Rabu, 9 Julai 2008

Pertanian Subur Negara Makmur

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah S.W.T dalam ayat 46 – 49 surah Yusuf :
يُوسُفُ أَيُّهَا الصِّدِّيقُ أَفْتِنَا فِي سَبْعِ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعِ سُنبُلاَتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ لَّعَلِّي أَرْجِعُ إِلَى النَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَعْلَمُونَ قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تَأْكُلُونَ ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تُحْصِنُونَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ
Maksudnya : Maksudnya : Setelah dia berjumpa dengan nabi Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): 7 ekor lembu yang gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu yang kurus; dan 7 tangkai (biji-bijian) yang hijau serta 7 tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya". Nabi Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh 7 tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, 7 tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
Al-Quranul Karim merupakan mukjizat yang terbesar yang dianugerahkan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Antara isi kandungan al-Quran ialah berkenaan kisah para nabi bagi dijadikan teladan terbaik dalam melahirkan diri kita sebagai umat terbaik. Bila kita membaca surah Yusuf umpamanya maka kita dapat mengambil begitu banyak pengajaran yang penting antaranya berkaitan tafsiran mimpi nabi Yusuf berkaitan bumi Mesir yang mesti menggunakan peluang dalam menanam gandum pada musim subur selama 7 tahun sebelum datangnya musim kemarau selama 7 tahun selepas itu. Pelaksanaan terhadap tasiran mimpi Nabi Yusuf itu bukan sahaja dapat menyelamatkan rakyat Mesir daripada mati kebuluran malah dapat membantu rakyat daripada negara jiran yang lain. Kisah ini memberi pengajaran besar kepada kita yang sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan yang berasaskan pertanian terutama beras.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1 - 3 surah al-Mutaffifin :
وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُواْ عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ
Maksudnya : Kecelakaan ke atas mereka yang curang terhadap sukatan atau timbangan. Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan bagi pihak mereka maka mereka minta disempurnakan. Dan apabila menyukat atau menimbang bagi pihak orang lain lalu mereka menguranginya
Kita dicanangkan bagaimana masalah makanan bukan setakat masalah negara tetapi global kerana pertambahan penduduk dunia dan kekerapan makan yang turut bertambah. Kita jangan menelan mentah-mentah segala alasan ini kerana kita bimbang ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama golongan yang berkuasa dan golongan peniaga besar yang sentiasa mencari peluang dalam mengaut keuntungan atas penderitaan rakyat jelata. Kita pernah membaca bagaimana Amerika Syarikat dan beberapa buah negara Eropah telah bertindak memusnahkan hasil tanaman yang lebih bagi memastikan harga terus tinggi daripada menghulurkan lebihan tanaman itu kepada negara lain yang memerlukan. Malah Sudan pernah diberi amaran keras agar tidak memelihara kambing melebihi keperluan rakyat negaranya apatah lagi mengeksport ke luar negara. Namun selepas kemenangan gerakan Islam di Sudan membolehkan kerajaannya bukan sahaja tidak lagi mematuhi arahan Amerika agar tidak memelihara kambing melebihi had yang telah ditetapkan malah bertindak mengeksport kambing ke negara luar. Jordan pula pernah ditipu apabila gandumnya yang berkualiti tinggi dibeli dengan begitu murah oleh Amerika Syarikat dan kemudiannya rakyat mereka terpaksa membeli gandum Amerika yang kurang mutunya dengan harga yang begitu mahal. Ini menyebabkan rakyat Jordan bagun menentang dengan membuat beberapa siri demontrasi dalam menegur kezaliman kerajaan mereka. Catatan ini menunjukkan kepada kita bagaimana masalah bekalan makanan dapat ditangani sekiranya tiada pakatan jahat dalam menindas dan mengaut keuntungan berganda melalui sorok dan monopoli barang serta tindakan lain yang bercanggah dengan Islam yang semestinya zalim. Masalah penindasan ini dapat ditangani dengan baik dengan cara melaksanakan kembali sistem Islam. Yakinilah kita bahawa Islam bukan agama yang hanya berkaitan dengan ibadat khusus sahaja malah terlibat dalam semua sistem kehidupan manusia termasuk masalah perniagaan, sosial dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kita juga perlu sedar bagaimana pertanian adalah antara benteng kedaulatan dan keselamatan sesebuah negara. Kesatuan Negara Eropah sebagai contohnya begitu terkehadapan dalam memastikan sumber makanan mereka sentiasa mencukupi dengan membuat perjanjian agar setiap negara anggota mesti menyediakan keluasan tertentu bagi tujuan pertanian. Negara haram yahudi Israel bermula daripada perampasan tanah bumi umat Islam Palestin sehingga kini sentiasa memastikan kawasan pertanian mereka terjamin dan mencukupi. Negara Jepun memberi subsidi sehingga 90 peratus kepada para petani dalam memastikan hasil tanaman mencukupi untuk rakyat. Betapa malangnya kebanyakan negara umat Islam yang hampir semuanya mempunyai tanah yang subur telah mengabaikan masalah ini sehingga kadang-kadang makanan rutin kita sendiri seperti gandum dan beras terpaksa bergantung kepada negara bukan Islam. Kita sepatutnya bimbang bila negara terpaksa terus mengimport sayuran dan makanan dari luar akibat kealpaan kita sendiri sedangkan nabi Muhammad s.a.w sentiasa menggalakkan umat Islam agar bercucuk tanam menyuburkan bumi sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah:
قال الرسول  : مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرَسًا إِلا كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَلا يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلا كَانَ لَهُ صَدَقَةً - رواه مسلم
Maksudnya: Tidak ada daripada seorang muslim yang menanam satu tanaman kecuali apa saja yang dimakan daripadanya itu melainkan menjadi sedekah. Apa saja yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 25 surah al-Anfal :
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan takutlah kamu kepada siksaan yang tidak diturunkan khusus terhadap orang-orang yang zalim di antara kamu sahaja. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya
Tindakan melakukan maksiat kepada Allah turut menjadi penyebab utama kepada kekurangan bekalan makanan yang berlaku dalam negara. Ketika kita masih bersedih dengan penderitaan rakyat Myanmar yang ditimpa ribut Nargis yang mengorbankan puluhan ribu nyawa diikuti dengan gempa bumi di China yang turut meragut puluhan ribu nyawa sedangkan ada rakyat kita masih boleh membuat pesta arak dan seks di Port Dickson, Negeri Sembilan. Begitu juga program maksiat terus subur bersama dengan meningkatnya kes jenayah seperti dadah, rogol, bunuh, rompakan dan sebagainya. Betapa malangnya menjadi manusia yang dihina dengan sebab tidak bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Kita jangan menjadi golongan yang menambah maksiat atas nikmat, menggunakan rezeki Allah untuk menentangNya semula.
Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :
وَضَرَبَ اللهُ مَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللهِ فَأَذَاقَهَا اللهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُواْ يَصْنَعُونَ
Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan