk Islam seperti Bilal bin Rabah dari Afrika, Salman dari Farsi dan Suhaib dari Rom. Jika nabi memulakan dasar kepimpinan atas dasar bangsa maka sudah tentu cahaya Islam ini tidak mampu menembusi hati-hati umat bukan arab dari awal permulaan dakwah nabi di Mekah lagi.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Setelah meneliti dari segi serangan dan dakwaan dalam menyerang peribadi Rasulullah s.a.w maka kita dapati bagaimana golongan ini merupakan antara mereka yang meneruskan perjuangan musuh-musuh Allah dalam menyerang Islam dan menjauhkan umat Islam daripada ajaran menyeluruh berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Jika sebelum ini golongan Syiah dan anti hadis berusaha memburukkan-burukkan para sahabat terutama perawi hadis yang bertujuan agar umat Islam dijauhkan daripada hadis nabi maka golongan ini pula cuba meracuni pemikiran umat Islam agar turut mempertikaikan keperibadian nabi Muhammad s.a.w sehingga wujudnya golongan yang hanya menerima pakai sebahagian ajaran nabi dan menolak sebahagian yang lain atas alasan bahawa nabi sendiri ada melakukan sesuatu berdasarkan nafsu bukannya wahyu.
Malah golongan ini juga cuba menghalalkan semangat kebangsaan yang diharamkan oleh Islam atas alasan bahawa nabi memulakan perjuangannya atas dasar kebangsaan sedangkan pada hakikatnya tidak begitu. Malah semangat kebangsaan ini telah dijadikan senjata yang paling berkesan oleh musuh Islam dalam menghancurkan kesatuan umat Islam terutama selepas peperangan Dunia Kedua atas dasar pecah dan perintah. Jika nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas itu berjaya meluaskan dakwah Islam sehingga runtuhnya Empayar Kristian Rom dan Empayar Majusi Parsi diikuti dengan jatuhnya Empayar Budha China dan Hindu India ditangan umat Islam yang mengenepikan semangat kebangsaan dengan mengutamakan semangat jihad Islam tetapi kini umat Islam dengan jumlah yang ramai menjadi umat yang hina kerana ditanam semangat kebangsaan dan menjauhkan diri daripada melaksanakan Islam yang menyeluruh. Yahudi terus mengganas di bumi Palestin sedangkan umat Arab Islam begitu ramai dikeliling mereka tetapi atas dasar kebangsaan maka mereka hanya mampu memerhati bumi Palestin dijadikan bumi penyembelihan terhadap saudara seagama oleh yahudi laknatullah. Atas dasar kebangsaan juga maka Pakistan sanggup bersekongkol dengan Amerika dan sekutunya dalam menyerang Afghanistan sebelum ini tetapi pada hari ini Pakistan menjadi sasaran kuffar seterusnya apabila kuffar membantu India untuk menyerang Pakistan. Umat Islam terus dibunuh di Gujerat India dan Kashmir tanpa ada bantuan daripada umat Islam dari negara jiran kerana masing-masing sedang sibuk dengan peperangan dalam negara sendiri. Pemimpin negara kita seronok dipuji oleh ketua pengganas dunia Amerika kerana mampu memenjara rakyat yang didakwa pengganas sedangkan kita tidak mampu membantu saudara seagama di Selatan Filiphina yang sedang dibunuh serta membantu umat Islam di Acheh dan Ambon. Umat Islam dijadikan senjata dalam melawan saudara seagama dan kuffar terus berseronok sebagai pemenang. Betapa hinanya umat Islam apabila meninggalkan Islam. Oleh itu kita mesti bersungguh-sungguh dalam mengembalikan semula kemuliaan dan kehebatan umat Islam dengan sama-sama kembali kepada seluruh ajaran Islam demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 116 surah Huud :
فلولا كان من القرون من قبلكم أولوا بقية ينهون عن الفساد فى الأرض إلا قليلا ممن أنجينا منهم واتبع الذين ظلموا ما أترفوا فيه وكانوا مجرمين
Maksudnya : Maka mengapakah tiada daripada umat sebelum kamu golongan yang memberi keutamaan dalam menegah daripada berlakunya kerosakan di muka bumi kecuali sebahagian di antara golongan yang telah Kami selamatkan di antara mereka. Orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan mewah yang ada pada mereka dan mereka adalah golongan berdosa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Rasulullah DiPertahan Umat Gemilang

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Ayat surah ar-Rom :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata
Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Ketika ada golongan yang anti Islam cuba memburuk-burukkan nabi Muhammad s.a.w supaya baginda dibenci dan Islam dijauhi di mana antara penghinaan yang terbaru apabila tv Israel menyiarkan bagaimana seorang yahudi dengan biadapnya mengatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w lebih hina daripada tapak kasutnya. Oleh itu ketika berada dalam bulan Rabiul Awwal ini maka kita mesti menggunakan sebaik mungkin dalam menyatakan kepada dunia bagaimana Nabi Muhammad s.a.w merupakan contoh ikutan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan manusia. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia, cara berdakwah yang lebih berkesan, cara bersosial yang lebih baik, cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.aw. Kehebatan dan keindahan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w dan Islam tidak mampu diterangkan secara tepat dan terangkan melainkan ianya dilaksanakan di atas bumi nyata

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
Kejayaan dan kemuliaan umat Islam bergantung kepada sejauh manakah kita mampu mencontohi cara hidup yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhamamd s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk berpakaian, berkeluarga, bersosial, berekonomi, memerintah dan sebagainya. Kegagalan umat Islam untuk kembali kepada ajaran dan system yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w menyebabkan kita berada dalam penuh kehinaan yang pelbagai masalah yang terus bertambah parah. Cara berpakaian dan pergaulan bebas umat Islam hari ini yang berqiblatkan barat telah meruntuhkan akhlak umat Islam. Umat Islam menukar ikutan dan idola hidup mereka dengan memuja artis dan manusia yang rosak akhlak daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan yang sebenar. Ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman musuh seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya akibat umat Islam sendiri terperangkap dalam semangat Assobiyyah yang dibencikan oleh Rasulullah s.a.w disamping memiliki pemimpin yang tidak amanah dan bencikan Islam. Rasulullah s.a.w telah menunjuk kepada dunia bagaimana ekonomi yang terbaik ialah ekonomi yang bersih daripada amalan riba dan pada hari ini terbukti bagaimana gagalnya ekonomi kapitalis sehingga banyak negara Asia dan Eropah turut melaksanakan system ekonomi Islam. Malah pakar ekonomi turut mengakui jika Malaysia kembali kepada dinar emas maka rizab negara akan bertambah dan bertahan bukannya sebagaimana hari ini yang semakin menguncup. Rasulullah s.a.w turut mendidik rakyat agar menjauhi perbuatan yang merosakkan rakyat seperti judi tetapi malangnya Malaysia semakin menggalakkan judi apabila Kementerian Kewangan telah meluluskan 10 cabutan 'special draw' (cabutan khas) pada tahun 2008 bagi mengutip lebih RM77 juta cukai untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan yang berbentuk sukan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan. Betapa hinanya bila negara ini dibiayai dengan wang judi yang merosakkan kaki judi dan pengguna wang judi termasuk orang Islam. Rasulullah s.a.w telah membawa datang perundangan yang terbaik dalam menangani pelbagai masalah termasuk kes jenayah tetapi malangnya hukum Islam pada hari ini bukan sahaja tidak dilaksana malah dihina oleh segolongan umat Islam sendiri sehingga keadaan jenayah dalam negara terus meningkat tanpa sekatan termasuk kes buli di sekolah kembali meningkat sehingga kepada pembunuhan

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 27-28 surah Az-Zumar :
وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksudnya : "Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa."
Rasululllah s.a.w lahir dalam masyarakat arab yang terkenal dengan ketinggian gaya bahasanya lalu wahyu al-Quran pun turun dalam bahasa Arab dalam mengalahkan penyair-penyair arab yang selama ini berbangga dengan kehebatan syair mereka. Turunnya al-Quran menggunakan bahasa arab turut mengajar kita bagaimana dalam menjayakan sesuatu kerja maka kita mesti menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran sebagaimana matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa Arab sebagai pengantar ialah untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab. Bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia. Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam daripada Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini. Oleh itu melalui mimbar Jumaat pada hari ini kita menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh pejuang bahasa termasuk himpunan 100 ribu esok di Kuala Lumpur dalam mendesak agar kerajaan menghapuskan pengajian Inggeris dalam Sains dan Matematik. Tidak cukup lagikah dengan pengkhianatan terhadap tulisan jawi sehingga lahirnya umat Islam yang bukan sahaja buta jawi malah turut buta al-Quran dan agama. Pengurangan kepada penggunaan bahasa Melayu merupakan suatu pengkhianatan terhadap bangsa dan agama. Ingatlah bagaimana usaha gigih ulama’ Nusantara silam yang berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mengembangkan Islam dan menyatukan rakyat terutama di Asia Tenggara. Bahasa melambang kehebatan bangsa. Ibnu Khaldun pernah menyatakan betapa bangsatnya suatu bangsa yang bergantung kepada bahasa penjajahnya untuk mencapai kemajuan

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ketika menyambut Maulidurrasul ini kita tidak lupa bagaimana adanya pihak yang selama ini sentiasa cuba untuk melunturkan pegangan umat Islam terhadap Islam dengan tuntutan dan tindakan yang melampau. Kita pernah berdepan dengan usaha dalam menghancurkan peranan Mahkamah Syariah, usaha dalam menghalalkan murtad termasuk kes Lina Joy. Pada hari ini isu penggunaan nama Allah dalam majalah Kristian kembali bergema sedangkan adanya penafian paderi sendiri yang menyatakan bahawa tidak pernah ada penggunaan Allah dalam Bible. Kita bimbang kesungguhan dalam meminta penggunaan nama Allah ini oleh Kristian akan mengaburkan lagi pegangan yang sebenar terhadap makna Allah yang sebenar mengikut ajaran Islam sedangkan kita jelas bagaimana makna Tuhan dalam Kristian jauh berbeza dengan Allah yang kita percaya iaitu Tuhan yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Kita tidak mahu akan terjadi beri betis mahu peha kerana sebelum ini banyak lagi permintaan Kristian antaranya dakwaan permintaan untuk memasukkan modul Kristian dalam Program Latihan Khidmat Negara walau pun khusus untuk orang bukan Islam tetapi bimbang terbias kepada pelajar Islam yang hari ini semakin ramai yang tidak faham Islam apatah lagi berpegang kepada ajaran Islam sehingga ada yang memohon untuk murtad secara terbuka. Bersatulah kita dalam mempertahan dan mengembangkan Islam walaupun terpaksa menggadaikan nyawa
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

8. Rasulullah DiJulang Jahiliah DiBuang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w. Bangsa baginda adalah arab tetapi Islam yang dibawa dianuti oleh semua bangsa bukannya terbatas kepada bangsa arab sahaja. Tempat kelahiran baginda pula di Mekah namun dakwah Islam dirasai oleh umat seluruh pelusuk dunia tanpa terhad di sekitar bumi arab sahaja. Pada diri nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik. Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.



Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

قال الرسول e : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ

- متفق عليه

Maksudnya: Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia

Antara adab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada nabi ialah : [1] mentaati nabi dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia [2] Cinta kepada nabi dan menghormatinya lebih daripada segala yang lain [3] Cinta kepada orang yang dicintai oleh nabi dan benci kepada orang yang dibenci oleh nabi, redha dengan apa yang diredhai oleh nabi dan marah kepada apa yang dimarahi oleh nabi [4] Menjunjung tinggi nabi dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlak nabi [5] Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh nabi samada daripada urusan agama atau dunia [6] Menghidupkan sunnah nabi, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan nabi [7] Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam nabi dan dalam masjid nabawi bagi yang berkesempatan ke sana [8] Cinta kepada ulama’ dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana nabi cinta kepada golongan tersebut. Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab nabi benci dan memusuhi golongan ini



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Tanda kasih dan sayang kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w tidak cukup sekadar memuji sifat dan perjalanan hidupnya sahaja tetapi kita mesti melaksanakan segala ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kita juga wajib menjauhi segala tegahan yang disampaikan oleh nabi tanpa ada rasa ragu. Akhir-akhir ini kita dapati bagaimana media massa termasuk tv, radio, akhbar dan sebagainya cuba membangkitkan semangat kebangsaan atau perkauman sempit yang merbahaya terutama di negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Golongan yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa bangun menonjol diri kepada masyarakat dengan menyeru supaya kembali bersatu atas dasar bangsa demi memastikan kedaulatan bangsa terus dipertahankan. Golongan ini hanya bertempik menjaga kedaulatan bangsa setelah tersepit kerana kuasa mereka digoyah oleh rakyat yang bencikan kezaliman dan penindasan. Ketika berada dipuncak pemerintahan dengan kuasa begitu besar hasil sokongan rakyat maka kita dapati golongan ini tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab kepada bangsa dan agama membiarkan masalah murtad tanpa menghiraukan agar digubalkan suatu undang-undang berdasarkan Islam bagi menangani masalah yang menggugat agama ini. Golongan ini juga begitu rakus menarik bantuan kepada sekolah agama rakyat serta menuduh sebagai sarang pengganas sehingga banyak yang terpaksa ditutup, penafian biasiswa kepada pelajar dengan menukar kepada pinjaman riba yang membebankan, meruntuh masjid dan menyekat kebebasannya sedangkan dalam masa yang sama aktiviti maksiat dan hiburan melampau diberikan kebebasan yang sepenuhnya sehingga kerosakan akhlak rakyat bertambah melarat. Malah apa yang lebih malang apabila ketika berlangsungnya kempen pilihanraya baru-baru ini kita dapati adanya pihak tertentu yang menghina Islam dengan tindakan yang boleh merosakkan aqidah dengan menulis sepanduk “ Mampus Bersama Islam dan Hidup Melayu” , “ Pergi Jahannam Islam Hidup Melayu” dan seumpamanya. Inilah antara bahayanya bila berpegang kepada semangat kebangsaan yang sempit bila bangsa dianggap lebih berharga dan bernilai daripada agama sehingga golongan ini tanpa rasa bersalah sanggup menghina Islam. Kita mesti yakin bahawa mulianya sesuatu bangsa kerana berpegang kepada Islam dan hina serta mundurnya suatu bangsa kerana membuang Islam daripada kehidupan mereka. Ingatlah kita kepada kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur ketika beliau berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang berbunyi :

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ

Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan dengan sesuatu yang bukan apa yang telah dimuliakan kita dengannya iaitu Islam maka kita akan dihina oleh Allah.



Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Ketika menyambut Maulidurrasul ini kita sepatutnya ingat dan patuh kepada amaran keras nabi tentang bahayanya Assobiyah atau semangat kebangsaan sempit. Berjayanya Daulah Islamiah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w sehingga diteruskan oleh para Khulafa’ Rasyidin dan khalifah-khalifah Islam selepas itu sehingga menguasai dunia antaranya dengan menghapuskan semangat assobiyah yang merbahaya ini. Jatuhnya Khilafah Islamiah Turki sehingga umat Islam sampai hari ini berpecah tanpa tunduk pada suatu pemerintah antara puncanya ialah kejayaan yahudi dan Kristian membangkitkan semula semangat kebangsaan sempit sehingga orang arab terutamanya merasakan bahawa Khilafah Islamiah Turki untuk bangsa Turki bukannya untuk orang arab dan seluruh umat Islam sehingga mereka dengan semangat kebangsaan arab tanpa rasa bersalah menjatuhkan Khilafah Islamiah Turki. Kita sendiri pernah melalui peristiwa berdarah 13 Mei akibat perasaan perkauman yang sempit. Oleh itu kita jangan terpedaya dan tertipu dengan permainan golongan yang melaungkan semangat kebangsaan ini kerana mereka hanya mencari peluang untuk meraih simpati demi kepentingan peribadi bukannya untuk bangsa dan agama. Mereka ingin menutup penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, rasuah dan jenayah yang meningkat dengan laungan kebangsaan sempit. Ingatlah sebuah hadis daripada Jabir bin Mut’im

قال الرسول e : لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya : Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asobiyah, bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asobiyah dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati atas dasar asobiyah



Daripada Wa’iah bin al-Asqa’ katanya :

قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ الله! مَا العَصَبِيَّةُ؟ قَالَ : أَنْ تُعِيْنَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ

Maksudnya : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Apakah itu Asobiyah?. Lalu sabda baginda : Engkau menolong kaummu di atas dasar kezaliman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Selasa, 1 Februari 2011

135. RASULULLAH S.A.W DAN TARBIAH

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat :
هو الذى بعث فى الأميين رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفي ضلل مبين
Maksudnya : Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang rasul di kalangan mereka, yang membaca ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajar kepada mereka tentang Kitab dan segala hukum-hakam. Dan sesungguhnya mereka sebelum ini benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.
Kalimah berzanji dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w terus dialun bagi memeriahkan lagi ketibaan Rabiul Awwal yang pernah melakarkan peristiwa bersejarah dengan kelahiran bayi bertuah pada tahun Gajah di Kota Mekah oleh Siti Aminah ibu yang tabah setelah kematian suaminya Abdullah. Kelahiran nabi pada awal tahun Gajah di mana pada tahun tersebut, tentera bergajah pimpinan Abrahah datang menyerang Mekah bertujuan meruntuhkan Ka’abah. Datuk nabi iaitu Abdul Muttalib ketika bertemu Abrahah bagi menuntut 200 ekor unta yang dirampas oleh Abrahah telah disoal tentang tindakannya yang bersungguh menuntut unta bukannya bertegas dalam menahan tentera bergajah daripada merobohkan Ka’abah. Lalu Abdul Muttalib dengan tegas menyatakan bahawa beliau adalah pemilik unta manakala Ka’abah mempunyai pemiliknya yang sentiasa menjaganya daripada sebarang pencerobohan. Setelah kembali ke Mekah lalu Abdul Muttalib bersama beberapa orang lagi pembesar Quraisy telah berdoa kepada Allah di sisi Ka’abah agar dilindungi Ka’abah lalu Allah telah menghantarkan tenteranya iaitu burung Ababil sehingga tentera bergajah Abrahah dihancurkan. Di sini kita mesti yakin bahawa pertolongan Allah sentiasa bersama mereka yang benar-benar berjuang untuk meninggikan agama Allah dan musuh walau pun pada zahirnya nampak kuat akan dihancurkan oleh Allah dengan mudah. Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi adalah doa yang dimaqbulkan.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Keberkatan Allah telah melimpah ke atas nabi semenjak kecil lagi di mana ketika qabilah bani Sa’ad yang terkenal dengan penyusuan dan kefasihan bahasa datang ke Mekah lalu ditawarkan baginda untuk disusui oleh tetapi mereka menolak termasuk Halimah Sa’diyah sendiri kerana mereka hanya menerima bayi yang bapanya terkenal sedangkan nabi adalah anak yatim yang tidak mempunyai harta yang banyak. Namun begitu Allah telah meniupkan perasaan kasih ke dal;am hati Halimah Sa’diyah dan mengilhamkan agar diambil nabi untuk disusukan. Akhirnya setelah gagal mendapatkan bayi lain untuk disusukan lalu Halimah Sa’diyah mengambil nabi untuk dibawa pulang. Kehidupannya selepas itu terus berubah dimana tanamannya menjadi subur, binatang ternakannya telah membiak dan mengeluarkan susu yang banyak. Setelah genap 2 tahun lalu dihantar nabi kepada Siti Aminah dan dia meminta agar dibenarkan untuk terus menjaga nabi lalu Siti Aminah membenarkan Halimah Sa’diyah untuk terus menjaga nabi kerana bimbang dengan keadaan Kota Mekah yang begitu berat masalah sosialnya. Sehinggalah nabi berumur 4 atau 5 tahun maka 2 malaikat telah datang untuk membelah dadanya bagi membersihkan hatinya dengan air zamzam. Halimah Sa’diyah yang bimbang tentang keadaan nabi terus membawanya bertemu Siti Aminah lalu dijelaskan mengenai perkara itu lalu dengan tenang Siti Aminah menyatakan bahawa bukan syaitan yang datang membelah dada anaknya tetapi ia merupakan kehendak Allah memandangkan anaknya itu merupakan orang yang mulia berdasarkan mimpinya ketika mengandung nabi di mana dilihat cahaya terang benderang yang keluar telah menyinari seluruh tanah arab. Inilah ia antara keberkatan yang melimpahi nabi di mana dakwah Islam yang dibawanya bermula dari tanah arab terus berkembang sehingga serata dunia disamping pengajaran bagaimana hati merupakan anggota yang penting ke arah memperelok akhlak di mana jika rosak hati maka rosaklah diri kita. Bila hati dijangkiti dengan penyakit tamakkan dunia maka akan tergadailah hari akhirat.



Sidang Jumaat yang dikasihi,
Nabi menerima tarbiah daripada Allah secara langsung sehingga lahir dengan akhlak yang tinggi. Antaranya Rasulullah s.a.w ketika berumur 6 tahun telah diuji dengan kematian ibundanya Aminah di Abwa’. Setelah beberapa tahun berada dalam jagaan datuknya Abdul Muttalib maka ketika nabi berumur 8 tahun datang pula ujian dengan kematian datuknya dan penjagaannya selepas itu berpindah kepada bapa saudaranya Abu Tolib. Ujian ini begitu besar bagi seorang anak kecil yang begitu memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya dalam menjalani proses kedewasaan. Tarbiah ini menimbulkan kasih sayang nabi kepada anak yatim dan orang miskin sehingga baginda lahir sebagai pemimpin Agong yang dikasihi oleh setiap lapisan masyarakat. Tidak pernah timbul soal mementingkan kemewahan diri sendiri sehingga setelah kewafatan ada baju perang milik nabi masih tergadai di kedai seorang yahudi. Kesederhanaan yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w dicontohi oleh para sahabat dan beberapa pemimpin Islam yang lain seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah membahagikan seluruh barangan di istananya apabila tiada barangan lain untuk dibahagikan kepada rakyat miskin. Menjadi suatu perkara yang menakjubkan apabila dalam masa 2 tahun pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz maka masalah kemiskinan berjaya diselesaikan sehingga wang di Baitul Mal penuh dan hasil kutipan zakat bertimbun tidak habis dibahagikan. Khalifah memerintahkan agar wang itu diberi kepada pemuda yang mahu berkahwin. Apabila ada seorang gabenor yang menulis surat kepada khalifah untuk meminta wang tambahan kerana peruntukan tidak mencukupi lalu Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengutus surat yang memberi kata dua yang berbunyi samada engkau berlaku adil atau pun engkau akan diazab. Ini adalah kerana jika gabenor itu berlaku adil maka wang akan mencukupi atau pun lebih kerana rakyat akan sentiasa membantu kerajaan yang berlaku adil kepada mereka. Sebaliknya wang peruntukan tidak akan mencukupi jika ia disalahgunakan sehingga menafikan hak orang lain.
Perkara ini berbeza dengan keadaan kita hari ini di mana kebanyakan pemimpin yang dahulunya susah tetapi setelah menjadi pemimpin maka mereka mampu hidup mewah dimahligai yang indah hasil rompakan terhadap wang rakyat. Rakyat jelata turut terpengaruh dengan gelagat pemimpin sehingga mereka berusaha dalam mencari kekayaan untuk turut hidup mewah sebagaimana pemimpin mereka sebagai membenarkan lagi sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa antara tanda qiamat ialah orang miskin akan membina bangunan yang tinggi. Kadang-kadang mereka terlibat dengan benda haram seperti rasuah, riba dan ramai juga yang terpesona dan terpedaya dengan skim cepat kaya sehingga suasana mengejar kemewahan dunia telah memenuhi ruang pemikiran yang menyebabkan banyak kewajipan agama telah diabaikan. Banyak masa dihabiskan untuk mengejar dunia sehingga masa untuk beribadat bagi menambahkan bekalan akhirat semakin hari semakin sedikit.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Keseronokan dalam mengadakan majlis bacaan berzanji dan selawat janganlah sekadar untuk memuji keelokan akhlak Rasulullah s.a.w sahaja tetapi ia mesti disertakan dengan pengamalannya dalam kehidupan seharian. Kita juga mesti bersungguh dalam melaksanakan segala sunnah Rasulullah s.a.w di mana sunnah yang paling besar ialah menegakkan Daulah Islamiah bagi menjamin keadilan Islam mampu terlaksana dalam semua aspek kehidupan bukannya dalam masalah ibadat khusus sahaja. Jangan kita jadikan sambutan Maulidurrasul yang disambut sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Lahab yang memerdekan hambanya Suwaibah kerana terlalu gembira dengan kelahiran nabi Muhammad tetapi dialah orang yang paling kuat menentang Islam apabila nabi mula menyampaikan dakwah Islam. Jangan pula kita jadikan diri kita sebagaimana yahudi yang mengenali sifat Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak sendiri tetapi merekalah golongan pengkhianat yang cuba membunuh nabi. Ini dapat kita lihat ketika nabi berusia 12 tahun telah keluar menuju ke Syam untuk berniaga bersama dengan Abu Tolib. Setelah tiba di Busra rombongan ini telah berjumpa dengan Rahib Buhaira lalu dia melihat tapak tangan Rasulullah s.a.w. Selepas itu dia meminta agar nabi segera dibawa pulang ke Mekah agar tidak dijumpai oleh yahudi kerana mereka pasti akan membunuhnya. Kita tidak mahu menjadi sebagaimana yahudi di mana kita semua tahu mengenai diri Rasulullah s.a.w dan juga segala ajarannya tetapi kitalah yang menjadi golongan yang tidak mengamalkan ajaran Rasulullah malah menentang hukum Islam yang tidak bersesuaian dengan nafsu kita.
Firman Allah dalam ayat 2 surah Muhammad :
والذين ءامنوا وعملوا الصــلحت وءامنوا بما نزل على محمد وهو الحق من ربهم كفر عنهم سيئاتهم وأصلح بالهم
Maksudnya : Dan orang-orang beriman dan mengerjakan amalan soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka,Allah akan menghapuskan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

94. MAULIDURRASUL SEMARAKKAN PERJUANGAN ISLAM

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:
محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم ترئهم ركعا سجدا يبتغون فضلا من الله ورضـونا سيماهم فى وجوههم من أثر السجود ذلك مثلهم فى التورئة ومثلهم فى الإنجيل كزرع أخرج شطئه فئازره فاستغلظ فاستوى على سوقه يعجب الزراع ليغيظ بهم الكفار وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصــلحــت منهم مغفرة وأجرا عظيما
Maksudnya : Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir serta berlemah lembut sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda mereka nampak jelas pada muka mereka daripada kesan sujud. Demikianlah sifat mereka dalam Taurat dan sifat mereka dalam Injil iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu membesar dan tegak lurus di atas pokoknya di mana tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah hendak menyakitkan hati orang-orang kafir dengan kekuatan orang-orang mukmin. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar
Rabiul Awwal pernah mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhbir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran bagaikan mentari yang bercahaya terang menerangi alam semesta yang dulunya diselubungi kegelapan jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Sudah menjadi sunnatullah di mana setiap yang batil akan dikalahkan oleh yang hak, setiap kesesatan nafsu akan dikuburkan oleh kebenaran wahyu, setiap kegelapan jahiliah akan dihilangkan dengan cahaya Islam dan setiap ancaman kekufuran akan dipadamkan oleh siraman keimanan. Oleh itu, Allah melalui para rasulNya termasuk nabi kita Muhammad s.a.w telah memberi petunjuk yang jelas kepada umatnya dalam membeza antara yang hak dan batil seterusnya menyuruh agar diikut ajaran yang benar dengan menolak sebarang ajaran yang sesat. Ini ditambah pula dengan betapa sempurnanya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman di mana ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk aqidah, ibadat, muamalat, perundangan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kedatangan Rabiul Awwal kali ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh umat Islam pada hari ini untuk kembali semula kepada semua ajaran dan sistem Islam yang menyeluruh agar kita kembali menjadi umat mulia. Apa gunanya kita menghabiskan wang yang beribu dalam memperingati hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w sedangkan apabila dituntut agar dilaksanakan seluruh ajaran nabi maka kita tidak mahu. Bezakanlah sambutan Maulidurrasul yang kita adakan saban tahun dengan Maulidurrasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Kita mesti ingat bagaimana Abu Lahab sanggup memerdekakan hambanya Suwaibah serta menyembelih 100 ekor unta kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi akhirnya apabila nabi menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam maka dialah antara mereka yang paling utama menentang nabi sehingga dia mengatakan celaka kepada nabi tetapi Allah telah menyatakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil yang celaka bukannya nabi sebagaimana yang tertera dalam surah al-Masad. Kita dapat saksikan bagaimana permusuhan Abu Lahab terhadap nabi begitu kuat antaranya dia sanggup mengahwinkan dua orang anaknya dengan anak nabi iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthom tetapi apabila nabi menyatakan kenabiannya maka Abu Jahal menyuruh agar kedua anaknya itu menceraikan anak nabi bagi menambah bebanan dan tekanan terhadap nabi. Begitu juga ketika berlakunya pemulauan terhadap suku Bani Hashim maka Abu Lahab turut serta memulaunya walau pun dia sendiri dari suku yang sama kerana bencinya terhadap nabi. Manakala isterinya Ummu Jamil sanggup menyakiti nabi dengan meletak duri disepanjang jalan yang digunakan oleh nabi.
Oleh itu umat Islam perlu sedar dan insaf bahawa sambutan Maulidurrasul yang diadakan mestilah selari antara apa yang dipuji dalam bacaan berzanji dan selawat dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Janganlah pula kita begitu bersungguh memuji akhlak nabi dan cara baginda menangani masalah sosial dengan sistem Islam sedangkan adanya umat Islam hari ini yang berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pengajian agama sedangkan dalam masa yang sama menggalakkan hiburan yang melalaikan serta penambahan kelab malam yang lebih banyak melahirkan pelacur dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan kita hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan arak sedangkan adanya umat Islam yang mengizinkan pembinaan 27 kilang arak dalam negara. Jangan hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan judi yang banyak membawa masalah kepada negara sedangkan adanya umat Islam yang terang-terang memberi lesen dalam menambah bilangan pusat perjudian dalam negara. Jangan hanya tahu memuji nabi yang telah berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia serta berusaha dalam memperkukuhkan aqidah dan mengawal daripada berlakunya murtad dengan perundangan Islam sedangkan umat Islam hari ini bukan sahaja tidak melakukan kerja dakwah bersungguh-sungguh malah aqidah umat Islam semakin tercabar disamping tiada hukuman Islam bagi membasmi kemurtadan yang bertambah serius memandangkan perundangan yang ada itu sendiri telah pun murtad bagaimana mahu menjaga umat Islam daripada murtad. Jangan hanya tahu memuji nabi yang mampu membina ekonomi berasaskan Islam yang kukuh dengan menghapuskan riba sedangkan umat Islam hari ini ramai yang terus bergelumang dengan riba serta negara dihantui oleh masalah ceti haram yang sememangnya menghidupkan amalan riba.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sambutan Maulidurrasul s.aw yang kita adakan saban tahun jika benar-benar dilakukan dengan ikhlas kerana Allah sebagai menyambut tubuh dan seluruh ajaran yang dibawa oleh nabi akan menjadi dalil dalam menjawab tohmahan dan cacian tokoh kafir Quraisy yang pernah mengatakan : “ Biarkan Muhammad kerana dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”. Nabi Muhamma s.a.w yang diuji dengan kewafatan kesemua anak lelakinya ketika kecil iaitu Qasim, Abdullah dan Ibrahim agak tertekan dengan cacian tersebut sehinggalah Allah menghiburkan nabi dengan turunnya ayat 1-3 surah al-Kauthar :
إنا أعطيناك الكوثر فصل لربك وانحر إن شانئك هو الأبتر
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah ruah. Oleh itu, dirikanlah solat dengan ikhlas kerana Tuhanmu dan korbankanlah pada hari raya haji. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau maka dialah orang yang putus keturunan.
Surah ini menyatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w dikurniakan nikmat yang terlalu banyak dan berterusan serta menolak dakwaan bahawa dakwah nabi akan terputus kerana tiada anak lelaki yang bakal meneruskan dakwahnya. Sebaliknya Allah menyatakan bahawa mereka yang kufur sebenarnya yang terputus kejahatannya kerana nama nabi Muhammad s.a.w terus disanjung sehingga hari ini sedangkan mereka yang menentangnya terus dilupa. Malah dakwah Islam terus berkembang sehingga seluruh pelusuk dunia sedangkan kekufuran yang dibawa oleh oleh musuhnya terus lenyap. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus kerana ia tetap menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar-umbinya jauh ke dalam. Sebaliknya apa yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan walau bagaimana pun ia membesar dan kuat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Semoga kehadiran Rabiul Awwal kali ini memberi sinar kepada umat Islam sebagaimana bersinarnya dunia setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. Umat Islam mesti kembali bersatu atas landasan Islam dengan menolak sekuler dan semangat kebangsaan sempit. Umat Islam mesti bersatu atas dasar iman dengan menolak ideologi ciptaan manusia yang sesat dan membawa kepada kekufuran. Cukuplah dengan penjajahan baru yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan penderitaan umat Islam di Palestin terutama Menteri Dalam Negeri Israel telah mengumumkan bahawa yahudi dibenarkan masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa untuk beribadat. Jangan tunggu sehingga satu demi satu negara umat Islam dijajah barulah kita mahu bersatu terutama Asia Tenggara kini mula bergolak kembali setelah Asia Barat dihancurkan. Selatan Filiphina telah kembali bertelagah setelah gencatan senjata ditarik balik. Kedudukan Acheh bagaikan menunggu masa untuk dihancurkan oleh saudara seagama Indonesia walau pun usaha baru damai sedang dijalankan. Malah tuduhan bahawa militan Islam terlibat dalam menyerang kem tentera di Yala tidak lebih daripada usaha Thailand dalam menjemput Amerika membuka pusat anti pengganas di Selatan Thailand yang diduduki oleh majoriti umat Islam. Oleh itu kembalilah bersatu sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :
مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan
Bersungguh dalam bersatu dengan Islam sebagai wadah perjuangan. Semarakkan semangat jihad agar kita tidak terus menjadi mangsa penindasan kuffar. Kita tidak akan sama sekali tunduk kepada kekufuran. Biar bermandi darah asalkan Islam kembali gagah. Biar darah membasahi bumi asalkan Islam dijulang tinggi. Yakinlah kepada pertolongan Allah dan kemenangan yang dijanjikan. Umat Islam yang bermaruah tidak sama sekali menyerah kalah walau pun kita sedar bahawa kemenangan Islam bukannya mudah. Biar pelbagai ujian, halangan, cabaran dan tentangan yang datang dalam perjalanan mencari keredhaan Allah namun perjuangan Islam mesti diteruskan sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.
Firman Allah dalam ayat 65 surah al-Anfal:
يـــأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون
Maksudnya : Wahai nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ