Khamis, 2 Disember 2010

118. DAULAH ISLAMIAH MEMPERKASAKAN ISLAM

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 54 سورة المائدة :
يأيها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكـفرين يجــهدون فى سبيل الله ولا يخافون لومة لآئم ذلك فضل الله يؤتيه من يشآء والله وسع عليم
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di kalangan kamu yang murtad daripada agamanya maka Allah akan mendatangkan suatu kaum di mana Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, bersikap lemah lembut sesama orang beriman serta tegas terhadap golongan kafir, berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnian Allah yang dianugerahkannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui
Kini kita berada di minggu terakhir bulan Zulhijjah di mana tidak lama apabila terbitnya fajar 1 Muharram maka kita akan meninggalkan tahun 1422 bagi sama-sama menyambut ketibaan tahun baru 1423 Hijrah. Kesyukuran dipanjatkan ke hadhrat Rabbul ‘Izzati di atas segala kurniaan dan rahmatNya yang melimpah ke atas kita semua dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba di alam dunia fana sebelum dijemput menemuiNya di alam akhirat yang kekal selamanya. Masa begitu pantas berlalu meninggalkan kita di mana beredarnya masa bersama dengan meningkatnya usia kita yang turut mengingatkan kita betapa hampirnya kita kepada hari mati serta bertambah dekatnya dunia ini untuk menemui hari terakhirnya iaitu hari qiamat. Kita berharap agar semua amalan kita setahun yang bakal berlalu diterima oleh Allah sebagai bekalan hari akhirat disamping mengharapkan agar segala dosa diampunkan oleh Allah Tuhan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Tahun 1422 yang bakal meninggalkan kita telah meninggalkan seribu satu pengalaman dan peristiwa samada manis atau pahit, kenangan indah atau berdarah buat umat Islam sedunia. Semoga fajar tahun baru yang bakal tiba akan menjanjikan kehidupan yang lebih mulia dan aman kepada umat Islam yang kini dihina dan hidup dalam ketakutan akibat kezaliman dan penindasan yang dihadapi silih berganti. Kita umat Islam telah diberikan kemuliaan oleh Allah dalam membina sebuah kuasa yang besar dengan tamadun yang tinggi bermula daripada zaman Rasulullah s.a.w dan seterusnya disambung tugas sebagai pemerintah yang menjaga kesucian agama dan mengurus kehidupan dunia berdasarkan wahyu oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan khalifah-khalifah selepas mereka termasuk di alam Melayu ini. Malangnya apabila kesucian Islam dicemari dan system Islam dipenjarakan oleh penjajah dan diteruskan peranan ini oleh anak didik mereka maka umat Islam terus menjadi umat yang hina dan tertindas termasuk di negara umat Islam sendiri. Bila diperhatikan bagaimana perbezaan ketara antara kehidupan umat Islam semasa di Mekah sebelum hijrah tanpa kuasa pemerintahan di mana kuffar quraisy saban hari sentiasa mengancam dan berusaha mengembalikan umat Islam kepada kekufura sehingga ramai yang terbunuh syahid. Penindasan terhadap umat Islam di Mekah pada masa itu tidak dapat disekat sehingga datangnya kebenaran untuk berhijrah ke Habsyah sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri tidak turut serta ke sana walau pun penentangan terhadap dakwah Islam dan keselamatan tubuh baginda sendiri tidak terjamin. Kehidupan umat Islam dan kehebatan umat Islam mula berubah daripada umat yang tertindas kepada umat yang memerintah, daripada umat yang dihina kepada umat yang mulia, daripada umat lemah kepada umat yang gagah apabila tertegaknya pemerintahan Islam pertama di Madinah selepas penghijrahan Rasulullah s.a.w dan umat Islam dari Mekah ke Madinah dengan mendapat keizinan daripada Allah. Kuasa pemerintahan yang dianugerahkan bersama dengan pelaksanaan seluruh sistem Islam dalam urusan kehidupan telah mengubah segala-galanya di mana Islam tidak lagi dipandang rendah oleh musuh malah Islam dipandang begitu indah bagi mereka yang mencintainya dan dipandang sebagai suatu kuasa yang gagah dan mampu menggugat kuasa besar yang lain bagi sesiapa yang memusuhinya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Jika dilihat keadaan masyarakat majmuk di Madinah semasa ketibaan Rasulullah s.a.w maka dari segi perkiraan akal begitu payah untuk menegakkan Daulah Islamiah yang melaksanakan seluruh sistem Islam kerana ia agak asing dan belum terlaksana sebelum ini. Kuasa Allah melebihi segala kuasa makhlukNya di mana jumlah umat Islam pada masa itu di kalangan Muhajirin dan Ansor adalah sedikit berbanding rakyat Madinah yang belum memeluk Islam termasuk yahudi tetapi Daulah Islamiah yang melaksanakan seluruh sistem dapat ditegakkan dengan jayanya hasil kebijasanaan Rasulullah s.a.w, keadilan system Islam yang diperakui oleh rakyat Madinah pada masa itu serta pertolongan Allah. Kehebatan Daulah Islamiah terus dicemburui dan dimusuhi oleh kuffar Quraisy Mekah sehingga banyak peperangan yang berlaku. Kekuatan Islam yang menguasai hati manusia dan mengawal pergerakan mereka dengan perundangan yang adil telah membolehkan Islam tersebar luas ke seluruh tanah Arab dan sekitarnya dan seterusnya berjaya meruntuhkan 2 kuasa besar pada masa itu iaitu kuasa Kristian Rom dan kuasa Majusi Parsi serta menawan 2 Empayar kuat Hindu India dan Budha China. Kekuatan Islam bukan terletak pada paksaan senjata bagi menundukkan orang lain kepada Islam sebaliknya Islam dengan keindahan dan kesempurnaan sistemnya yang bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri telah berjaya menundukkan hati manusia untuk akur dan taat kepada Islam. Ini berbeza dengan ideologi dan sistem ciptaan manusia yang hanya mampu meluaskan kuasanya melalui senjata dengan memaksa orang lain tunduk kepada sistem yang dicipta. Kejatuhan pemerintahan Islam kebanyakannya akibat kecuaian umat Islam sendiri yang meninggalkan ajaran dan sistem Islam yang menyebabkan kezaliman berlaku sedangkan kejatuhan kuasa pemerintahan yang berasaskan sistem ciptaan manusia akibat daripada kezaliman system itu sendiri yang terlalu memaksa rakyat untuk tunduk kepadanya malah mereka yang bertanggunggjawab mencipta sistem itu sendiri menjadi golongan yang melanggar sistem yang dicipta. Hanya Allah Tuhan Pencipta sahaja yang mampu mengawal manusia dengan sistem Islam yang berdasarkan wahyu yang diturunkan kepada umat manusia sedangkan manusia tidak mampu mengawal manusia yang lain berdasarkan akalnya yang lemah.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Jika Rasulullah s.a.w dan para sahabat terpaksa berhijrah daripada tanahair tercinta menuju ke Madinah maka ramai saudara kita hari ini turut dipaksa berhijrah tetapi yang berbezanya Rasulullah s.a.w berjaya membina Daulah Islamiah dan menjadi umat mulia sedangkan umat Islam hari ini terus menjadi pelarian yang mengharapkan ihsan daripada orang lain. Jika Rasulullah s.a.w berjaya menghalau yahudi daripada bumi Madinah apabila mereka melanggar piagam Madinah sedangkan umat Islam hari ini dihalau oleh yahudi yang melanggar perjanjian damai sesuka hati dari bumi Palestin milik umat Islam. Jika para sahabat nabi berjaya meruntuhkan kuasa besar dengan kekuatan Islam sedangkan umat Islam pada hari ini seperti di Aghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina diserang oleh kuasa besar kuffar yang dibantu oleh umat Islam yang tidak sedar diri apabila ajaran Islam diketepikan. Jika Rasulullah s.a.w dan khalifah Islam selepas itu berjaya memberi layanan istimewa dan menghormati umat bukan Islam tetapi umat Islam pada hari ini yang hidup dalam negara kuffar diperangi seperti di Gujerat India di mana lebih 650 umat Islam dibunuh dan dibakar oleh pelampau hindu atas alasan umat Islam bertanggungjawab membunuh 58 aktivis hindu dalam sebuah keretapi baru-baru ini. Jika pada zaman Rasulullah s.a.w dan khalifah selepas itu masjid mudah dibina tetapi kebanyakan masjid hari ini terdedah kepada bahaa sehingga ada pelampau yahudi yang mencadangkan untuk mengebom Ka’abah di Mekah disamping yahudi sehingga hari ini cuba meruntuhkan Masjid al-Aqsa, Palestin dan pelampau hindu pula cuba membina kuil di atas runtuhan Masjid Babri, India yang diruntuhkan beberapa tahun yang lalu. Inilah bezanya apabila Islam dilaksana dan bala Allah apabila Islam diketepikan. Oleh itu hayunkan tangan, langkahkan kaki dalam mengembalikan semula kemuliaan umat Islam dengan sama-sama kembali bersatu di bawah panji Islam dan seterusnya melaksanakan seluruh system Islam dalam setiap aspek kehidupan. Islamlah nescaya kita selama dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 33 surah Ahzab :
من المؤمنين رجال صدقوا ماعــهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا
Maksudnya : Di antara orang mukmin itu ada mereka yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah maka di antara mereka ada yang gugur syahid. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah janjinya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan