Rabu, 1 April 2009

145. BAHAYA PEMIMPIN GILA DUNIA

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 166 dan167 surah al-Baqarah :
إذ تبرأ الذين اتبعوا من الذين اتبعوا ورأو العذاب وتقطعت بهم الأسباب وقال الذين اتبعوا لو أن لنا كرة فنتبرأ منهم كما تبرءوا منا كذلك يريهم الله أعمــلهم حسرت عليهم وما هم بخـــرجين من النار
Maksudnya : Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut : " Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami". Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka.
Inilah gambaran yang dinyatakan oleh Allah kepada kita semua mengenai keadaan pemimpin dan para pengikut mereka di hari akhirat nanti. Para pemimpin akan melarikan diri daripada tanggungjawab yang pernah dipikul di dunia apabila melihat melihat siksa neraka yang bakal diterima akibat daripada kecuaian dan kelalaian mereka yang mengajak pengikut mereka di dunia ini ke arah kesesatan dengan mengamalkan sistem ciptaan manusia dalam pemerintahan yang menyebabkan pemimpin itu sendiri dan para pengikut mereka makin hari semakin jauh daripada Allah dan ajaran Islam. Itulah dia pemimpin dunia yang menganggap bahawa pemerintahan yang dijalankan tidak terlibat langsung dengan agama sehingga mereka tidak melaksanakan Islam dalam perundangan, ekonomi, kebudayaan, sosial dan lain-lain. Para pengikut yang mengikut pemimpin yang sesat dan menyesatkan mereka pula merasa sesal dengan apa yang berlaku kerana pemimpin itu bukan sahaja tidak mampu mermbantu mereka untuk melepaskan diri daripada siksaan Allah malah pemimpin mereka itu tidak mengaku bahawa mereka semua adalah pengikutnya di dunia dulu. Sesalan mereka hanya sia-sia kerana pemimpin itu dan juga pengikut yang sesat itu tidak akan dikembalikan semula ke dunia malah akan disiksa dalam neraka Allah.
Kita semua yang yakin dengan janji dan peringatan Allah dan rasulNya mestilah memilih pemimpin yang memimpin urusan negara daripada kalangan ulama' akhirat yang mana mereka sentiasa taat kepada Allah dan rasulNya serta berusaha sedaya upaya yang termampu untuk membawa kita kepada ajaran Islam yang sebenar bukannya Islam palsu dan juga mereka ini berusaha menyelamatkan kita agar tidak terjerumus ke lembah kesyirikan dan kesesatan iaitu dengan mengamalkan sistem yang telah ditetapkan oleh Allah dalam setiap aspek kehidupan bukannya setakat pada ibadat khusus sahaja. Pemimpin daripada kalangan ulama' akhirat ini sentiasa takut kepada Allah dan memang tersemat di hati mereka bagaimana kepimpinan ini merupakan suatu amanah yang akan dipetrtanggungjawabkan oleh Allah di akhirat nanti bukannya ia sebagai suatu tempat untuk mengaut kemewahan dan pengaruh.
Oleh itu sebagai rakyat mestilah sentiasa peka dan mengambil berat mengenai siapa yang memerintah kita kerana ia merupakan amanah kepada kita agar amanah kepimpinan ini tidak diberi kepada mereka oleh mereka yang tidak layak dan jahil tentang hukum agama. Ingatlah kita kepada hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dalam sohihnya yang bermaksud : Maka apabila telah dirosakkan amanah maka tunggulah qiamat. Dia bertanya lagi : Bagaimanakah mengkhianati amanah itu? Sabda baginda : Apabila diserahkan urusan (pemerintahan) kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah qiamat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Jika kita perhati kepada kebanyakan pemimpin hari ini merupakan mereka yang tidak layak untuk menanggung amanah malah mereka ini bertujuan untuk menjadi pemimpin bukan untuk melaksanakan Islam kerana mereka sendiri jahil tentang Islam dan suka menghina keadilan Islam dan juga merendah-rendahkan para ulama' akhirat. Mereka ini diberi amanah oleh mereka yang masih jahil dengan Islam dan juga mereka yang terpesona dengan janji keduniaan serta mereka yang terhutang budi apabila melihat taburan wang yang melimpah di depan mereka sedangkan mereka tidak sedar mereka sendiri akan dikhianati oleh pemimpin yang mereka serahkan amanah itu apabila dia berjaya berada di tampuk pemerintahan dan Islam pula akan dipenjarakan.Kita dapat lihat hari ini ramai pemimpin yang melaung-laungkan bagaimana mereka mahu laksanakan Islam secara ansur-ansur sedangkan asas ke arah pelaksaaan Islam itu sendiri sudahpun menyeleweng iaitu dengan menjadikan sistem sekuler yang diwarisi daripada penjajah sebagai asas ke arah pelaksanaan Islam sedangkan sistem tersebut yang memisahkan antara agama dan pemerintahan merupakan sistem yang bercanggah dengan Islam. Di sini dibawakan misal mudah iaitu jika seseorang itu ingin makan buah durian maka dia mesti menanam benih durian bukannya benih rambutan atau sebagainya. Barulah dia dapat merasa untuk makan buah durian hasil tanamannya itu. Begitulah juga dengan pelaksanaan Islam yang mesti dimulakan dengan asas Islam bukan selainnya.
Dalam pelaksanaan sistem sekuler yang diadunkan dengan pragmatisme iaitu perubahan cara mengikut perubahan massa seperti mendirikan banyak masjid atau pun menyediakan bank-bank yang turut menawarkan sistem perbankan Islam semata-mata mengabui mata rakyat bahawa mereka juga mahu kepada Islam sedangkan pada hakikatnya perkara ini dibuat kerana ingin mendapatkan sokongan rakyat bukannya untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. Kita tidak menafikan usaha mereka tetapi yang dipersoalkan adakah cukup rakyat sahaja yang menghidupkan masjid sedangkan para pemimpin berseronok di mahligai yang mewah. Adakah cukup sekadar rakyat yang beramal dengan sistem perbankan Islam sedangkan para pemimpin terus bergelumang dengan najis riba dan rasuah. Ingatlah kita kepada suatu peristiwa yang penting di mana Rasulullah s.a.w meruntuhkan sebuah masjid yang dibina oleh golongan munafik yang bernama masjid DHIRAR kerana ia tidak dibina atas dasar taqwa sebaliknya bertujuan untuk memecahkan kesatuan umat Islam dan juga kerana gilakan jawatan.Tidak dapat dinafikan ramai mereka yang terpengaruh dan tertarik dengan tindakan mereka ini yang menyebabkan Islam terus diperintah bukannya memerintah. Mereka juga mengamalkan sistem Micahavelli iaitu ( الغاية تبرر الوسيلة ) yang bererti Matlamat penghalal cara seperti sanggup memerintah agar al-Quran ditafsirkan semula dan mempertahankan anti hadis untuk bersama mereka di dalam mengelirukan umat Islam tentang keadaan Islam yang sebenar di mana dengan cara ini kuasa dan kedudukan mereka terus kukuh walau pun terpaksa menggadaikan Islam itu sendiri. Mereka menghina hukum Islam dan menakut-nakutkan orang bukan Islam dengan mengatakan bahawa Islam ini adalah suatu yang melampau dan boleh menggugatkan kehidupan orang bukan Islam. Mereka tidak takut kepada Allah ketika bercakap menghina hukum Allah, mencaci sunnah Rasulullah s.a.w, mengfitnah para ulama' akhirat kerana bagi mereka agama hanya ditempat ibadat bukannya ketika memerintah. Mereka bagaikan menganggap bahawa Islam ini seperti agama Kristian atau pun Budha yang mana ia hanya layak berada digereja dan kuil sahaja dengan membiarkan urusan pemerintahan kepada orang lain sedangkan Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada kita bagaimana. Islam yang sebenar iaitu pada diri Rasulullah s.a.w sendiri terpikul pelbagai amanah yang dijalankan secara serentak iaitu sebagai suami kepada isteri-isteri, ayah kepada anak-anak, imam dalam solat, pendakwah dan juga sebagai ketua negara. Inilah dia ciri-ciri kepimpinan yang mesti ada kepada setiap mereka yang kita berikan amanah untuk memerintah dan ciri ini ada kepada para ulama' akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Penipuan mereka walau pun terpaksa menggadaikan Islam demi kedudukan dan pangkat memang menjadi kebiasaan dan amalan kepada pemimpin yang jahil dan zalim. Di dalam hati mereka bagaikan tidak tercetus kegerunan kepada amaran Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadis riwayat Muslim :
ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة
Maksudnya: Bukan daripada hamba yang mati di mana Allah meminta dia menjaga rakyat dimana pada hari kematiannya sedangkan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.
Kita sebagai rakyat mestilah mengambil berat tentang masalah kepimpinan ini di mana jika di sana adanya kezaliman dan juga kesesatan yang dilakukan maka kita mesti hindarkan dengan menurunkan mereka daripada tampuk pemerintahan. Ingatlah kita kepada pesanan imam al-Ghazali sebagaimana kita fahami daripada kitabnya Ihya' Ulumiddin di mana antara nasihatnya ketika menghadapi pemimpin yang zalim iaitu.
Janganlah bergaul dengan para pemimpin yang zalim malah jangan bertemu dengan mereka dan jika boleh jangan pandang pada mereka. Berjumpa dan bergaul dengan mereka banyak padah atau keburukannya. Sekiranya kamu terpaksa, maka jangan sekali-kali memuji mereka kerana Allah amat murka sekiranya orang fasik dan zalim dipuji. Sesiapa yang mendoakan agar mereka terus kekal di tampuk pemerintah maka dia sebenarnya redha melihat Allah diderhakai di muka bumi ini.
Jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pemimpin walau pun kamu tahu pemberian itu adalah daripada sumber yag halal. Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Ini semua akan merosakkan agama.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Oleh dalam memastikan kezaliman dan kesesatan agar ia mampu di hindari maka tidak dapat tidak kita semua sebagai mukmin yang sejati mestilah bersatu ke arah ke arah meninggikan kembali Kalimah Allah di muka bumi ini. Kita tidak boleh berdiam diri terhadap kezaliman dan kesesatan yang berlaku di depan mata kita. Kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti tentang usaha kita dalam memperjuangkan keadilan Islam dan merobohkan kezaliman sistem yang berdasarkan sistem ciptaan manusia. Jangan kita ingat perkara ini main-main dan boleh dipandang sambil lewa sahaja.Ingatlah kita peringatan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh imam Muslim dalam sohihnya yang bermaksud : Akan ada selepas daripadaku pemimpin-pemimpin yang menipu dan melakukan kezaliman. Maka sesiapa yang membenarkan mereka dengan penipuan yang mereka lakukan dan sesiapa yang membantu mereka di atas kezaliman yang dilakukan maka dia bukan daripadaku (umatku) dan aku bukan daripadanya. Dan dia tidak sama sekali akan dapat merasai HAUDH (telaga kauthar).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan