السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Fathu :
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi ganjaran kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.
Kini kita sudah berada di penghujung bulan Zulkaedah yang pernah mencatat beberapa peristiwa besar dan bersejarah antaranya telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy. Mereka merasa begitu gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun kedatangan mereka ke Mekah bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh yang membawa kepada berlangsungnya Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah. Ketika kaum muslimin sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Melalui Perjanjian Hudaibiah inilah walau pun dari segi zahir ramai melihat tidak menguntungkan Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ia menjadi pemangkin sehingga terjadinya Pembukaan Kota Mekah beberapa tahun selepas itu akibat perlanggaran terhadap perjanjian oleh kuffar. Ini jauh berbeza dengan perjanjian yang ditandatangani oleh segelintir pemimpin umat Islam dengan kuffar hari ini yang dipermainkan oleh musuh sesuka hati sebagaimana yang berlaku di bumi Palestin akibat hilang rasa gerun musuh kepada umat Islam
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Peristiwa besar yang lain yang pernah berlaku pada bulan Zulkaedah ialah Peperangan Bani Quraizah yang meletus sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah. Rasulullah s.a.w yang baru pulang daripada Peperangan Ahzab didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyeru supaya nabi mesti segera memerangi yahudi Bani Quraizah lalu baginda bersama dengan 3 ribu orang tentera terus menuju ke tempat tersebut di mana yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam sehingga musuh akhirnya menyerah diri. Akibat kejahatan yahudi Bani Quraizah itu yang bukan sahaja mengkhianati janji dengan bersekongkol bersama tentera Ahzab kuffar tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu maka kaum lelaki dijatuhkan hukuman bunuh manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam. Pertolongan Allah datang bila umat patuh dan taat serta cintakan Allah dan rasulNya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 140 surah an-Nisa’ :
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Ertinya: Dan Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur’an bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua golongan munafik dan golongan kafir dalam Neraka Jahanam.
Pada hari ini hilangnya perasaan gerun dalam hati kuffar terhadap umat Islam kerana kebanyakan umat Islam sendiri terkena penyakit “al-Wahnu” iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu takut kepada mati. Apa yang lebih malang bila umat Islam sendiri samada sedar atau tidak sedar mempersendakan agama mereka sendiri senada dengan kuffar. Ketika seluruh umat Islam yang cintakan Islam dan nabi Muhammad s.a.w bangkit mengutuk terhadap pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalui kartunnya, seorang ahli parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya, ‘Fitna’, Tentera Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya, Salman Rushdi menghina Nabi dan al-Quran melalui tulisannya, pelampau Kristian yang mengoyak dan membakar al-Quran di Eropah tiba-tiba kita dikejutkan dengan penghinaan terhadap Islam dan nabi Muhammad s.a.w dalam Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu di mana kebanyakan yang terlibat sebagai peganjur adalah beragama Islam. Pertunjukan bukan sahaja tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan nama nabi Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis, belahan buah dada, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara terangan dan menamakannya sebagai Islam. Penganjur seolah-olah meghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh Allah demi menjaga hati musuh Islam. Oleh itu sempena berada pada hari Jumaat yang mulia dalam masjid yang mulia kita wajib bangun mengecam tindakan jahat dan tidak bertamadun ini serta mendesak agar mereka yang terlibat segera memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam dan bertaubat kepada Allah.
Mereka sepatutnya takut kepada Allah dan azabnya yang begitu dahsyat disamping malu kepada masyarakat barat sendiri yang mula merasai bagaimana pakaian seksi dan menjolok mata boleh menyebabkan masalah kerosakan akhlak. Kita dapat baca berita terbaru di mana ada sebuah Bandar persisiran pantai di Itali akan menyaman sehingga RM 2000 kepada mereka yang memakai skirt pendek atau menjolok mata sedangkan kita di sini lebih menggalakkan lagi pemakaian yang bertelanjang sehingga maruah diri lebih murah daripada besi buruk dan bangkai
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Ketika masalah jenayah dan akhlak semakin teruk dan buruk tiba-tiba pemimpin mengistiharkan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam dengan menambah kelab malam dan zon hiburan serta melonggar syarat hiburan demi mengaut keuntungan daripada kehancuran akhlak. Tindakan bacul dan tindakan tidak bertamadun ini dilihat bukan untuk menyelesaikan masalah sebaliknya menempah lebih banyak bala Allah, menyiram cuka di tempat luka. Pemimpin seolah-olah tidak menemui cara terbaik dalam menjana ekonomi melainkan dengan cara jahiliah termasuk menggadai maruah rakyat. Jika baru-baru ini pemimpin begitu sibuk membicarakan bagaimana cara menangani masalah pembuangan bayi sehingga terbinanya sekolah hamil dan lawatan ke Belgium bagi mencari formula untuk ubati penyakit yang semakin membarah tetapi kini dibuka pula tempat maksiat yang menjadi tempat membiak anak luar nikah. Tindakan terkutuk ini seperti mahu melahirkan rakyat yang hanyut dengan hiburan sehingga tidak lagi menghirau masalah penyelewengan dalam negara. Rakyat dibutakan mata, dipekakkan telinga dengan hiburan supaya tidak lagi menghirau bagaimana negara menanggung hutang yang semakin banyak dengan nisbah setiap rakyat terpaksa menanggung 14 ribu seorang hutang akibat penyelewengan dan pembaziran disamping kerugian akibat rasuah RM 10 bilion setahun. Pemimpin sepatutnya takut kepada Allah dan azabNya terutama bila berlakunya tsunami terbaru dan letupan Gunung Merapi di Indonesia. Pemimpin yang sebenar ialah orang membina akhlak umat bukan merosakkannya. Bila nafsu serakah dijadikan tuhan dan wahyu Allah diketepikan maka tunggulah kehancuran dan kehinaan di dunia dan akhirat. Ingatlah suatu peringatan daripada nabi s.a.w :
أَنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ لآدَمَ: إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكَ أَنْ تُبْعَثَ مِنْ ذُرِّيَّتِكَ بَعْثًا إِلَى النَّارِ ، فَيَقُوْلُ: يَا رَبِّ مِنْ كَمْ؟ فَيَقُوْلُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُمِائَةٌ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُوْنَ, وَ وَاحِدٌ فيِ الجَنَّةِ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah swt berfirman kepada nabi Adam a.s : Sesungguhnya Allah akan membangkitkan zuriat kamu dengan sekumpulan akan dimasukkan ke neraka, maka berkata nabi Adam : Wahai Tuhanku, berapa ramai jumlah mereka. Firman Allah : dari setiap seribu orang, seramai 999 akan ke neraka dan hanya seorang ke syurga. ( Riwayat Ahmad & At-Tabrani dengan sanad yang baik)
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan