السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصروا أولئك هم امؤمنون حقا لهم مغفرة ورزق كريم
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Beberapa hari lagi kita pasti akan meninggalkan bulan Zulhijjah bagi menyambut ketibaan tahun baru Hijrah 1422. Berlalunya tahun demi tahun bersama meningkatnya usia kita disamping bertambah dekatnya kita kepada hari mati. Oleh itu hitungkanlah keadaan diri dan amalan kita samada bertambah baik atau sebaliknya sebelum datangnya Izrail untuk menjemput kita bertemu dengan Allah. Beradanya kita pada penghujung tahun 1421 juga mengingatkan kita kepada pelbagai peristiwa samada manis atau pedih yang berlaku ke atas umat Islam seluruh dunia. Semoga kedatangan tahun baru hijrah nanti akan memberi sinar kebahagian kepada seluruh umat Islam.
Pada hari ini kita akan menyentuh mengenai keadaan Yathrib atau Madinah sebelum berlangsungnya hijraturrasul s.a.w. Penduduk Madinah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama di mana kaum yang paling besar ialah Yahudi dan Arab.Kaum Yahudi memiliki beberapa kubu dan benteng serta kampung di mana mereka hidup berasingan dan berkelompok yang menyebabkan mereka tidak mampu mendirikan pemerintahan Yahudi sebaliknya terpaksa membayar ufti setiap tahun kepada ketua-ketua beberapa qabilan Arab sebagai perlindungan daripada pencerobohan Arab badwi. Bangsa Yahudi menyifatkan diri mereka sebagai suatu bangsa yang ahli dalam pengetahuan agama dan syariat di mana mereka mempunyai pusat pengajian sendiri untuk perkara tersebut disamping belajar mengenai sejarah lampau mereka khususnya berkenaan rasul dan nabi mereka. Mereka juga mempunyai tempat khas untuk beribadat di mana disitulah mereka berkumpul untuk berbincang mengenai agama dan keduniaan mereka. Mereka juga mempunyai perundangan dan tatacara hidup tersendiri yang sebahagiannya diambil daripada kitab suci mereka dan sebahagian lagi dibuat oleh pendeta mereka.
Hasil pendapatan mereka yang terbesar ialah mengambil keuntungan daripada gadaian barang dan riba. Keadaan Madinah sebagai kawasan pertanian memberi peluang kepada mereka bergiat dengan riba terutama daripada petani yang mendapatkan wang sementara menunggu musim menuai. Penggadaian bukan sahaja melibatkan wang atau mata benda sahaja tetapi wanita dan anak-anak juga dijadikan cagaran gadaian.Kaum Yahudi dapat menguasai ekonomi Madinah dan seterusnya dengan ekonomi yang kukuh mereka menguasai pasar-pasar tanpa bertimbang rasa, mereka menyorok barangan keperluan untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda sehingga mereka dibenci oleh masyarakat Arab setempat. Demi kepentingan ekonomi mereka membuat hubungan dengan kaum Aus dan Khazraj dengan mereka melaga-lagakan antara keduanya yang menyebabkan bangsa Arab lemah dan kaum Yahudi terus menguasai ekonomi Madinah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Manakala suku kaum Aus dan Khazraj merupakan penduduk berbangsa Arab yang mendiami Yathrib kemudian daripada kaum Yahudi. Kaum Aus tinggal di selatan dan timur iaitu bahagian tinggi Yathrib yang merupakan kawasan pertanian yang subur manakala Kaum Khazraj berada di tengah sebelah utara iaitu bahagian rendah bandar yang merupakan kawasan kurang subur. Bilangan mereka mengikut perkiraan yang berdasarkan penyertaan mereka dalam peperangan selepas hijrah iaitu semasa penaklukan Mekah ialah 4000 orang. Berpecahan kaum yahudi menyebabkan mereka tidak mampu menyaingi bangsa Arab terutama ada daripada mereka yang bersama kaum Aus dan ada pula bersama kaum Khazraj. Namun begitu bangsa Arab suku Aus dan Khazraj turut berperang sesama mereka di mana perang Samir merupakan peperangan pertama dan diakhiri dengan peperangan Bu’ath lima tahun sebelum hijrah. Kaum Yahudilah yang melaga-lagakan mereka dan mendesak agar mereka berpecah dengan menanamkan semangat dengki. Akhirnya mereka tidak mampu menghadapi kaum Yahudi.Namun demikian, perancangan yahudi disedari oleh bangsa Arab di mana mereka menggelarkan kaum Yahudi sebagai ‘musang’.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Antara sebab kaum Aus dan Khazraj mudah menerima Islam kerana perkara berikut :
Pertama : Suku Aus dan Khazraj dikurniakan Allah dengan fitrah lemah lembut dan tidak terlalu angkuh, tidak keterlaluan menolak kebenaran. Sifat ini adalah pusaka turun temurun daripada nenek moyang mereka yang berasal dari Yaman. Ini pernah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang bermaksud :
“Sudah tiba kepada kamu penduduk Yaman yang berhati dan berperasaan amat lembut”
Kedua : Suku Aus dan Khazraj telah kehilangan tenaga kerana peperangan sesama mereka terutama dalam peperangan terakhir antara mereka iaitu peperangan Bu’ath. Keadaan ini mereka telah gambarkan dalam ucapan mereka kepada Rasulullah s.a.w:
“ Sesungguhnya telah kami tinggalkan kaum kami, suatu kaum yang paling ketat permusuhan sesama sendiri. Semoga Allah menyatukan mereka melalui engkau Wahai Rasulullah!. Sekiranya mereka disatukan kembali oleh Allah maka tiada orang yang lebih mulia daripada engkau Wahai Rasulullah!”.
Ketiga : Suku Aus dan Khazraj selalu mendengar orang-orang Yahudi berbicara tentang kenabian dan para nabi dan mereka juga mendengan orang Yahudi membaca lembaran Taurat dan tafsirannya malah orang Yahudi sentiasa mengugut mereka dengan mengatakan : “ Sesungguhnya akan dibangkitkan seorang nabi pada akhir zaman nanti. Kami akan memusnahkan kamu bersama nabi itu. Kamu akan musnah sama seperti musnahnya kaum ‘Aad dan Iram”.
Perkara ini agak berbeza dengan kaum Quraisy Mekah dan seluruh bangsa Arab yang telah terputus sekian lama daripada kenabian dan para nabi yang menyebabkan mereka tidak tahu tentang kenabian dan para nabi. Mereka hanya menumpukan kepada berhala dan mereka juga terpencil daripada umat-umat yang ada hubungan dengan para nabi dan mempunyai kitab samawi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Secara ringkasnya selepas berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj maka nabi mula menyebarkan dakwah melalui pertemuan dengan qabilah-qabilah yang datang ke Mekah. Ketika tibanya bulan Zulhijjah iaitu musim haji, Rasulullah s.a.w seperti biasa keluar bertemu dengan qabilah yang datang menunaikan haji. Semasa berada di ‘Aqabah, baginda telah bertemu dengan satu rombongan daripada suku Khazraj dari Yathrib. Rasulullah s.a.w memperkenal dan menerangkan kepada mereka tentang Islam dan diperdengarkan al-Quran. Suku Khazraj yang merupakan jiran kepada kaum Yahudi di Madinah sebelum ini sentiasa mendengar orang Yahudi memberitahu bahawa sudah hampir masanya dibangkitkan seorang nabi. Lalu di antara mereka berkata : “ Wahai kaumku sekalian! Ketahuilah bahawa Demi Allah inilah nabi yang telah dijanjikan oleh kaum Yahudi kepadakamu maka kita harus biarkan mereka mendahului kita mendapat peluang ini”. Lantas mereka menyahut dan menerima seruan nabi s.a.w itu di mana bilangan mereka ialah 7 orang daripada suku Khazraj.
Apabila mereka pulang ke Madinah dalam keadaan telah beriman dan memeluk Islam lalu mereka memberitahu tentang Rasulullah s.a.w kepada saudara mara yang lain dan mengajak mereka kepada Islam. Maka tersebarlah Islam di kalangan mereka sehingga tiada rumah orang Ansar yang tidak bercakap tentang Rasulullah s.a.w. Begitulah dia penerimaan awal kepada Islam dan keadilannya sebelum berlangsungnya 2 bai’ah Aqabah atau perjanjian antara wakil warga Madinah dengan Rasulullah s.a.w di ‘Aqabah. 2 bai’ah atau perjanjian yang dibuat ini menjadi suatu perkara yang penting sebelum terdirinya negara Islam pertama di Madinah.
Pada tahun 621 M iaitu setahun selepas peristiwa pengislaman 7 orang daripada suku Khazraj tersebut maka telah datang 12 orang dari Yathrib daripada suku Aus dan Khazraj bagi menunaikan haji dan juga mengadakan pertemuan rahsia dengan Rasulullah s.a.w. di ‘Aqabah. Bai’ah ini dikenali sebagai Bai’ah ‘Aqabah Pertama atau Bai’ah an-Nisa’ memandangkan tiada penekanan terhadap masalah peperangan dan jihad dalam perjanjian ini sebagaimana yang biasa dilakukan terhadap wanita ketika berbai’ah.
Ubadah bin as-Somit telah memberitahu tentang perjanjian ini di mana katanya : Sesungguhnya kami berjumlah 12 orang lelaki maka Rasulullah s.a.w berkata kepada kepada kami: ” Marilah kamu semua untuk memberi bai’ah kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak mengengkariku pada perkara kebaikan. Sesiapa di kalangan kamu yang menepati bai’ah ini maka Allah akan mengganjarinya dan sesiapa yang melanggarnya dan Allah membalasnya di dunia maka ia merupakan kaffarah kepadanya. Sesiapa yang melanggarinya dan Allah menutupnya maka urusannya terserah kepada Allah samada Dia membalasnya di akhirat atau pun memaafkannya”. Ubadah bin as-Somit menambah lagi bahawa selepas itu mereka semua memberi bai’ah kepada Rasululullah s.a.w.
Sebelum mereka bertolak pulang ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah mengirim bersama mereka Mus’aib bin ‘Umair bagi mengajar al-Quran dan menerangkan tentang Islam di nama beliau dikenali sebagai Muqri’ ertinya pembaca al-Quran. Ketika berada di Madinah beliau tinggal bersama dengan Sa’ad bin Zararah. Inilah usaha dan suasana sambutan awal kepada penerimaan Islam oleh penduduk Madinah hasil kegigihan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Bai’ah Aqabah kedua terjadi pada tempat yang sama pada malam 12 Zulhijjah tahun 13 kenabian juga dalam keadaan rahsia. Bilangan wakil penduduk Madinah terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 perempuan yang diketuai oleh Al-Barra’ bin Makrur. Ucapan Bai’ah mereka hampir sama dengan yang pertama tetapi ada tambahan dalam masalah jihad dan peperangan. Ia turut dihadiri oleh bapa saudara baginda Abbas bin Abdul Muttalib. Dalam bai’ah ini kaum Khazraj memohon agar nabi s.a.w rela berhijrah ke Madinah di mana mereka sanggup menjaga keselamatan baginda sebagaimana mereka menjaga keluarga sendiri.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Dan supaya kamu sekalian akan membantuku dan mejaga keselamatanku ketika berhijrah ke sana nanti sebagaimana kamu menjaga diri dan keluargamu dan bagi kamu balasan Syurga daripada Allah”
Bai’ah ini yang juga dipanggil Bai’ah Aqabah Kubra ditutup dengan doa yang diucapkan oleh Abbas bin Abdul Muttalib yang mana antara kandungannya ialah memohon kepada Allah tentang keselamatan Rasulullah s.a.w dan kesungguhan janji daripada orang-orang Yathrib itu. Ini merupakan kejayaan besar yang membuka dan memudahkan jalan dakwah dan seterusnya tertegak Daulah Islamiah yang pertama di Madinah.
Firman Allah dalam ayat 218 surah al-Baqarah :
إن الذين ءامنوا والذين هاجروا وجــهدوا فى سبيل الله أولئك يرجون رحمت الله والله غفور رحيم
Maksudnya : Sesungguhnya mereka yang beriman dan mereka yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah maka mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan