Jumaat, 17 April 2009

Kemenangan DiRai Islam DiSanjungi

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 76 surah an-Nisa’:
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
Maksudnya : Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Toghut, oleh itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah
Kita masih berada dalam bulan Rabiul Akhir yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam. Antaranya berlakunya Peperangan Hittin pada bulan Rabiulakhir tahun 583 Hijrah bersamaan Julai tahun 1187 Masihi di mana tentera Islam di bawah pimpinan Solahuddin Al-Ayubi telah berkumpul bagi menyerang secara besar-besaran di persisiran pantai berhampiran dengan Tasik Tiberias, Palestin manakala tentera Salib pula berkumpul di sebelah Barat. Pasukan tentera perisik daripada angkatan tentera Islam telah berjaya mengikuti perjalanan tentera musuh dan tempat-tempat perkhemahan mereka. Lalu angkatan tentera Solahuddin al-Ayyubi membuat kepungan terhadap tentera Salib pada waktu malam sehinggalah terbit cahaya pagi di mana pada pagi tersebut memang ternyata berlaku peperangan yang sangat besar berhampiran dengan kampung Hittin di sebelah barat Tasik Tiberias dan di sebelah timur bandar Akko dan Haifa. Pada masa tersebut tentera Salib yang begitu ramai berjaya ditumpaskan kesemuanya di mana tentera Salib yang tinggal hanyalah seramai 150 orang sahaja yang kemudiannya mereka semua dijadikan tawanan termasuk pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin tentera Salib. Peperangan Hittin adalah merupakan mercu tanda kemenangan Islam yang sangat gemilang dalam sejarah Islam dan ia boleh dijadikan penyuntik semangat kepada pejuang Islam pada hari ini semua dalam membebaskan Masjid Aqsa daripada cengkaman zionis yahudi. Tiada erti perdamaian bagi zionis yahudi kerana mereka hanya mampu diusir daripada bumi wakaf milik umat Islam dengan semangat jihad yang tinggi dan menuntut kepada mengalirnya darah para syuhada’. Umat Islam silam memerdekakan bumi Palestin dengan darah mereka maka kita pada hari ini pun tiada jalan lain untuk mengembalikan semula bumi berkat milik umat Islam kecuali dengan darah jihad. Sahutlah panggilan jihad yang pernah dilaungkan oleh Rasulullah s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :
قال الرسول  : وَاعْلَمُوْا أِن َّالجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوْفِ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa Syurga itu di bawah bayangan libasan mata pedang

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peristiwa bersejarah kedua yang berlaku pada bulan Rabiul Akhir ialah permulaan kepada terdirinya Kerajaan Islam Umawiyah di Andalusia atau Sepanyol di mana selepas kerajaan Umawi mengalami kekalahan di Syam, pemerintah kerajaan Umawi pada masa itu iaitu Abdul Rahman Ad-Dakhil masih lagi sempat melarikan diri dari Syam menuju ke Mesir kemudian ke Morocco Jauh. Setelah itu beliau menyeberangi laut untuk pergi ke Andalusia di dalam perjalanan yang sangat menakjubkan. Abdul Rahman Ad-Dakhil mempunyai hubungan nasab keturunan yang sampai kepada Muawiyah bin Abi Sufian di mana nasab inilah merupakan sandaran beliau di dalam menentukan bahawa beliau berhak memegang teraju pemerintahan. Beliau dapat membentuk angkatan tentera yang kuat dengan bantuan beberapa kabilah Yaman yang berhijrah ke Andalusia sehinggalah beliau berjaya mengalahkan kabilah Mudhar yang berkuasa di Andalusia pada masa tersebut di dalam peperangan yang besar yang dinamakan Al-Musarrah pada tahun 138 Hijrah. Kejayaan ini membolehkan Abdul Rahman Ad-Dakhil memasuki Cordoba untuk memerintah Andalusia selama 34 hun di mana tahun-tahun ini merupakan tahun-tahun yang sangat agung bagi pemerintahan kerajaan Umawi di Andalusia atau Sepanyol. Hingga hari ini kesan kemajuan tamadun Islam yang pernah dibangunkan oleh kerajaan Islam terus dapat dilihat walau pun pihak kerajaan Sepanyol cuba menghapuskan tanda-tanda yang boleh membangkitkan ruh Islam dalam bangunan-bangunan tinggalan sejarah itu. Berdirinya kerajaan Islam di Andalusia membolehkan Islam tersebar luas di bumi Eropah yang ketika itu masih ketinggalan dalam banyak sudut. Islam menukar wajah Eropah daripada gelap jahiliah kepada cahaya iman, zalimnya sistem manusia kepada adilnya sistem Islam. Peristiwa ini mengajar kita bagaimana umat Islam mesti bersungguh dalam menyebar sistem Islam walau terpaksa merantau meninggalkan tanahair tercinta kerana Islam bukan hanya terbatas kepada negara tertentu malah Islam didatangkan untuk seluruh dunia sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri bukan untuk bangsa arab sahaja tetapi untuk sekalian umat manusia.
Firman Allah dalam ayat 107 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah an-Nasr :
إِذَا جَآءَ نَصْرُ اللهِ وَالفَتْحُ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُوْنَ فِى دِيْنِ اللهِ أَفْوَاجًا فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya : Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Amat menerima taubat.
Perjuangan Islam menempuhi pelbagai ujian dan keputusan. Ia melalui pasang surut, menang kalah yang menjadi sunnah perjuangan. Umat Islam diajar supaya bersyukur bila menyambut kemenangan dan bersabar bila diuji dengan kekalahan kerana kedua-duanya bagi umat Islam bakal menerima ganjaran besar di akhirat nanti. Tiada istilah menang jadi arang, kalah jadi abu bagi pejuang yang memperjuangkan Islam kerana perjuangan Islam adalah perjuangan yang suci tuntutan agama bukannya perjuangan yang berlandaskan hawa nafsu. Melalui surah an-Nasr yang dibaca tadi memberi banyak pengajaran penting kepada kita dalam menyambut kemenangan Islam. Kita diajar bahawa sesuatu kemenangan itu adalah anugerah Allah di mana kita hanya mampu berusaha dan mengatur pelbagai strategi tetapi yang menentukan kalah dan menang ialah Allah. Oleh itu jangan takabbur bila dianugerahkan kemenangan sebaliknya kita diminta agar banyakkan bertasbih menyucikan Allah daripada sebarang sifat kekurangan serta banyak memuji Allah di atas bantuan yang diberikan sepanjang memperjuangkan Islam. Semasa berjuang hati kita tidak boleh lalai daripada mengingati Allah, begitulah juga apabila dianugerahkan kemenangan maka jangan sesekali kita lupa kepada Allah. Kita turut diminta agak memperbanyakkan istighfar memohon keampunan Allah bila meraih kemenangan kerana sepanjang berjuang sudah pasti adanya salah silap yang kita lakukan samada kepada Allah seperti perasaan putus asa setelah begitu kuat berjuang tetapi belum diberikan kemenangan atau kesilapan kita sesama manusia melalui kata-kata mahu pun perbuatan. Betapa indahnya ajaran dan adab mulia yang dianjurkan oleh Islam sehingga Islam dilihat sebagai agama perpaduan dan kasih sayang bukannya agama yang menganjurkan perpecahan dan permusuhan

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Tugas yang paling besar apabila dianugerahkan kemenangan ialah mengisi kemenangan dengan Islam. Tunjukkan kepada dunia bagaimana cantik dan adilnya sistem Islam terutama ketika dunia sedang mencari suatu sistem yang terbaik dalam menangani masalah ekonomi, sosial yang semakin parah. Pemimpin mesti menunjukkan bagaimana Islam memerangi rasuah, pecah amanah sehingga kepercayaan orang bukan Islam terhadap pemimpin Islam semakin bertambah. Hidupkanlah al-Quran dalam kehidupan seharian sehingga orang bukan Islam turut terbuka hati mereka untuk mengkaji apa keistimewaan al-Quran. Buangkanlah benteng yang memisahkan Islam daripada orang bukan Islam melalui pengamalan kita terhadap isi al-Quran. Dunia Eropah menyaksikan betapa ramai penduduknya memeluk Islam selepas tragedi 11 September apabila mereka mula mengkaji Islam dan al-Quran. Islam untuk semua bukan untuk sesuatu bangsa tertentu sahaja. Sejarah pernah menyaksikan bagaimana orang Kristian meminta pertolongan daripada tentera Islam daripada penindasan pemimpin mereka sehingga menjadi salah suatu faktor kepada pembukaan Turki. Begitu juga penduduk di suatu negeri hujung negara China pernah meminta Khilafah Islamiah Turki untuk menghantar wakil bagi menjadi pemimpin negara mereka kerana mahu membebaskan diri daripada kezaliman dan yakin dengan keadilan pemimpin serta sistem Islam. Sejarah ini boleh berulang sekiranya kita mampu menunjukkan contoh terbaik kepada orang bukan Islam tentang keadilan Islam. Rasa takut dan gerun orang bukan Islam terhadap Islam akan berkurangan malah hilang bila contoh ini mampu kita sebar luaskan. Inilah indahnya bila ia dilaksana di atas bumi nyata. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan