Selasa, 29 April 2008

89. KAYA AGAMA DAN HARTA CIRI MUKMIN JAYA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ........فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله دالم آية 1 – 5 المؤمنون :
قد أفلح المؤمنون الذين هم فى صلاتهم خـــشعون والذين هم عن اللغو معرضون والذين هم للزكـــوة فـــعلون والذين هم لفروجهم حـــفظون .
Maksudnya : Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang memelihara kemaluannya.
Kita kini berada di hari-hari dan malam-malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkat ini. Oleh itu kita jangan sama sekali melepaskan peluang yang masih ada ini untuk terus meningkatkan lagi amal ibadah kita disamping menjauhi segala maksiat. Terutama malam ini kita berada pada malam ke 27 daripada malam Ramadhan yang kebiasaannya jika kita lihat di beberapa negara terutama negara arab di mana mereka menjadikan malam 27 sebagai malam pesta ibadat dengan harapan berkebetulan dengan Lailatul Qadar. Sewajarnya kita turut menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan ini terutama pada malam-malam ganjil agar kelebihan Lailatul Qadar dapat dicapai serta ia tidak berlalu begitu sahaja sedangkan kita tidak cuba untuk merebutnya akibat terleka dengan persiapan hari raya.
Daripada Sayyidatina 'Aisyah bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada malam ganjil daripada malam-malam sepuluh akhir daripada Ramadhan.
Kelebihan Lailatul Qadar memang telah jelas kepada kita dan ia datang dalam suasana umat Islam berada diambang menyambut ketibaan hari raya. Bagi umat Islam yang kuat iman serta istiqamah dalam ibadat maka persiapan hari raya tidak mengganggu amal ibadatnya dalam menghidupkan seluruh malam Ramadhan terutama Lailatul Qadar. Tetapi bagi umat Islam yang tidak mempunyai ketahanan diri dalam melawan nafsu maka peluang yang ada lebih banyak disia-siakan sehingga kelebihan Lailatul Qadar tidak memberi makna kepada dirinya. Inilah antara ujian Allah terhadap umatnya di mana Dia datangkan Lailatul Qadar ketika umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya bukan pada awal Ramadhan sehingga ada yang berjaya menghadapinya dan tidak kurang mereka yang kecundang sehingga hari-hari dan malam-malam terakhir Ramadhan banyak dihabiskan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada menambahkan ibadat. Ini ditambah lagi dengan tindakan media massa yang lebih banyak menceritakan tentang kemeriahan hari raya daripada memperingatkan tentang Ramadhan dan Lailatul Qadar.
Ingatlah sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Jabir :
قَالَ الرَّسُوْلُ : إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَتَخَوَّفُ عَلَى أُمَّتِي الَهَوى وَطُوْلُ الأمَلِ فَأَمَّا الَهَوى فَيَصُدُّ عَنِ الحَقِّ وَأَمَّا طُوْلُ الأمَلِ فَيُنْسِئُ الآخِرَةَ وَهذِهِ الدُّنْيَا مُرْتَحِلَةٌ ذَاهِبَةٌ وَهذِهِ الآخِرَةُ مُرْتَحِلَةٌ قَادِمَةٌ وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِّنْهُمَا بَنُوْنَ فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لاتَكُوْنُوْا مِنْ بَنِي الدُّنْيَا فَافْعَلُوْا فَإِنَّكُمُ اليَوْمَ فِى دَارِ العَمَلِ وَلاحِسَابَ وَأَنْتُمْ غَدًا فِى دَارِ الآخِرَةِ وَلاعَمَلََ
Maksudnya : Sesungguhnya perkara yang sangat aku bimbang terrhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang cita-cita. Ini adalah kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang cita-cita pula akan melupakan hari akhirat. Ingatlah bahawa dunia ini pada setiap saatnya berlalu pergi dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang sedangkan setiap satu-satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya. Jika kamu mampu agar tidak menjadi hamba dunia maka lakukanlah kerana kamu pada hari ini berada di kampung dunia yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab sedangkan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tiada lagi peluang bagi berbuat sebarang amal.



Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika umat Islam sedang bertarung dengan nafsu semasa menunaikan ibadat puasa maka Allah datangkan suatu lagi kewajipan yang memperlihatkan bagaimana sempurnanya ajaran Islam yang bukan sahaja melibatkan ibadat badan seperti solat, puasa malah Islam turut memberi tumpuan kepada ibadat harta antaranya kewajipan zakat. Ini menunjukkan secara jelas bagaimana Islam bukan agama pertapaan dan ibadat khusus semata-mata tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi. Sistem zakat merupakan antara latihan jihad bagi melatih diri untuk berkorban apa sahaja demi menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin menyatakan bagaimana harta merupakan sesuatu yang dicintai oleh manusia yang menyebabkan kurang cintanya kepada Allah. Oleh itu bagi menambahkan kembali cintanya kepada Allah maka seseorang itu mesti mengorbankan harta dunia termasuk melalui zakat dan sedekah. Sistem zakat begitu jauh bezanya dengan sistem cukai memandangkan ia mempunyai syarat tertentu dan diagihkan pula kepada golongan tertentu. Sistem zakat jika ditunaikan oleh seluruh umat Islam yang layak serta diurus dengan baik maka ia banyak membantu perkembangan ekonomi umat Islam. Sebagai contohnya jika seluruh umat Islam di negara ini menunaikan zakat fitrah disamping sesiapa yang terlibat zakat yang lain begitu juga dengan syarikat perniagaan seperti Petronas jika ia mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya membayar zakat bagi keuntungan daripada aktiviti perniagaan dan carigali minyak dan gas syarikat itu maka semakin ramai umat yang layak menerima zakat dapat dibantu. Sepatutnya melalui zakat maka umat Islam lebih terkehadapan kerana banyak masalah dapat diselesaikan termasuk menangani masalah pergantungan umat Islam yang berhutang melalui sistem riba termasuk ceti haram atau along. Kita dapat lihat bagaimana agama lain seperti Hindu, Budha dan Kristian dapat menggunakan dana mereka untuk menyebarkan agama mereka sedangkan umat Islam yang mempunyai kekuatan ekonomi melalui kewajipan agama termasuk zakat tidak dapat bergerak seligat mereka. Apa yang salah adalah sikap umat Islam dalam menguruskan zakat bukannya salah ajaran Islam yang mewajibkan zakat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kemiskinan sering dikaitkan dengan kekufuran akibat terlalu berhajatnya golongan ini kepada bantuan telah menyebabkan mereka terlibat dengan perkara yang merosakkan aqidah seperti murtad setelah menerima rasuah daripada pihak Kristian. Malah pihak Kristian sejak dahulu lagi berusaha membeli umat Islam terutama daripada keluarga miskin atau anak luar nikah yang dibuang dan kemudiannya diasuh di pusat pengajian mereka dengan asuhan Kristian sehingga anak itu dikeluarkan sama bangsa dengan umat Islam tetapi berlainan agama yang menyebabkan gerakan Kristian lebih lancar dan mengelirukan. Akibat miskin harta dan miskin iman maka umat Islam sanggup terlibat dengan perkara yang ditegah oleh agama termasuk rasuah. Kita melihat bagaimana kes rasuah melibatkan seludup kereta sahaja sudah begitu parah apatah lagi dalam perkara lain. Cuma apa yang kita harapkan dalam membasmi amalan jenayah rasuah maka bukan setakat anak bilis yang ditangkap berkas sedangkan jerung yang menjadi dalang terus lepas bebas.
Namun kita juga perlu ingat bahawa kekayaan juga boleh membawa kepada kekufuran akibat miskin iman. Jika kita perhatikan dalam negara kita sendiri maka kita dapati lebih ramai di kalangan pemimpin kaya yang menentang Islam daripada golongan rakyat miskin . Malah golongan kaya ini juga terus mahu melihat rakyat miskin ini terus bergantung kepada mereka bagi memastikan takhta dan harta mereka terjamin. Kita ingat bagaimana suatu ketika semasa tentera Islam berjaya menawan Parsi dan merampas Istana Putih dengan jumlah harta rampasan perang yang begitu banyak lalu dibawa pulang ke Madinah dan dilonggokkan di hadapan Khalifah Sayyidina Umar al-Khottab. Melihat timbunan harta itu lalu Sayyidina Umar menangis kerana terlalu bimbang umat Islam selepas ini akan hancur disebabkan harta bukannya disebabkan musuh dari golongan kuffar yang nyata.
Kita lihat bagaimana golongan pemimpin kaya sentiasa memburukkan Islam. Akibat merasakan bahawa harta adalah segalanya maka banyak suruhan serta tegahan agama diketepikan. Perundangan Islam seringkali dikaitkan dengan kezaliman yang boleh menyebabkan pelabur akan takut sedangkan dalam laporan Parlimen negara menunjukkan bahawa negeri Terengganu yang begitu bertegas mahu melaksanakan Hudud dan Qisas menjadi negeri yang paling tinggi kadar kemasukan kepada pelaburan. Sebenarnya orang kaya harta tapi miskin agama begitu bimbang kepada perundangan Islam yang boleh menggugatkan kedudukan takhta dan harta terutama jika ia diperolehi dengan cara yang bercanggah dengan Islam. Oleh itu tingkatkan usaha kita dalam memastikan kita menjadi umat yang kaya harta dan agama ke arah meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Semoga tarbiah puasa Ramadhan dan zakat fitrah dapat meletakkan kita antara 7 golongan yang bakal diteduhkan di bawah bayangan ‘arasy Allah di hari akhirat nanti terutama sebagai golongan yang sentiasa terikat hatinya dengan masjid, golongan yang sentiasa suka bersedekah sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan golongan yang sentiasa ingat kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu menitislah air mata dari kedua matanya
Ingatlah Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :
فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبوب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذنــهم بغتة فإذاهم مبلسون
Maksudnya : Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka lalu Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka dengan tiba-tiba.Maka ketika itu mereka terdiam putus asa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan