Sabtu, 12 Disember 2009

155. HIJRATURRASUL DAN DAULAH ISLAMIAH

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-A’raf
وإذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك أو يقتلوك أو يخرجوك ويمكرون ويمكر الله والله خير المكرين .
Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (quraisy) memifirkan sedaya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu atau pun mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.
Hari ini genaplah 4 hari kita berada di tahun baru 1430 hijrah dan 5 hari lagi merupakan hari Asyura di mana kita disunatkan berpuasa. Kedatangan Muharram bukan sahaja mengingatkan kita kepada peristiwa Hijrah tetapi turut mengimbas kembali kepada tiga peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu pada 10 Muharram merupakan hari diselamatkan nabi Musa a.s dan pengikut setia daripada musuh mereka Fir’aun di mana Fir’aun dan bala tenteranya ditenggelamkan oleh Allah di dalam Laut Merah. Pada awal Muharram pula mengingatkan kita bagaimana Sayyidina Umar al-Khottab menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas cedera parah ditikam oleh Abu Lu’luah seorang Majusi dan pada 10 Muharram juga merakamkan satu lagi peristiwa yang begitu sedih iaitu terbunuhnya Sayyidina Husin bin Ali iaitu cucu Rasulullah s.a.w di Karbala. Cucu yang dibelai dan dimanjakan oleh Rasulullah s.a.w ini bukan sahaja dibunuh bersama dengan ahli keluarganya yang lain malah Syiah Kufah yang menjadi dalang kepada pembunuhan ini telah memenggalkan kepada cucu Rasulullah s.a.w yang mulia ini tanpa belas kasihan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Belum terlewat untuk kita sama-sama merenung beberapa pengajaran dan juga hikmat daripada penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah bagi mendirikan Daulah Islamiah yang menjamin Islam mampu dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan bukannya pada sudut ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja. Pemilihan Kota Madinah yang dulu dikenali sebagai Yathrib merupakan satu wahyu bukannya hasil daripada kehendak Rasulullah s.a.w sendiri. Antara hikmat yang memerlukan kepada berlakunya penghijrahan ini adalah bagi mematahkan tohmahan musuh Islam bahawa nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang yang mulia malah baginda dimuliakan oleh Mekah itu sendiri yang merupakan kota yang telah didoakan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail agar diberkati dan dirahmati oleh Allah. Oleh itu bagi menafikan dakwaan yang sesat ini maka Rasulullah s.a.w perlu berhijrah ke Madinah lalu apabila berada di sana Rasulullah s.a.w telah berdoa agar Madinah diberkati dan dirahmati sebagaimana Allah merahmati dan memberkati bumi Mekah. Sehingga sekarang bumi Madinah di mana merupakan tempat disemadikan jasad Rasulullah s.a.w terus dilimpahi rahmat dan berkat yang menunjukkan bahawa diri Rasulullah s.a.w itu sendiri mempunyai kemuliaan sebagai rasul akhir zaman.

Sidang Jumaat yang dihormati
Jika penghijrahan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ke Madinah hanya semata-mata mahu lari daripada disiksa dan dihina maka cukup sekadar umat Islam berhijrah ke Habsyah sebagaimana sebelum ini. Ini menunjukkan kepada kita bahawa penghijrahan ini mempunyai misi dan matlamatnya yang lebih besar iaitu terdirinya Daulah Islamiah. Ini dapat kita lihat kepada beberapa perancangan dan strategi sebelum hijrah dan semasa hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebelum diperintahkan oleh Allah supaya berhijrah, Rasulullah s.a.w telah melakukan bai’ah janji setia dengan penduduk Madinah yang datang ke Mekah. Bai’ah ini dilakukan 2 kali yang di namakan bai’ah Aqabah pertama dan kedua. Di dalam bai’ah taat setia ini terutama bai’ah yang kedua telah disentuh masalah jihad dan jaminan keselamatan terhadap diri Rasulullah s.a.w apabila berhijrah nanti.Kemudian baginda telah menghantar Mus’aib bin Umair bagi mengajar al-Quran dan berdakwah di samping melantikan naqib-naqib daripada kalangan wakil daripada Madinah itu sendiri untuk tujuan dakwah. Inilah antara perancangan yang rapi sebelum berlakunya hijrah.
Perancangan yang dilakukan semasa proses hijrah pula bagaimana Rasulullah s.a.w keluar berhijrah pada malam hari disamping telah membahagi tugas-tugas yang penting kepada setiap individu yang dipercayai mengikut kemampuan mereka di mana Sayyidina Ali diminta agar tidur ditempat tidur Rasulullah s.a.w dan menyerahkan semula harta-harta orang kafir yang dimanahkan kepada baginda sebelum ini. Inilah ia sifat orang kafir yang meyakini kejujuran Rasulullah s.a.w sehingga barangan mereka disimpan di rumah baginda tetapi mereka tidak percaya baginda sebagai nabi. Begitulah juga yang berlaku pada kita hari ini di mana ramai yang mempercayai kejujuran para ulama’ tetapi masih was-was tentang kelayakan ulama’ sebagai pemimpin. Disamping itu baginda juga telah menyuruh agar pembantu Sayyidina Abu Bakar iaitu ‘Amir bin Fuhairah agar menjaga kambing sekitar kawasan gua Thur tempat Rasulullah s.a.w bersembunyi supaya kesan tapak kaki mereka berdua dapat dihilangkan. Manakala Asma binte Abu Bakar pula bertugas untuk menghantar makanan sepanjang mereka berdua berada di dalam gua tersebut. Manakala Abdullah bin Abu Bakar ditugaskan untuk mencari maklumat terbaru yang berlaklu di kalangan kafir Quraisy tentang usaha mereka untuk menagkap Rasulullah s.a.w. Sepanjang hijrah juga mereka berdua menggunakan jalan yang lain daripada kebiasannya sehingga terpaksa mengupah seorang kafir yang diyakini amanahnya yang bernama Abdullah bin ‘Uraiqit bagi memandu perjalanan mereka ke Madinah. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kita boleh meminta pertolongan daripada orang bukan Islam selagimana ia tidak membantut pelaksanaan Islam itu sendiri.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Melihat kepada perancangan dan strategi yang diatur ini maka lebih meyakinkan kita bagaimana penghijrahan nabi ke Madinah bukan semata-mata untuk berdakwah dan kemudahan untuk beribadat tetapi untuk mendirikan Daulah Islamiah yang membolehkan Islam menjadi pemerintah. Jika sekadar untuk berdakwah maka Rasulullah s.a.w tidak perlu membuat perancangan yang begitu rapi dan tersusun malah apabila tiba di sana masyakat Madinah telah mempunyai calon pemimpinnya yang tersendiri iaitu Abdullah bin Ubai. Jika kedatangan Rasulullah s.a.w bukan untuk mendirikan Daulah Islamiah maka tidak perlu baginda menjadi pemimpin sebaliknya cukup sekadar melantik Abdullah bin Ubai sebagai pemimpin Madinah dan baginda sendiri bertindak sebagai pendakwah atau orang yang bertanggungjawab dalam kementerian agama yang ditubuh. Dan jika dikatakan bahawa Rasullah s.a.w berjaya menjadi pemimpin kerana atas nasib semata-mata sedangkan kedudukan itu bukanlah penting untuk penyebaran dan pelaksanaan Islam maka Rasulullah s.a.w tidak perlu berhijrah tetapi cukup sekadar berada di Mekah dan menerima tawaran untuk menjadi raja Mekah dengan syarat tidak melaksanakan Islam sebagaimana yang ditawarkan oleh pemimpin kafir Quraisy. Apa yang kita lihat daripada peristiwa hijrah ini bermula dengan perancangan dan pelaksanaannya menunjukkan kepada kita bahawa politik dan pemerintah serta kewajipan mendirikan daulah Islamiah yang memastikan Islam terlaksana sepenuhnya merupakan perkara yang terlibat dengan aqidah bukannya perkara main-main.



Sidang Jumaat yang diberkati Allah
Firman Allah dalam ayat 111 surah Hud
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا وكنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذلك يبين الله لكم آيته لعلكم تهتدون.

Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu(masa jahiliah) bermusuh-musuhan maka Allah menyatukan hati-hati kamu lalu menjadi kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan