السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.
Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dan Kristian dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana umat Islam sendiri kini hilang identity akibat meninggalkan solat, terlibat dengan pergaulan bebas yang menjurus kepada zina, minum arak, menagih dadah dan paling teruk keruntuhan aqidah. 2 minggu lepas kita mendengar berita tentang kematian Bertha atau nama Islamnya dulu Natrah yang pernah meninggalkan nostalgia berdarah pada tahun 1950 apabila dia dirampas daripada keluarga angkat dan suami tercinta seterusnya dimurtadkan oleh keluarga asal di Belanda. Kini bukan lagi anak angkat berbangsa Inggeris yang dimurtadkan tetapi anak orang Islam sendiri sebagaimana peristiwa pemurtadan secara terancang Aisyah Bukhari, Kartina Kamarudin dan ramai lagi, tidak terkecuali Lina Joy. Malahan minggu lepas kecoh di Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila 9 penganut Kristian termasuk dua pelajar UPM sendiri ditangkap atas dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut. Walau pun mereka telah dibebaskan dengan dakwaan tidak melakukan perkara tersebut namun kita mesti berhati-hati supaya golongan yang cuba melanggar Undang-undang negara yang melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim dapat disekat. Beringat sebelum kena, cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak. Akibat umat Islam hilang identity dan mandul perasaan terhadap agama menyebabkan kes murtad menjadi suatu perkara biasa yang tidak perlu dibimbangkan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Bulan Sya’aban juga pernah berlakunya Peperangan Bani Mustaliq iaitu pada tahun 6 Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Inilah kehebatan dan ketegasan kerajaan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w yang tidak mampu dipermain dan diperlekehkan oleh musuh Islam sesuka hati kerana meletakkan Islam di tempat mulia
Tidak sebagaimana umat Islam hari ini yang dijangkiti penyakit terlalu cinta dengan dunia dan takut kepada mati terus berdepan dengan keganasan musuh Islam silih berganti tanpa pembelaan sewajarnya. Belum reda pembunuhan kejam di Masjid Selatan Thailand kini kita dapat menyaksikan bagaimana adanya umat Islam Uighur, China ditembak di depan masjid secara rambang. 6 Julai sahaja menyaksikan hampir 200 umat Islam ditembak mati oleh polis China secara rambang, 800 cedera dan lebih seribu yang dipenjara. Perlu diketahui bagaimana umat Islam berbangsa Uighur telah dijajah semenjak 1949 sehingga dipaksa menganut fahaman komunis dengan meninggalkan Islam. Sesiapa yang didapati sembahyang akan dikupas kulit kepala, tapak kaki dan dicabut kaki dan kepala menggunakan trak, diseksa dalam penjara tanpa diberi mandi dan melihat cahaya matahari selama 1 - 2 tahun, dimasukkan bom dalam kemaluan perempuan. Kekejaman ini seolah mahu dimulakan kembali terhadap umat Islam sehingga umat Islam dilarang menunaikan haji bermula 2007, umat Islam bawah 18 tahun dilarang ke masjid dan ada masjid ditutup daripada solat Jumaat dan Fardhu atas alasan bimbang membangkitkan semangat untuk merusuh. Begitu juga pembunuhan kejam pada 1 Julai lalu terhadap seorang ibu muda bernama Marwah Syarbini yang berasal dari Mesir di mana beliau yang sedang mengandung 3 bulan ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berbangsa Rusia dalam Mahkamah Jerman ketika membicarakan kes pemuda tersebut yang mengganggu dan menghina beliau semata-mata kerana bertudung. Apa yang lebih kejam apabila suaminya yang ingin membantu isterinya daripada ditikam, telah ditembak oleh pasukan keselamatan Jerman sehingga cedera parah dengan alasan tersilap tembak. Umat Islam diperlakukan lebih hina daripada binatang oleh musuh Islam. Namun sedihnya dunia cuba menyembunyikan pembunuhan kejam ini dan Marwah Syarbini disemadikan di Mesir dengan kehadiran umat Islam yang agak ramai walau pun tidak sehebat dunia meratap kehilangan Raja Pop Michael Jackson. Begitu juga dengan penderitaan umat Islam di Palestin yang terus dibunuh dan dirampas tanah mereka oleh zionis yahudi tanpa dibantu oleh kerajaan umat Islam yang lain. Kita berasa kecewa dengan tindakan Menteri Pertahanan negara kita yang sanggup duduk semeja dengan pembunuh Ehud Barak Menteri Pertahanan Israel bagaikan mengiktiraf negara haram tersebut dan menghalalkan pembunuhan saudara seagama di Palestin bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama umat Islam.
Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 11 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar
Ketika pulang dari Peperangan Bani Mustaliq ini tersebarnya khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini dimainkan oleh golongan munafik pimpinan Abdullah bin Ubai bagi menjatuhkan maruah Rasulullah s.a.w sendiri sebagai nabi dan suami, maruah Abu Bakar dan isterinya Ummu Ruman sebagai ibubapa kepada Siti Aisyah, maruah Siti Aisyah sendiri sebagai isteri nabi, maruah Safwan bin al-Mu’tal sebagai seorang muslim yang setia kepada Islam dan maruah seluruh umat Islam yang lain. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa terutama wahyu tidak turun selama sebulan selepas peristiwa tersebut. Akhirnya turunnya ayat 11 surah an-Nur yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Selepas itu, Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Pada hari ini menjadi suatu kebiasaan menuduh orang berzina atau liwat tanpa bukti demi menjatuhkan maruah seseorang untuk kepentingan diri
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia maka kita buat kalinya mendesak agar undang-undang rimba ISA dihapuskan. Umat Islam bermaruah dan bencikan kezaliman diseru untuk datang ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu depan 1 Ogos bagi menghadiri Himpunan 100 ribu mansuhkan ISA. Umat Islam juga dianjurkan untuk banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati pemimpin untuk menghapuskan ISA yang menyebabkan tahanan dan ahli keluarga mereka menderita. ISA bukan untuk menjaga kemananan negara sebaliknya untuk mempertahankan pemimpin daripada pangkat yang ada. ISA adalah suatu tindakan yang zalim dan kejam yang bukan sahaja bercanggah dengan semangat demokrasi malah bertentangan dengan Islam. Takutlah pada amaran Allah melalui ayat 58 surah Al-Ahzab :
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata,"
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan