السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w tidak pernah padam malah terus membara dalam diri. Kita pernah mendengar bagaimana para sahabat nabi sanggup mati demi mempertahankan baginda daripada sebarang penghinaan mahu pun serangan terhadap batang tubuh nabi. Malah ‘Urwah ibn Mas’ud yang diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW pada Tahun Perjanjian Hudaibiah bila melihat penghormatan para sahabat terhadap nabi lalu memberitahu kafir Quraisy bagaimana jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah nabi SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka. Tiada sehelai rambut nabi SAW yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila nabi mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya. Apabila nabi berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada nabi SAW kerana membesarkannya. Pernah tercatat bagaimana telah berjalannnya suatu operasi penghantaran skuad pembunuh untuk membunuh Kaab bin Al Asyraf seorang Yahudi Bani An Nadhir kacukan Arab di mana dia adalah penyair terkenal dan bangsawan. Rasulullah menjatuhi hukuman bunuh keatas kerana Kaab menggubal syair-syairnya menghina Rasulullah, Ummu Mukminin dan para Sahabat. Apabila Rasulullah membuat tawaran untuk sesiapa menjalankan operasi ini, bangunlah Muhammad bin Maslamah bersama beberapa sahabat yang lain di mana mereka bukan sahaja berjaya membunuh Kaab bin Al Asyraf bahkan membawa bersama kepala Kaab dan dicampakkan di hadapan Rasulullah tanda bukti dan kejayaan. Tanda kasih kepada Rasulullah. Tanda sanggup korbankan diri untuk mempertahan dan membela Rasulullah. Kita pada hari ini buat sekian kalinya dituntut untuk mempertahan kemulian nabi apabila 3 buah akhbar Sweden dengan penuh biadap menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w.dengan lakaran tubuh nabi seperti seekor anjing. Tunjukkan tanda kasih kita kepada nabi dengan apa sahaja kemampuan yang ada. Biar nyawa melayang bukti cinta pada nabi untuk meraih Syurga yang tinggi, biar darah merah mengalir bukti kasih pada nabi untuk merasai betapa lazatnya air kolam Kauthar di akhirat nanti.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ ……...(متفق عليه)
Maksudnya : Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi…….
Jika pada 9 Mac lalu menyaksikan pelancaran buku berkaitan Natrah yang diKristian oleh ibubapa asalnya dari Belanda setelah dirampas daripada ibuapa angkatnya melalui mahkamah maka pada 11 Mac sekali lagi negara menyasikan bagaimana kes hampir sama yang melibatkan penjagaan anak kecil apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan 3 orang anak bagi seorang muallaf bernama Muhammad Riduan Abdullah, kepada seorang ibu kandung yang bukan beragama Islam walau pun penghakimannya tidak begitu jelas ekoran belum ada lagi penghakiman bertulis dari mahkamah terbabit disamping masih peringkat rayuan untuk menangguh keputusan hakim. Kini masalah Ummu Salamah, 13, dan Abu Bakar, 12, dilaporkan tinggal bersama-sama ibu mereka di Ipoh, manakala Ummu Habibah, 2 masih dijaga oleh Muhammad Ridhuan sendiri masih terumbang-ambing. Apa yang jelas ialah Islam tidaklah menghalang secara mutlak akan hak penjagaan ibu atau bapa non muslim terhadap anak apabila salah seorang dari mereka memeluk ajaran Islam , melainkan meletakkan syarat yang ketat demi menjamin agama dan kesejahteraan insaniah manusia itu sendiri. Penghakiman ini menuntut kita untuk sama-sama bangkit mempertahan akidah anak kecil ini disamping memberi sokongan moral termasuk doa kita kepada Muhamamd Ridhuan yang begitu tertekan sejak berusaha sedaya mungkin dalam mempertahankan agama anak-anaknya hingga kini. Kes ini juga memberi isyarat jelas kepada kita supaya lebih bersungguh dalam memperkasakan kuasa dan peranan Mahkamah Syariah kerana dalam kes seperti ini ada peruntukan mahkamah syariah dalam melarang seseorang daripada menyerah anak kepada orang bukan Islam memandangkan hukum berkaitan muallaf sepatutnya dibicara di Mahkamah Syariah. Ingatlah bahawa masalah agama lebih penting daripada segala-galanya dan jangan memandang ia suatu masalah kecil
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 32 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Ketika negara masih panas dengan isu penderaan terhadap kanak-kanak yang ada membawa kepada pembunuhan ditambah dengan pembuangan bayi yang tidak berdosa disamping isu pengajaran seks di sekolah yang belum selesai. Kini kita dikejutkan pula dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009 iaitu purata 47 orang sehari anak luar nikah ini dilahirkan. Oleh itu semua pihak bertanggungjawab dalam menangani masalah yang semakin kronik ini. Ibubapa wajib memberi didikan agama dan menjaga pergerakan anak-anak kerana banyak kes hari ini harga diri anak-anak lebih murah daripada anak ayam apabila ibubapa lebih bimbang anak ayam yang tidak pula ke reban daripada anak sendiri terutama anak gadis yang tidak pulang ke rumah walau pun telah lewat malam. Kerajaan pula wajib menutup pintu-pintu zina yan dibuka luas dengan lesen yang diikitiraf seperti kelab malam, pesta hiburan, rancangan tv, majalah tidak senonoh dan sebagainya. Kita boleh mencontohi kerajaan Acheh yang mempunyai polis syariah yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan kepada rakyat yang memakai pakaian yang menyalahi syarak disamping pasangan-pasangan yang belum kahwin boleh ditangkap di tempat terbuka termasuk tepi pantai. Pergaulan antara jantina yang berbeza mesti dibataskan termasuk di sekolah, pejabat, tempat kerja dan majlis umum yang lain. Pendidikan seks yang mahu dilaksanakan juga wajib berteraskan Islam bukannya mengikut acuan barat yang hanya takut pada penyakit AIDS bukannya takut kepada Allah sehingga menggalakkan zina asalkan memakai kondom sebagai contohnya. Pendidikan seks cara Islam contohnya diberi kefahaman dari awal tentang masalah aurat, penjagaan mata dan anggota yang lain daripada pintu zina, pemisahan tempat tidur anak-anak yang berlainan jantina serta penerapan bahawa tidak boleh bergaul bebas apatah lagi berzina dengan menggalakkan perkahwinan serta hukuman yang berat bagi sesiapa yang berzina
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Bumi Palestin buat sekian kalinya kembali bergolak akibat tindakan kejam zionis yahudi yang berusaha untuk meruntuhkan Masjid Aqsa bagi dibina kuil Haikal Sulaiman. Yahudi buat sekian kalinya cuba menipu dunia bagi menghalalkan tindakan jahat mereka dengan alasan bahawa Masjid Aqsa dibina atas kuil purba milik mereka. Kita pernah ingat bagaimana yahudi cuba menjatuhkan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w kononnya bangsa arab dilahirkan hasil penzinaan antara nabi Luth a.s dengan anak perempuannya ’Urubah namun pendustaan yahudi jelas ditolak kerana bangsa arab lahir daripada keturunan nabi Ismail a.s yang merupakan anak nabi Ibrahim a.s yang juga sepupu kepada nabi Luth a.s. Oleh itu kita sebagai umat Islam bermaruah wajib bangun menyatakan bahawa Palestin terutama Masjid Aqsa milik umat Islam. Kita tidak akan sama sekali menyerahkan walau pun satu inci tanah wakaf milik seluruh umat Islam itu kepada zionis yahudi walau pun terpaksa melayang nyawa, menumpah darah ke bumi. Ketika kita begitu benci kepada kejahatan dan kezaliman zionis yahudi maka kita begitu sedih dan marah apabila pemimpin negara sanggup bersekongkol dengan syarikat pro zionis yahudi dalam mengurus banyak perkara penting berkaitan negara. Malaysia bagaikan dikawal oleh zionis yahudi atas sikap yang bacul dan tidak bertanggungjawab ini. Tambah sedih lagi apabila lesen judi yang diluluskan semakin bertambah disamping ada laporan agensi berita asing bahawa kerajaan bercadang mempertimbangkan agar pertaruhan atau judi sukan dibenarkan di negara ini. Dunia terbalik apabila orang bukan Islam lebih bersungguh dalam memerangi judi sedangkan orang Melayu ang majoritinya Islam terus seronok bergelumang dengan najis judi dan hasil haramnya. Apabila musuh dijadikan penasihat utama, racun djadikan ubat penawar maka tunggulah saat kehancuran yang lebih dahsyat jika tidak ditangani dengan segera dan bersungguh. Umat Islam hanya berjaya bila meletakkan sistem al-Quran di hadapan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Sebaliknya umat Islam terus mundur dan terjajah dalam negara mereka sendiri bila membelakangi sistem al-Quran. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 101 surah al-Baqarah :
وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya : Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan