Selasa, 29 April 2008

85. KURANG CAKAP BANYAK BERTINDAK GERAKKAN UMAT

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 145 surah al-Baqarah :
ولئن أتيت الذين أوتوا الكتب بكل ءاية ماتبعوا قبلتك وماأنت بتابع قبلتهم ومابعضهم بتابع قبلة بعض ولئن اتبعت أهواءهم من بعد ما جاءك من العلم إنك إذا لمن الظــلمين
Maksudnya : Dan sesungguhnya jika kamu datang kepada orang-orang yahudi dan kristian yang diberikan kitab Taurat dan Injil dengan segala keterangan maka mereka tetap tidak akan mengikut kiblatmu dan engkau pun tidak akan mengikut kiblat mereka. Malah sebahagian mereka pun tidak mengikut kiblat sebahagian yang lain. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka (yahudi dan kristian) setelah datangnya ilmu kepadamu maka engkau termasuk golongan orang-orang yang zalim

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kini kita berada dipertengahan bulan Sya’aban di mana bulan ini turut memahatkan peristiwa penting untuk sama-sama kita renungi di mana pada waktu mula-mula tiba di Madinah maka nabi dan umat Islam diperintah oleh Allah agar mengadap ke arah Baitul Maqdis ketika solat sehingga ia menjadi bahan cercaan dan ejekan yahudi dan kuffar yang lain. Nabi sentiasa berdoa dan mendongak kepala ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah. Daripada peristiwa ini kita dapat lihat bagaimana serangan kuffar terutama yahudi sentiasa berjalan samada secara fizikal atau serangan saraf dalam memastikan dakwah Islam dapat dihentikan. Nabi Muhammad s.a.w begitu bersungguh berdoa kepada Allah agar ditukarkan arah qiblat bagi menguatkan keimanan dan keyakinan umat Islam serta menperjelaskan lagi perbezaan antara qiblat umat Islam dengan yahudi. Rasulullah s.a.w melihat bahawa masalah qiblat ini adalah begitu penting dalam mematahkan serangan saraf musuh Islam sehingga membolehkan umat Islam beribadat kepada Allah dengan penuh tenang dan dapat membezakan antara ajaran Islam dengan agama lain secara lebih jelas lagi

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Perubahan arah qiblat ini bukan bererti kelebihan Masjid Aqsa di Baitul Maqdis terus kehilangan fungsi dan kelebihannya malah qiblat pertama umat Islam itu terus dimuliakan sehingga Rasulullah s.a.w sentiasa mengharapkan agar ia dibebaskan daripada cengkaman kekufuran. Baitul Maqdis berjaya dimerdekakan pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab dan seterusnya ia dikuasai secara bergilir antara keimanan dan kekufuran sehingga hari ini. Walau pun umat Islam merupakan rakyat majoriti di Palestin pada hari ini tetapi saudara seagama kita terus ditindas dan dibunuh sewenangnya akibat penjajahan yahudi setelah mendapat sebuah negara haram Israel atas desakan yahudi terhadap Britain semasa pemecahan negara umat Islam selepas kehancuran Khilafah Uthmaniah Turki. Bermula dengan pencerobohan yahudi dari seluruh dunia terutama Eropah ke atas bumi Palestin telah menyaksikan begitu ramai umat Islam yang disembelih oleh yahudi. Akibat pembunuhan dan penindasan yang tidak berperikemanusiaan ini serta kemuncak kebidapan mereka yang bertindak membakar Masjid al-Aqsa telah membuka mata beberapa negara umat Islam untuk membuat suatu kesatuan sesama mereka terutama dalam mendesak dunia agar menghentikan kezaliman zionis yahudi sehingga tertubuhnya Persidangan Negara Islam (OIC) pada 1969 walau pun anggotanya masih kurang kerana kebanyakan negara umat Islam pada waktu itu baru mendapat kemerdekaan daripada penjajah masing-masing.
Antara perkara yang mampu dibuat pada masa itu ialah Raja Arab Saudi yang menjadi pengerusi pertama OIC pada ketika itu telah bertindak menghentikan formula mengikat matawang negaranya mengikut kadar matawang Britain yang digunakan sebelum ini. Oleh itu jika perhatikan sejarah maka formula pemimpin negara kita mengikat ringgit Malaysia dengan dolar Amerika di mana kadar ringgit akan turun atau naik berdasarkan kadar dolar selepas krisis ekonomi 1997 bukanlah suatu formula baru malah ia merupakan formula lapuk sebelum merdeka lagi. Sedangkan beberapa tahun selepas merdeka kebanyakan negara ASEAN terutama Singapura, Brunei dan Malaysia sendiri mula membina kekuatan matawang masing-masing tanpa perlu terikat dengan kadar matawang penjajah. Perkara ini mampu mengukuhkan kadar matawang jika ia dibuat secara bersungguh disamping masalah boros dalam belanja serta isu rasuah dan pecah amanah dapat dihapuskan terutama dalam negara kita yang kini ditambah dengan masalah pemalsuan cek melibatkan puluhan juta. Nilai matawang negara kita lebih banyak turun berbanding Singapura dan Brunei yang terus dapat bertahan sejak dahulu lagi.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Kedatangan Sya’aban tahun ini turut dimeriahkan dengan berlangsungnya Sidang Kemuncak Persidangan Ketua-ketua Negara Islam (OIC) Ke -10 yang diadakan di Putrajaya bermula dari 11 hingga 18 Oktober. Jika awal penubuhan OIC sebelum ini diwujudkan selepas tekanan dan sengsaranya penduduk Palestin maka kali ini isu Palestin terus menjadi masalah ummah terutama dalam beberapa minggu ini termasuk masalah seorang Perdana Menteri Palestin yang baru dilantik meletak jawatan terus dan seorang lagi secara bersyarat di mana dunia menyaksikan keangkuhan yahudi yang mendapat sokongan Amerika terus mengganas bukan sahaja dalam negara Palestin malah mula memukul gendang perang dengan melakukan serangan rambang ke atas Syria dan Lubnan disamping Amerika sendiri memulakan sandiwara pemeriksaan senjata di Iran.
Ketika OIC belum bersidang lagi dunia Islam telah menyaksikan bagaimana Majlis Pentadbiran Iraq yang ditubuhkan oleh Amerika Syarikat dan Britain diterima sebagai wakil Iraq sedangkan ianya begitu ditentang terutama oleh rakyat Iraq sendiri yang kini sedang menderita. Dunia Islam terus mengharapkan agar OIC dijadikan suatu badan yang kuat dalam mengimbangi kejahatan kuasa besar dunia yang diketuai oleh Amerika yang sebelum ini telah memperkudakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sehingga terjajahnya Afghanistan dan Iraq. Dunia Islam begitu mengharapkan agar OIC dapat mengukuhkan lagi kesatuan umat Islam dalam membina kekuatan pendidikan, pembangunan, persenjataan serta mengembalikan semula kedaulatan Afghanistan, Iraq, Palestin dan selainnya. Dunia Islam sudah benci melihat OIC yang kini dianggotai oleh 57 negara umat Islam hanya bersidang untuk melantik pengerusi baru dan terus bersepakat untuk berpecah dan tunduk kepada system ciptaan kuffar dengan terus mengenepikan system Islam yang bercanggah dengan nafsu pemimpin. Dunia Islam begitu muak menyaksikan OIC hanya menjadi badan yang sekadar bercakap dan melihat bukan untuk bergerak cergas dalam bertindak menyelesaikan masalah sejagat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebarang keputusan OIC tidak akan bermakna jika hanya dilaung untuk menampilkan siapa yang lebih hebat bercakap sedangkan lembap dan takut dalam bertindak. Melihat kepada kekuatan dan hasil yang begitu banyak yang wujud dalam negara umat Islam ini maka sepatutnya OIC telah lama dapat membina kekuatan yang tersendiri tanpa terlalu banyak bergantung kepada sistem kuffar terutama yahudi. Apa yang malangnya apabila negara umat Islam sendiri tidak terlepas dengan masalah dalam negara mereka sendiri terutama dari segi rasuah, pecah amanah dan berlawan sesama sendiri sehingga pemimpin memandang rakyat yang bangun menegur kesalahannya sebagai pengganas. Malah sukatan pengajian agama turut dikurangkan serta banyak pusat pengajian agama diruntuhkan kerana terlalu mengikut telunjuk Amerika sedangkan kita dapat melihat yahudi sendiri sentiasa menambah dalam pengajian rakyatnya tentang dendam untuk menghancurkan umat Islam. Apabila pemimpin negara umat Islam sendiri lebih berani dalam menyerang rakyat sendiri dan menghancurkan pengajian Islam maka apakah ada lagi harapan yang tinggi untuk mengharapkan mereka untuk menyelesaikan masalah umat sejagat.
Oleh itu dunia Islam sentiasa mengharapkan agar persidangan OIC kali ini digunakan oleh para pemimpin untuk bertaubat dan kembali kepada seluruh system Islam. Kurangkan pergantungan terhadap system ciptaan kuffar yang kebanyakannya bakal menghancurkan kita di dunia dan akhirat. Sempena persidangan OIC ini dengan pengerusi baru yang bakal dilantik dari pemimpin negara ini maka seluruh umat Islam yang bermaruah mendesak supaya semua tahanan ISA dibebaskan agar apa yang dicakap sama dengan apa yang dibuat, apa yang dikata sama dengan apa yang dikota. Usah bercakap isu keadilan sejagat sedangkan kebebasan rakyat sendiri disekat. Palingkan qiblat umat Islam daripada terus menggunakan system kuffar kepada berqiblatkan system Islam agar kita dimuliakan Allah di dunia dan akhirat. Islamlah nescaya kita selamat.
Firman Allah dalam ayat 150 surah al-Baqarah :
ومن حيث خرجت فول وجهك شطر المسجد الحرام وحيث ما كنتم فولوا وجوهكم شطره لئلا يكون للناس عليكم حجة إلا الذين ظلموا منهم فلاتخشوهم واخشوني ولأتم نعمتي عليكم ولعلكم تهتدون
Maksudnya : Dan dari mana sahaja kamu keluar maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya agar tidak ada hujah bagi manusia untuk menentangmu kecuali orang-orang zalim di antara mereka. Maka janganlah kamu gentar kepada mereka dan takutlah kepada Allah. Dan nescaya Aku (Allah) akan sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan agar kamu mendapat petunjuk
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan