السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?"
Kelahiran nabi Muhammad s.a.w telah merubah keadaan dunia yang selama ini berada dalam kelam kufur kepada terangnya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam, daripada akal dan nafsu serakah menjadi asas pertimbangan kepada tunduk patuh pada wahyu al-Quran. Sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam di mana cara penyampain risalah Islam adalah untuk memberikan kelembutan dan perlindungan kepada alam sejagat bukannya membawa keresahan dan bencana. Makna rahmat sebagaimana yang diungkap dalam tafsir al-Baidhowi dari sudut bahasanya iaitu : kelembutan hati dan perasaan melindungi yang mendorong untuk memberi dan berbuat baik. Dari sini diambil kata rahim ibu kerana ia melindungi apa yang ada dalam kandungannya.
Antara rahmat kedatangan nabi Muhammad s.a.w kepada manusia ialah menukar cara hidup jahiliah seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup kepada meletakkan kaum wanita ditempat yang mulia, mengharamkan perempuan daripada berkahwin lebih daripada seorang suami bagi memastikan zuriat terjaga tidak seperti amalan jahiliah yang menisbahkan anak hasil perkahwinan dengan ramai lelaki mengikut rupa lelaki mana yang serupa dengan anak yang baru dilahirkan. Rahmat kepada haiwan contohnya wajib kita menggunakan alat yang tajam ketika menyembelih dan diharamkan membunuh binatang sesuka hati. Begitu juga rahmat kepada tumbuh-tumbuhan yang dilarang daripada dicabut, ditebang sesuka hati walau pun dalam peperangan. Akibat manusia rakus merosakkan hutan dengan menebang tumbuh-tumbuhan secara melampau antara penyebab yang membawa kepada kepanasan global yang semakin tinggi dan membahayakan kesihatan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
Kegagalan dalam menjadikan diri nabi Muhammad s.a.w sebagai idola contoh ikutan terbaik dalam setiap aspek kehidupan menyebabkan banyak masalah jenayah dan kerosakan berlaku disekeliling kita. Penderaan yang membawa kematian terhadap anak-anak kecil sebagai contoh kepada hilangnya rasa kasih sayang dalam diri pelakunya. Masalah rasuah, pecah amanah yang terus meningkat telah merosakkan sistem politik, sosial,kehakiman,keselamatan negara dan sebagainya. Betapa malangnya umat Islam yang tidak mahu menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan terbaik seperti dalam masalah kepimpinan dimana cara hidup penuh sederhana sehingga menyaksikan baju besi baginda tergadai di kedai yahudi pada pada waktu kewafatan baginda. Nabi Muhammad s.a.w lebih menekankan kebajikan rakyat jelata yang membawa kepada kehebatan Daulah Islamiah di Madinah yang bukan sahaja pesat membangun dari segi pembangunan kebendaan malah apa yang lebih penting pembangunan rohani. Akhirnya dari sebuah kerajaan yang kecil dan hanya dipandang rendah oleh kuasa besar pada masa itu kepada berjaya menguasai dunia dengan menawan kerajaan Parsi, menjatuhkan kerajaan Rom, menjalar menguasai empayar Hindu, India seterusnya menguasai empayar Budha, China sehingga kekuasaan Islam datang ke negara kita sebelah Asia Tenggara serta memasuki bumi Eropah melalui Sepanyol. Apakah sumber kekuatan pejuang Islam pada masa itu?. Jawapannya ialah nabi Muhammad s.a.w dijadikan idola ikutan dalam perjuangan dan kehidupan mereka. Pada hari ini menyaksikan negara yang paling tinggi kadar rasuah adalah negara umat Islam di mana pemimpinnya kaya raya sedangkan rakyat papa kedana. Kemewahan pemimpin diutamakan penindasan terhadap rakyat didahulukan sehingga rakyat jelata bakal tertekan dengan kenaikan harga ikan akibat penggunaan tong baru yang terlalu mahal bukan kerana keperluan sebaliknya untuk menambahkan kekayaan syarikat yang menjualnya. Ketika masalah gula masih bercelaru sudah kedengaran bahawa harga minyak dan tarif elektrik bakal menyusul kemudian untuk dinaikkan lagi
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 91 surah al-Maidah :
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya
Rahmat kedatangan nabi Muhammad s.a.w juga dengan pengharaman arak, judi, zina dan amalan jahiliah lain yang merosakkan. Kita ingat bagaimana bila turunnya ayat tentang haramnya arak maka sahabat yang menjadikan nabi sebagai contoh ikutan yang selama ini sudah begitu lama ketagih arak sanggup memecahkan tempayan arak, yang sedang membawa arak untuk dihidangkan kepada tetamu terus mencurahnya, yang sedang meletakkan gelas arak dibibir terus membuangnya. Generasi inilah merupakan generasi yang benar-benar berjaya di dunia dan akhirat. Kita lihat pula dengan suasana jahiliah moden yang berlaku di depan kita terutama ketika isu hangat tentang hukuman sebat terhadap model Kartika akibat minum arak belum selesai ditambah dengan isu sebat akibat zina kepada 3 pesalah perempuan. Semuanya ini mengajak untuk kita kembali menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan terbaik. Islam bukan agama yang menjatuhkan hukuman semata-mata sebaliknya Islam menekankan aspek pendidikan agar masyarakat sedar tentang bahaya sesuatu benda yang haram seperti arak, judi, zina dan sebagainya. Islam juga mewajibkan pemimpin terutamanya menutup sebarang pintu yang membawa kepada gejala tidak sihat seperti pub, kelab malam, hiburan yang melalaikan, rancangan tv yang merosakkan, kilang arak, pusat judi dan sebagainya. Betapa malang lesen arak dan judi terus bertambah apatah lagi adanya ahli lembaga pengarah kepada industri haram arak dan judi terdiri daripada kalangan umat Islam sendiri serta akhbar Melayu banyak memungut hasil dengan menyiarkan keputusan judi haram yang menunjukkan ramai orang Melayu yang turut berjudi. Tidak cukup mengubat penyakit yang telah parah sedangkan racun pembunuh terus disebarkan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْبَعِثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلَاثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ) هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ ) وَأَخْرَجَهُ أَحْمَدُ وَالْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ وَأَبُو دَاوُدَ
Maksudnya : Tidak berlakunya qiamat sehingga timbulnya dajjal-dajjal pendusta lebih kurang 30 orang kesemuanya mengaku bahawa dia adalah utusan Allah
Amaran nabi Muhammad s.a.w tentang akan timbulnya nabi-nabi palsu ini ternyata berlaku sejak nabi masih hidup lagi dengan munculnya nabi palsu bernama Musailamah al-Kazzab disamping nabi palsu perempuan di mana-mana keduanya dibunuh pada zaman Sayyidina Abu Bakar menjadi khalifah. Oleh itu tidak pelik sekiranya terus timbul golongan yang mengaku menjadi nabi yang semakin ramai termasuk di negara kita yang mengaku menjadi rasul Melayu, nabi perempuan disamping ajaran sesat yang lain. Apa yang penting ialah ilmu pemahaman kepada masyarakat mesti dipertingkatkan agar tidak mudah terpesong dan tertipu dengan ajaran sesat dan nabi palsu ini. Kita juga merasa sedih apabila seorang ibu tunggal di Johor terpaksa meminta bantuan kewangan daripada sebuah gereja untuk belanja anak ke universiti di mana perkara ini sebagai tamparan yang cukup besar kepada umat Islam. Begitu juga laporan akhbar Sabah Daily Ekspress yang menyatakan ramai belia dari Sabah yang datang mencari kerja di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai tempat tinggal diberi makanan percuma oleh NGO dan pedakwah selain Islam yang kesemuanya ini bakal menggugat akidah jika tidak ditangani dengan baik. Kita juga wajar merenungi keadaan cuaca semakin panas disamping kejadian gempa bumi terus meletus satu demi satu yang terbaru di Chile yang mengorbankan ratusan nyawa disamping amaran Tsunami di perairan pantai Sabah. Kembalilah kepada Allah dalam semua perkara sebelum datangnya saat kehancuran dunia. Tidak rugi bertaubat sentiasa daripada terus bergembira dengan maksiat yang ada. Usah terlalu asyik membilang kemewahan dunia sedangkan bekalan akhirat entah ke mana.
Firman Allah dalam ayat 40 surah al-Ahzab :
مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
Maksudnya : Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi baginda adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan