الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' :
سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Peristiwa Isra’ dan Mikraj telah meninggalkan suatu pengajaran dan kesan yang besar kepada kehidupan umat Islam. Peristiwa ini telah membuktikan lagi tentang kenabian nabi Muhammad s.a.w serta lebih membezakan lagi keistimewaan baginda berbanding nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain. Ia turut menyatakan betapa rapatnya hubungan antara Allah dengan hambanya yang dilantik menjadi nabi lagi rasul kepada umat akhir zaman. Peristiwa yang merupakan penghibur hati Rasulullah s.a.w yang baru kehilangan 2 orang yang selama ini banyak memberi bantuan dan perlindungan ketika menjalankan kerja dakwah menyebarkan Islam iaitu isteri tersayang Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Kehilangan kedua-dua tokoh ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada semangat Rasulullah s.a.w terutama selepas kewafatan mereka maka semakin bertambah tekanan dan penyiksaan terhadap batang tubuh nabi. Hikmat kepada kewafatan keduanya adalah bagi memastikan nabi mampu berdikari dan bergerak lebih maju dalam mengembangkan dakwah Islam tanpa perlu rasa berhajatnya kepada bantuan dan harapan selain daripada Allah di mana kuffar Quraisy tidak lagi menganggap kejayaan dakwah Islam selama ini disebabkan nabi dibela dan dilindungi oleh kedua tokoh tersebut sebaliknya kuffar Quraisy terpaksa menelan hakikat sebenar bahawa kejayaan itu adalah kerana kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w dan Islam agama yang dibawanya.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Isra’ iaitu diperjalankan nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Aqsa Baitul Maqdis, Palestin membuktikan bagaimana kukuhnya ikatan antara 2 Qiblat umat Islam iaitu Baitul Maqdis yang merupakan qiblat pertama sebelum Allah memperkenankan doa nabi Muhammad s.a.w untuk menukarkan arah qiblat kepada Qiblat kedua iaitu Ka’abah di Masjidil Haram. Sehingga hari ini ada lagi kesan kepada peristiwa singgahnya nabi di Masjid Aqsa iaitu batu tergantung yang ditutupi oleh sebuah bangunan berkubah warna emas yang dibina di hadapan Masjid Aqsa yang berkubah hijau. Batu ini pernah cuba mengikuti nabi untuk Mikraj ke langit tetapi ditahan sehingga ia tergantung sehingga hari ini. Penjelasan yang begitu terang tentang kedua-dua masjid ini juga bagaikan memberi peringatan kepada yahudi yang mengaku dari keturunan bani Israel bahawa kelahiran nabi Muhammad s.a.w telah menyebabkan amanah kenabian berpindah daripada bani Israel kepada bani Ismail iaitu nabi kita Muhammad s.a.w akibat daripada engkarnya yahudi terhadap kebanyakan ajaran kitab Taurat yang sebenar. Peristiwa Isra’ ini bagaikan pengiktirafan awal kepada umat Islam bahawa mereka bakal menawan Baitul Maqdis daripada cengkaman kekufuran setelah umat Islam terlebih dahulu menghancurkan amalan dan kehidupan jahiliah dengan berjaya menawan Kota Mekah secara keseluruhannya. Bagaimana ayat al-Quran menyebut tentang kemuliaan Masjid Aqsa dan bumi sekitarnya maka hadis nabi turut menjelaskan lagi kemuliaannya disamping hadis yang memberi semangat kepada seluruh pejuang Islam agar membebaskan Baitul Maqdis daripada kejahatan dan penindasan musuh terutama yahudi. Umat Islam dahulu telah beberapa kali menawan baitul Maqdis bermula pada zaman Sayyidina Umar yang berjaya menawannya daripada kerajaan Kristian Rom.
Sehingga hari ini baitul Maqdis dikuasai secara silih berganti antara tiga agama secara umumnya. Sebagaimana maklum bahawa bumi baitul Maqdis merupakan bumi yang mulia dan menjadi rebutan tiga agama terbesar dunia iaitu Islam, yahudi dan Kristian. Apa yang jelas sekarang di mana yahudi yang sebelum ini telah dihalau keluar daripada baitul Maqdis akibat kejahatan mereka kini mula memasuki semula bumi yang mulia ini dengan melakukan penjajahan yang dipenuhi dengan penindasan dan pembunuhan yang tidak berperi kemanusiaan. Apa yang lebih malang yahudi terus berusaha menutup keganasan mereka dengan menyebarkan berita palsu terutama kebanyakan media massa hari ini dikuasai oleh yahudi. Oleh itu kita mesti berhati-hati berita yang disampaikan agar tidak tertipu dengan dakyah yahudi yang terus membunuh umat Islam. Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa adalah milik umat Islam yang mesti dipertahankan walau pun terpaksa menumpahkan darah.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peristiwa Isra’ Mikraj juga telah memberi peluang kepada nabi Muhammad s.a.w untuk bertemu dengan para rasul yang lain sepanjang perjalannya ke Sidratul Muntaha. Para rasul dan nabi telah memuji dan mengiktiraf kenabian nabi Muhammad s.a.w yang menambah lagi keistimewaan yang sedia ada kepada nabi. Ia juga dapat menyuntik semangat kepada nabi agar meneruskan dakwah dan tugas dalam mengembangkan Islam yang pernah dijalankan oleh para nabi dan rasul sebelumnya terutama nabi Muhammad s.a.w terpaksa berhadapan dengan tugas yang lebih mencabar sebagai rasul yang diutuskan kepada semua umat manusia akhir zaman tanpa dikhususkan kepada kaum tertentu sahaja sebagaimana nabi sebelum ini.
Malah lawatan ke tempat yang telah dijanjikan oleh Allah kepada seluruh umat manusia iaitu untuk melihat ahli Syurga dengan nikmat yang dikecapinya dan Neraka dengan azab yang menimpa penghuninya telah menambahkan keyakinan nabi terhadapnya. Ia juga lebih mengemaskan lagi hujah nabi apabila berhadapan dengan umat manusia nanti yang sememangnya mahu penjelasan tentang Syurga dan neraka. Oleh itu apabila kita membaca atau mendengar tentang kisah keadaan ahli neraka yang pernah dilihat oleh nabi seperti azab kepada sesiapa yang makan riba, penzina, pengumpat, orang yang makan harta anak yatim, orang yang mendedah aurat dan sebagainya maka kita perlulah insaf dan memastikan diri kita dan keluarga kita agar tidak terlibat dengan sebarang dosa tersebut. Banyak kesalahan dan jenayah itu sedang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kesan yang paling besar kepada peristiwa Isra’ Mikraj yang bukan sahaja dilakukan oleh Rasulullah s.a.w malah mesti ditunaikan oleh kita sebagai umat Islam ialah solat lima waktu sehari semalam. Umat Islam dihina pada hari ini antaranya kerana ramai dikalangan kita meninggalkan solat dan terlalu memudahkannya. Kita turut sedih apabila adanya orang yang belajar agama yang sanggup mengeluarkan pendapat bahawa diharuskan tinggal solat yang dianggap lebih ringan untuk mengharumkan nama negara yang dianggap lebih besar. Kita mesti ingat bahawa banyak hadis nabi yang memberi amaran keras kepada umatnya agar jangan meninggalkan solat. Malah nabi turut menyentuh mengenai antara tanda akhir zaman apabila pemimpin melengahkan solat. Kita turut diingatkan oleh nabi bahawa simpulan Islam akan dirombak satu demi satu oleh umat Islam sendiri bermula daripada solat sehinggalah dirombak sistem atau hukum Islam. Bagaimana kita mengaku beragama Islam jika kewajipan solat diabaikan. Menurut satu kajian hanya 20 peratus sahaja daripada jumlah umat Islam seluruh dunia yang sembahyang. Oleh itu bagaimanakah umat Islam mahu kembali mencapai kemenangan apabila ikatan dengan Allah semakin kurang dengan meninggalkan sembahyang. Jangan tanya Allah mengapa tidak datangkan kemenangan tetapi tanyalah umat Islam sendiri adakah kita telah menunaikan seluruh kewajipan agama termasuk sembahyang. Solat merupakan antara kewajipan yang membentuk umat yang berdisiplin dengan menjaga waktunya. Oleh itu jagalah solat dan bagi kaum lelaki biasakan diri kita dengan solat berjemaah di masjid atau surau. Kuatkan kembali semangat jihad untuk melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh nyata ialah golongan yang menentang agama Allah dengan kita sama-sama menyuburkan kesatuan kita melalui solat berjemaah.
Renungilah firman Allah dalam ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:
لايكلف الله نفسا إلا وسعها لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا ربنا ولا تحمل علينا إصرا كما حملته على الذين من قبلنا ربنا ولا تحملنا مالا طاقة لنا به واعف عنا واغفرلنا وارحمنا أنت مولئنا فانصرنا على القوم الكفرين
Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan