الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1 -5 surah al-‘Alaq :
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya : Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Hari ini kita berada pada tanggal 17 Ramadhan yang merupakan tarikh keramat yang pernah menyaksikan turunnya wahyu pertama kepada nabi Muhammad s.a.w ketika sedang berkhalwat munajat kepada Allah di gua Hira’. Penurunan wahyu ini sebagai tanda pengiktirafan nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul yang akan mengermbangkan dakwah Islam ke seluruh alam. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar untuk nabi Muhammad s.a.w yang kekal hingga hari qiamat di mana ia memperlihatkan bagaimana kehebatan dan kebijaksanaan nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sebagai seorang ummi tidak tahu membaca dan menulis tetapi mampu mengingati al-Quran setiap kali ia diturunkan dengan baik. Sifat tidak tahu membaca dan menulis yang ada pada nabi Muhammad s.a.w bukan untuk melemah dan merendahkan martabat nabi sebaliknya sebagai bukti jelas bahawa al-Quran bukannya kitab rekaan dan hasil penulisan nabi sendiri sebagaimana yang didakwa oleh penentangnya. Malah pada zaman jahiliah setiap penyair hebat akan menyembunyikan tentang status pembelajarannya bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa kehebatannya menulis syair adalah kerana kepintarannya sendiri bukan disebabkan dia belajar dari mana-mana guru sebelum ini. Mukjizat al-Quran akan lebih terserlah kehebatannya apabila umat Islam kembali membacanya serta menjadikannya sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Umat Islam kian ketinggalan dalam serba-serbi khususnya aspek ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam dulu yang menjadi pelopor dan peneroka menggali pelbagai ilmu sehingga mencetuskan era keemasan dunia Islam. Seruan iqra sudah longgar daripada penghayatan sanubari Mukmin. Yang tinggal hanya semangat mengejar ilmu ketika di bangku sekolah atau di universiti. Penekanan pula berlegar kepada hendak lulus peperiksaan dan mendapat segulung ijazah. Jika melihat kembali sejarah tamadun Islam peringkat awal, aktiviti mencari ilmu sama ada melalui pembacaan buku atau penyelidikan menjadi sebati dan satu kemestian. Masa banyak dijuruskan kepada bagaimana merungkai sesuatu permasalahan hidup sehingga menemui ilmu pengetahuan baru sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi. Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi juga adalah senario umat Islam terdahulu. Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan. Sebagai umat terbaik dan dilingkungi seruan iqra seharusnya kelesuan budaya mencintai ilmu tidak ditenggelamkan begitu saja. Generasi muda Islam banyak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak bermanfaat. Ramai hanyut dengan anasir hiburan melampau, aktiviti merempit sehingga merimaskan masyarakat awam, penyalahgunaan dadah terlarang dan pelbagai gejala buruk lain. Keadaan ini akan merencatkan pembangunan minda umat Islam. Tidak mustahil kita akan terus-terusan ketinggalan dalam arus pembangunan moden dunia. Kadar pembacaan yang rendah akan membeku tahap pemikiran untuk membina suatu umat perkasa daripada segi kehebatan tamadun. Malah statistik kadar celik huruf dan buta huruf di negara umat Islam masih begitu menyedihkan tidak setanding dengan negara bukan Islam. Kelemahan ini membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk mendakwa negara Islam adalah lambang kemunduran, tempat membiak masalah sosial yang banyak dan tuduhan liar yang lain. Sempena berada pada bulan Ramadhan di mana dalamnya mula diturunkan al-Quran maka marilah kita sama-sama kembali memperkasakan budaya ilmu di dalam mengembalikan semula tamadun rohani dan kebendaan yang pernah diraih oleh generasi emas sebelum ini. Ingatlah pesan Saidina Ali bin Abi Talib: “Bukanlah suatu kebaikan jika milikmu hanyalah anak dan harta saja, tetapi kebaikan yang sebenarnya ialah banyak ilmu pengetahuan.”Pesan beliau lagi: “Orang berilmu lebih utama daripada orang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang berilmu maka terjadi suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya (yang berilmu juga).” Tidak lupa pesanan Imam Syafie : “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
Selagi sistem al-Quran disisih daripada menjadi ubat mujarab yang menyembuh masalah kronik dalam masyarakat maka selama itulah masalah semakin bertambah parah. Masalah pembuangan bayi misalnya yang terus meningkat akibat pintu zina yang terbuka luas terutama menadpat lesen dan kebenaran daripada kerajaan sendiri seperti kelab malam, program hiburan melampau, majalah menjolok mata perosak akhlak. Malah banyak hari sambutan sesuatu peristiwa besar seperti malam merdeka, tahun baru, hari kekasih seolah-olah menjadi ‘malam mengawan’ untuk melahirkan anak luar nikah 9 bulan selepas itu. Malah program Latihan Khidmat Negara yang dikatakan mula menerapkan cara menjauhi masalah sosial belum tentu akan berjaya sekiranya masalah pergaulan bebas antara peserta terus berlaku malah digalakkan lagi. Akhirnya anak-anak remaja yang selama ini terjaga akhlaknya dirosakkan pemikiran dan cara pergaulan dalam masa 3 bulan sahaja. Kita bimbang sekiranya sebelum ini tumbuhnya universiti sama naik dengan terpaksa dibina pusat serenti. Selepas ini dibina sekolah pelajar hamil sama banyak dengan kelab malam yang berlesen sekiranya ia digubal berdasarkan fahaman sekuler yang memisahkan antara agama dan kehidupan. Oleh itu kembalilah kepada panduan al-Quran di mana jika orang bukan Islam tidak faham malah menentang hukum al-Quran bukan suatu yang pelik. Apa yang pelik dan menyedihkan ialah apabila umat Islam sendiri jahil tentang hukum Islam dan bangkit menentang pelaksanaannya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Jahiliah bukan ubat sebaliknya racun berbisa yang merbahaya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tarbiah Ramadhan yang sedang kita lalui sepatutnya melahirkan kita sebagai umat yang begitu yakin dengan sistem al-Quran. Tarbiah Ramadhan sepatutnya menyuburkan lagi perasaan mengambil berat tentang penderitaan saudara segama yang lain terutama di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thailand yang dilanda peperangan dan Pakistan yang dilanda banjir besar di samping negara-negara yang lain. Ketika berdepan dengan kekejaman musuh terutama Yahudi maka umat Islam mesti bergerak bersama dalam setiap sudut termasuk ekonomi. Kita wajib menyokong usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan yang melangkah yakin memperkenalkan mata wang syariah dinar dan dirham yang sepastinya suatu yang disuruh oleh al-Quran. Yahudi terus dapat menjajah dan memperbodohkan kita sekiranya kita terus yakin dan menggunakan wang kertas ciptaan mereka. Ramai pakar ekonomi dunia berhujah sistem kewangan dunia berasaskan wang kertas berlandaskan riba telah membawa kepada banyak kerosakan termasuk kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran, pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Kapitalis begitu bimbang sekiranya dunia kembali kepada Dinar Emas yang stabil berbanding duit kertas yang kita simpan akan menyusut dengan teruk pada suatu ketika nanti sehingga nilai seribu ringgit selepas ini mungkin tidak dapat membeli apa-apa lagi. Inilah kehebatan sistem al-Quran yang bertujuan untuk kebaikan manusia sedangkan sistem Yahudi dari dulu lagi diperkenalkan untuk memeras dan menindas manusia. Pilihlah sama ada cara hidup Islam yang hendak diguna atau terus berseronok untuk menjadi hamba Yahudi seumur hidup. Islam membawa kebahagiaan dunia akhirat manakala cara lain tidak mampu memberi sesuatu kepada kita melainkan kerugian
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan