Jumaat, 20 Jun 2008

152. MEMERANGI GEJALA MURTAD

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ …..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah :
يسألونك عن الشهر الحرام قتال فيه قل قتال فيه كبير وصد عن سبيل الله وكفر به والمسجد الحرام وإخراج أهله منه عند الله والفتنة أكبر من القتل ولايزالون يقتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا ومن يرتدد عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعملهم فى الدنيا والآخرة وأولئك أصحب النار هم فيها خلدون
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah : “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kufur kepada Allah (menghalangi masuk) Masjidil haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan membuat finah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak berhenti dalam memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekufuran) sekiranya mereka sanggup. Sesiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu dia mati dalam kekafiran maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat. Dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya selamanya.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kini kita berada di bulan Rejab yang diberitahu melalui lidah nabiNya Muhammad s.a.w sebagai bulan Allah yang mempunyai banyak kelebihannya jika kita penuhi dengan puasa sunat dan amalan soleh yang lain. Bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang kewajipan Sembahyang lima waktu yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w ketika bertemu Allah dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang bersejarah. Sebab itulah usaha kerajaan Kelantan dalam menganjurkan bulan Sembahyang setiap kali tibanya bulan Rejab mestilah diberi kerjasama yang sebaiknya dalam memastikan umat Islam dapat menghayati matlamat sebenar difardhukan solat lima waktu sehari semalam disamping memberi peringatan terutama kepada golongan muda supaya menjaga sembahyang dengan sebaiknya kerana ia merupakan tiang agama dan juga kayu pengukur samada seseorang itu Islam atau pun tidak.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Isu murtad mula bergema kembali setelah begitu lama disepikan walau pun usaha Kristian samada secara biasa mahu pun sihir bergerak cergas dan bebas tanpa ada di sana usaha untuk menyekat secara undang-undang. Isi ditimbul dan dibincang hangat kembali setelah adanya usaha daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menggubal undang-undang murtad bagi dibentang di dalam parlimen untuk dilaksanakan. Ramai dikalangan peguam Melayu yang mengaku beragama Islam bangun menentang usaha ini dengan memberi alasan berdasarkan akal yang lemah dan undang-undang sekuler yang rapuh.
Antara alasan yang diberikan ialah mereka menyatakan undang-undang yang bakal digubalkan nanti akan menyekat kebebasan agama yang tertera dalam undang-undang negara sedangkan Islam sebagai agama rasmi negara hanya berkisarkan dalam masalah ibadat dan adat sahaja bukannya membenarkan hukum Islam untuk dilaksana. Alasan ini menunjukkan kepada kejahilan mereka terhadap Islam di mana mereka meletakkan Islam setaraf dengan agama Kristian , Budha , Hindu dan lain-lain di mana sebagai agama untuk ibadat dan perayaan sahaja bukannya sebagai agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Mereka anggap Islam hanya agama yang boleh dijadikan mainan di mana seseorang boleh memeluk Islam secara sukarela dan boleh keluar Islam bila-bila masa tanpa sekatan. Sedangkan dari awal lagi Islam telah menggariskan bahawa ia tidak memaksa seseorang itu untuk memeluk Islam tetapi perlu dijelaskan bahawa setelah memeluk Islam maka seseorang itu mesti mengikuti segala peraturan dan kewajipan yang ada dalam Islam dan jika mereka murtad maka hukumannya adalah bunuh. Apa yang berlaku pada hari ini adalah jauh daripada Islam yang sebenar di mana seseorang itu tidak dijelaskan tentang perkara tadi terlebih dahulu sehingga mereka merasakan Islam ini hanya agama mainan yang boleh diperkotak-katikkan mengikut akal mereka. Jika seseorang itu telah masuk Islam dengan kefahaman yang jelas tentang kewajipan dan hukuman berat yang bakal dijatuhkan jika murtad maka sudah tidak timbul menyekat kebebasan agama kerana mereka masuk Islam dengan kerelaan hati untuk melaksanakan kewajipan agama dan rela juga menerima hukuman apabila telah murtad.

Siang Jumaat yang dikasihi,
Alasan mereka lagi bahawa undang-undang yang bakal dilaksanakan nanti akan menyebabkan dunia luar akan mengutuknya kerana bertentangan dengan peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ini menunjukkan bahawa mereka lebih takut kepada manusia daripada Allah Tuhan Pencipta mereka. Mengapakah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan dunia luar akan mengutuk negara kita hanya setelah hukuman Islam dilaksana sedangkan ketika umat Islam ditekan dan dinafikan hak kebebasan untuk beragama maka mereka hanya diam seribu bahasa. Ketika ada saudara baru yang disimbah asid di muka mereka kerana memeluk Islam dimanakah laungan kebebasan beragama?. Ketika sepasang suami isteri yang telah memeluk Islam bersama anak kecil yang baru berusia beberapa bulan dibunuh dan dikelar tubuh mereka di manakah suara pembelaan terhadap penindasan agama lain terhadap umat Islam?. Ketika seorang ayah dimana anaknya telah murtad mahu bertemu dengan anaknya lalu diterajang tanpa belas kasihan dimanakah laungan keadilan?. Sepasang suami isteri di mana anak gadisnya telah murtad dan dilarikan sehingga hari ini tidak diketemui dimanakah pembelaan undang-undang yang mendakwa memberi kebebasan terhadap mereka? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan dunia luar hanya akan mengutuk kita apabila melaksanakan Islam bukannya atas kebebasan beragama tetapi sikap permusuhan dan kebencian mereka terhadap Islam. Mereka didalangi oleh Yahudi dan Kristian yang tidak pernah menghentikan permusuhan terhadap Islam sebagaimana kita fahami daripada Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :
ولن ترضى عنك اليهود ولا النصرى حتى تتبع ملتهم قل إن هدى الله هو الهدى ولئن اتبعت أهواءهم بعد الذي جاءك من العلم مالك من الله من ولي ولا نصير .
Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Kristian tidak akan senang kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah : “ Sesungguhnya petunjuk Allah itulah merupakan petunjuk yang benar”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah datangnya pengetahuan kepadamu maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Alasannya lagi bahawa hukuman murtad yang dilaksana sebelum ini kerana mereka yang murtad secara terang-terangan dan juga mencabar pihak pemerintah negara. Alasan ini hanya suatu alasan yang kolot dan menjijikkan. Adakah dalam banyak peristiwa yang berlaku pada ini berkaitan dengan murtad secara senyap-senyap sedangkan mereka yang telah murtad tanpa segan silu datang ke pejabat pendaftaran negara untuk menukar nama dan agama mereka. Mereka berbuat demikian dengan penuh keberanian dan tanpa perasaan takut. Adakah perkara ini tidak boleh dikatakan sebagai murtad secara terangan-terangan dan berani?….
Tentang penentangan terhadap pemerintah buat masa ini memang tidak perlu dilakukan kerana undang-undang digunakan sekarang adalah bersesuaian dengan nafsu dan kehendak mereka yang telah murtad. Peraturan Lord Reid yang berasaskan sekulerisme yang bertunjang agama Kristian bermazhab Protestan tidak membahayakan mereka malah menyokong dan mendorong mereka untuk murtad sebebas-bebasnya. Buat apa mereka perlu melakukan pemberontakan dan sebagainya.
Bahayanya mereka yang telah murtad akan kelihatan apabila pemerintah melaksanakan Islam. Oleh itu sebelum lebih ramai yang murtad maka suatu undang-undang berlandaskan Islam perlu dilaksanakan dalam membasmi gejala murtad yang seang berleluasa. Usaha Kristian dalam memastikan separuh daripada penduduk Asia Tenggara bersatu dalam Kristian terus berjalan dengan lancar termasuk di negara kita.
Jika dikatakan bahawa jumlah yang murtad adalah lebih sedikit berbanding mereka yang memeluk Islam maka alasan ini juga tidak boleh digunakan kerana Islam tidak pernah menetapkan ramai atau sedikitnya mereka yang murtad dalam melaksanakan hukuman bunuh. Mereka yang murtad walau pun sedikit boleh memecah-belahkan masyarakat kerana mereka bebas berperanan untuk berdakwah kepada orang lain tanpa tindakan sewajarnya. Mereka juga menyebabkan masyarakat saling sangsi dan curiga antara satu sama lain.
Janganlah atas nama kebebasan beragama kita mempertahankan mereka yang murtad. Ingatlah mereka mempunyai rakan seagama untuk menekan umat Islam. Janganlah kerana toleransi dan kelembutan yang tidak sepatutnya diberikan akan menyebabkan kita akan huru hara sebagaimana berlaku kepada saudara Islam kita di Ambon, Indonesia. Dalam satu keluarga dibenarkan ada pelbagai agama dan Kristian yang dijadikan kawan diberikan kebebasan dalam berdakwah dan membina gereja termasuk dalam kawasan yang majoritinya umat Islam. Akhirnya atas nama agama, umat Islam dibunuh, dikelar, dibakar dan rumah mereka dimusnahkan oleh kawan-kawan dan keluarga mereka sendiri yang beragama Kristian. Jangan biarkan ia berulang di negara kita ini.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan