السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون
Maksudnya : Sesungguhnya orang2 kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.
Kini kita berada di permulaan bulan Zulkaedah dan dengan ini juga kita telah meninggalkan bulan Syawal yang turut mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Berlalunya Syawal adalah sebagaimana berlalunya Ramadhan yang lepas. Adakah kita akan berjumpa lagi dengan Ramadahan dan Syawal yang akan datang hanyalah Allah yang mengetahuinya. Beruntunglah bagi mereka yang telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal lalu dalam keadaan penuh keinsafan dan keikhlasan kepada Allah. Semoga segala amalan itu diterima oleh Allah dan juga mampu membina diri kita ke arah yang lebih baik dari tahun dan hari sebelumnya.
Jika pada bulan Ramadhan yang lepas sejarah Islam pernah menyaksikan beberapa peristiwa yang penting seperti peperangan Badar al-Kubra dan juga pembukaan Kota Mekah maka bulan Syawal yang baru lalu juga turut merakamkan peristiwa bersejarah yang mana kita semua patut ambil iktibar daripadanya. Antara peristiwa yang besar yang berlaku pada bulan Syawal ini ialah peperangan Hunain, peperangan Uhud dan juga peperangan Ahzab atau pun Khandak. Peperangan ini merupakan antara peperangan yang besar yang disertai oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Penglibatan baginda dalam peperangan-peperangan ini memberi satu peringatan dan gambaran yang bermakna kepada kita semua bahawa perjuangan di dalam meninggikan kalimah Allah adalah wajib dan mesti menempuh pelbagai rintangan dan halangan.Perjuangan ini tidak dihamparkan dengan permaidani indah tetapi menuntut kepada tumpahnya darah sebagai tanda tunduk dan patuh kepada Allah. Tanyalah diri kita sejauh manakah tahap perjuangan dan sumbangan kita ke arah memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya diperintah. Berapa banyakkah harta kita yang disumbangkan untuk Islam dan berapa banyakkah peluh kita yang mengalir demi menjaga kemurnian Islam daripada dinoda oleh musuh-musuh yang sentiasa memeranginya.
Walau pun Syawal telah berlalu namun tidak terlewat pada hari ini untuk kita sama-sama merenungi dan mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ketiga Hijrah iaitu setahun selepas peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Peperangan ini meletus akibat daripada perasaan marah dan benci para kafir musyrikin terhadap kejayaan tentera Islam ketika peperangan Badar al-Kubra yang lalu. Mereka telah menghimpunkan bala tentera seramai 3000 orang untuk menyerang umat Islam. Rasulullah s.a.w telah menerima berita tentang kemaraan tentera kafir musyrikin itu melalui al-Abbas bin Abdul Muttalib. Baginda terus mengadakan satu mesyuarat dan telah memberitahu bahawa sebelum ini baginda telah bermimpi dengan suatu yang baik iaitu telah menyembelih seekor lembu yang bermaksud beberapa orang sahabat akan gugur syahid, kedua mata pedang Rasulullah s.a.w berlubang bermaksud ahli keluarga baginda sendiri ada yang turut gugur syahid dan yang ketiga Rasulullah s.a.w telah memasukkan tangan ke dalam baju rantai yang kukuh yang bermaksud bahawa Madinah akan terus dapat dipertahankan. Ini menunjukkan kepada kita bagaimana mati syahid di medan peperangan merupakan satu kemenangan dan anugerah Allah yang mana bukannya boleh diperolehi dengan mudah dengan hanya semata-mata turut serta dalam peperangan maka kita akan mati syahid. Berapa ramai para sahabat dan pejuang Islam yang turun ke medan jihad untuk menentang musuh tetapi mereka tidak gugur syahid sebagaimana yang yang dicita-citakan sebelum menuju ke medan perang. Sayyidina Khalid al-Walid sendiri yang merupakan antara panglima perang Islam yang agung selepas keislamannya walau pun dalam dalam peperangan Uhud ini dia masih belum Islam malah menjadi panglima tentera berkuda bagi pihak musyrikin di mana pada saat kematiaannya pernah menempelak mereka yang takut untuk turun ke medan jihad kerana takut mati dengan kata-katanya : Sesungguhnya begitu penakut dan bacul bagi mereka yang takut untuk berjihad di medan peperangan kerana takut kepada kematian sedangkan aku sendiri telah melalui beratus-ratus peperangan dan setiap kali aku turun berjihad aku begitu mengharapkan agar memperolehi mati syahid namun pada hari ini aku hanya mengakhiri kehidupanku di atas katil di rumahku sahaja.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kemudian pada hari Jumaat Rasulullah s.a.w telah memberi semangat yang bersungguh-sungguh kepada setiap umat Islam sehingga ucapan itu menyemarakkan lagi semangat jihad dalam sanubari umat Islam.Rasulullah s.a.w telah mengatur strategi yang terbaik di dalam menghadapi kemaraan musuh. Kedua-dua tentera ini bertembung dan bertempur dalam satu pertempuran yang hebat dan pada permulaannya tentera Islam telah mencapai kemenangan walau pun Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib iaitu bapa saudara nabi sendiri yang digelar Asadullah telah gugur syahid terkena panah yang dilontar oleh seorang hamba abdi yang bernama Wasyi bin Harb. Begitu juga apa yang berlaku kepada Hanzalah bin Abu ‘Amir yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan di mana setelah mendengar panggilan jihad dia terus meninggalkan isteri yang baru dikahwini semata-mata menyahut seruan jihad tersebut. Dia ditemui telah gugur syahid dan didapati mayatnya basah seperti dimandikan Apabila diberitahu Rasullullah s.a.w akan perkara ini lalu baginda memberitahu bahawa mayatnya telah dimandikan oleh para malaikat kerana turunnya dia ke medan jihad dalam keadaan berjunub.Inilah dia erti pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam memastikan keagungan Islam terus dipertahankan sehingga mereka sanggup mengorbankan atau mengenepikan kepentingan peribadi demi Islam. Perjuangan mereka ini janganlah hanya sekadar diketahui dan disebut-sebut sahaja sedangkan kita yang berada di zaman di mana Islam diserang dari pelbagai pihak dalaman dan luaran mestilah lebih meningkatkan usaha dalam memastikan kemenangan Islam sehingga tercapainya kemenangan itu bersama-sama dengan keredhaan Allah. Jangan kita hanya tahu kata jihad tetapi tidak serius dalam melihat dan mendengar hukum Allah dicaci, Sunnah nabi dimaki, para ulama’ dikeji, masjid-masjid dicemari dan dikunci daripada dihidupkan serta maruah umat Islam dikotori dengan najis maksiat yang jijik dan membahayakan aqidah.
Kemenangan peringkat pertama yang dicapai itu hanya sementara sahaja akibat daripada kelalaian tentera pemanah yang meninggalkan tempat mereka apabila tidak tahan sabar melihat para tentera Islam yang lain memungut harta rampasan dan mereka terlalu yakin bahawa tentera Islam telah pun menang. Khalid ibnu Walid di mana merupakan panglima berkuda di puak musyrikin telah mengambil tindakan dengan melakukan serangan mengejut terhadap tentera Islam setelah melihat tentera pemanah telah berkurangan. Sedangkan strategi yang diatur oleh Rasulullah s.a.w yang menempatkan tentera pemanah di atas bukit itu amat tepat dan telah berjaya mematah beberapa serangan daripada tentera musuh sebelum ini.Akibat daripada tidak patuhnya mereka terhadap perintah Rasulullah s.a.w menyebabkan mereka ditimpa musibah secara segera di mana tentera musuh yang memang menunggu saat untuk menyerang balas kini telah menggunakan peluang yang terbuka ini dengan sebaiknya. Serangan ini telah menyebabkan berlakunya kacau bilau dan Rasulullah s.a.w sendiri cedera. Tentera musyrikin turut menyampaikan berita palsu bahawa Rasulullah s.a.w telah mati dan ini menambahkan lagi kekalutan dalam tentera Islam. Dalam suasana yang kucar kacir inilah , Ka’ab bin Malik telah terpandang diri Rasulullah sa.w lalu dia melaungkan bahawa Rasulullah s.a.w masih hidup. Laungan ini menaikkan semula semangat tentera Islam. Selepas itu Rasulullah s.aw telah mengumpul 30 orang para sahabat dan menuju ke suatu teluk di bukit Uhud bagi mengatur tindakan yang baru dalam menghadapi musuh. Cara yang diambil ini telah berjaya menghalang kemaraan musuh walau pun cuba dihalang oleh Abu Sufian dan Khalid ibnu Walid dan tentera musyrikin.Setelah gagal menghancurkan kekuatan tentera Islam lalu tentera musyrikin beralih tumpuan mereka kepada mayat tentera Islam yang telah gugur syahid di mana mereka telah menyincang dan mengelar mayat itu dengan penuh perasaan marah dan benci termasuklah mayat Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang dibelah perutnya oleh Hindun binte’Utbah untuk mengambil hatinya lalu dikunyah penuh dengan kebenciaan tetapi dia akhirnya tidak berjaya menelannya sebaliknya telah membuangnya semula daripada mulutnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara kejadian yang menarik sepanjang peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara in lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.
Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a. w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka.
Oleh itu kita sebagai umat Islam yang mengaku beriman dan patuh kepada Allah dan rasulNya mestilah ikhlas dan yakin kepada janji Allah dalam perjuangan mengembalikan Khilafah Islamiah yang telah lama hilang.Perjuangan kita mestilah berteraskan aqidah Islam yang sebenar bukannya berdasarkan bangsa semata-mata.
Walau pun pada peringkat kedua dalam peperangan ini tentera Islam tidak berjaya malah seramai 70 orang telah gugur Syahid namun tentera musuh tidak berjaya mara untuk menawan Madinah dan membunuh Rasulullah s.a.w. Abu Sufian tidak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai kerana kekuatan Islam masih kuat dan beliau cuba menyerang Madinah tetapi tindakan itu terpaksa ditarik balik apabila mendapat tahu bahawa tentera Islam kini sedang bersiap sedia untuk menyerang semula. Kehebatan dan kepantasan Rasulullah s.a.w dalam mengatur strategi dan taktik dalam peperangan memberi gambaran jelas jepada kita semua bagaimana tugas nabi bukan hanya tertakluk kepada imam sembahyang dan pendakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pemerintahan malah peperangan dalam memastikan kalimah Allah terus berada di tempat yang tertinggi. Inilah dia peranan sebenar ulama’ yang dikatakan pewaris para nabi maka kerja mereka bukan sahaja pada tempat ibadat tetapi turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan juga tunjuk ajar dalam urusan dunia sehingga wujudnya masyarakat yang bukan sahaja taat kepada Allah ketika beribadat khusus tetapi turut patuh dan tunduk pada hukum Allah dalam menjalankan kehidupan seharian. Ulama’ bukan sahaja berperanan untuk mengajar dan membimbing masyarakat setempat sahaja tetapi mesti memainkan peranan penting untuk menegur pemimpin negara yang tergelincir daripada syariat Islam. Malah yang lebih baik lagi ialah para ulama’ sendiri menjadi pemimpin kepada rakyat itu sendiri. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud ini tetapi Allah telah meniupkan semangat ke dalam sanubari umat Islam melalui ayat 104 surah an-Nisa’ :
ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون
Maksudnya : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan