Rabu, 4 Ogos 2010

81. MERDEKAKAN PERLEMBAGAAN NEGARA DENGAN ISLAM

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Qosas :
ونريد أن نمن على الذين استضعفوا فى الأرض ونجعلهم أئمة ونجعلهم الورثين . ونمكن لهم فى الأرض ونرى فرعون وهــمــن وجنودهما منهم ما كانوا يحذرون
Maksudnya : Dan Kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan Kami mahu menjadikan mereka pemimpin serta menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi. Dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi ini dan akan Kami memperlihatkan kepada Firaun dan Haman serta tentera keduanya tentang apa yang sentiasa mereka bimbangkan selama ini
Kemerdekaan merupakan suatu kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan yang selama ini membelenggu sesuatu bangsa atau negara. Sesuatu bangsa hanya akan mencapai kemerdekaan hakiki apabila mampu membebaskan diri daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah dalam setiap aspek kehidupan bermula daripada ibadat khusus sehinggalah menguruskan negara. Hampir keseluruhan negara umat Islam termasuk negara kita mendapat kemerdekaan daripada penjajah dengan bersyarat antaranya mesti tunduk kepada perlembagaan penjajah yang bertujuan agar kita terus tunduk kepada penjajah walau pun kemerdekaan telah diberi. Kita perlu faham bahawa negara kita asalnya negara Islam tetapi penjajah telah memurtadkan perlembagaan negara di mana perlembagaan ini terus dipertahankan yang menyebabkan kebanyakan sistem Islam gagal dilaksanakan dalam negara kerana bercanggah dengan perlembagaan negara. Oleh itu dalam memastikan kita lahir sebagai umat merdeka maka kita mestilah mengislamkan kembali perlembagaan negara agar kemerdekaan yang dicapai adalah kemerdekaan hakiki dan kita dapat meraih keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Orang bukan Islam tidak boleh sama sekali mempertikaikan sebarang usaha dalam mengislamkan kembali perlembagaan negara ini kerana asal negara ini ialah negara Islam. Malah umat Islam mesti lebih berani dan yakin dalam melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara dengan penuh hikmah. Kita perlu ingat bagaimana usaha dalam melaksanakan sistem Islam sering terbantut atas alasan perpaduan dan menjaga hati orang bukan Islam sedangkan sistem Islam tidak pernah menindas manusia. Alasan yang diberikan adalah alasan lapuk dan ketinggalan zaman di mana ia mula dimainkan di Mesir atas alasan mahu menjaga keamanan negara dan perpaduan dengan penganut Kristian yang jumlahnya begitu sedikit di sana dan alasan tersebut turut digunakan di negara kita. Jika selama ini rakyat tidak mempertikaikan apabila Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat mengapakah apabila orang bukan Islam diberikan pilihan dalam masalah perundangan Islam maka ia dikatakan tidak adil dan membahayakan mereka. Kita perlu fahami bahawa perundangan dalam Islam bukan untuk menghukum pesalah semata-mata tetapi ia merupakan antara cara untuk bertaubat atas kesalahan berat yang menyebabkan orang bukan Islam diberikan pilihan untuk menerima pakainya atau pun tidak. Kita memperbesarkan masalah pelaksanaan hukuman Islam kerana masalah jenayah dalam negara membabitkan rompakan, rogol, zina, membunuh semakin meningkat bagaikan tiada penyelesaian sedangkan hukuman untuk jenayah itu jelas ada dalam perundangan Islam tetapi ia tidak mahu dilaksanakan. Merdekakah kita jika perundangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh penganutnya sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara punca kepada penjajahan dan penerusannya yang menyebabkan umat Islam terus mundur dan tertinggal termasuk dalam negara mereka sendiri ialah apa yang pernah tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Ibnu Umar di mana katanya bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Wahai kaum Muhajirin! 5 perkara andainya kamu ketepikan maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah semoga kamu tidak menemui saat itu. 1. Tidak terserlah zina pada suatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan kecuali mereka akan ditimpa suatu penyakit merbahaya yang cepat merebak di kalangan mereka dan mereka dimusnahkan oleh penyakit yang belum pernah menimpa umat terdahulu. 2. Dan tiada mereka mengurangi sukatan daripada timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan berlaku zalim daripada kalangan pemimpin mereka. 3. Dan tiada mengeluarkan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka hujan dari langit di mana jika tiada binatang sudah tentu mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah. 4. Dan tiada mereka mungkir janji Allah dan rasulNya kecuali Allah akan menguasakan atas mereka musuh mereka maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. 5. Dan apabila pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan maka diwaktu itu Allah jadikan peperangan sesama mereka.
Oleh itu sedarlah kita bagaimana peringatan daripada Rasulullah s.a.w tersebut mestilah diambil perhatian dan tindakan sewajarnya agar kita dapat merdekakan diri daripada bala Allah. Sebagai umat yang beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita mesti yakin bahawa tiada kemerdekaan hakiki melainkan tunduk menyembah Allah dalam seluruh aspek kehidupan bukannya ketika beribadat khusus sahaja. Malah hadis tadi bukan sahaja menyentuh mengenai masalah ibadat khusus tetapi turut merangkumi masalah sosial, perundangan, ekonomi dan pemerintahan. Ingatlah bagaimana dalam masalah Aids sahaja negara terpaksa mengeluarkan ratusan juta setiap tahun untuk menanganinya. Begitu juga masalah dadah di mana negara terpaksa mengeluarkan belanja 300 juta setahun serta terpaksa membina 28 buah pusat pemulihan seluruh negara setakat ini. Jika Islam dapat dilaksanakan dengan penuh amanah maka wang berjumlah ratusan juta untuk mengubat penyakit yang begitu parah itu boleh digunakan dalam melahirkan lebih ramai pakar agama dan profesional dalam memajukan negara. Malah sekurang-kurangnya jumlah wang sebanyak itu sudah cukup untuk kembali membantu sekolah agama rakyat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Antara tanda negara berdaulat ialah adanya benderanya sendiri. Tidak salah mengibar bendera bagi menyatakan kegembiraan dalam menyambut kemerdekaan negara. Malah bendera merupakan simbol kekuatan yang mesti djaga terutama dalam peperangan. Kita pernah ingat bagaimana sepupu nabi iaitu Jaafar bin Abi Tolib at-Toyyar yang ditugaskan sebagai panglima perang Islam dalam peperangan Mu’tah yang berlaku pada tahun 8 Hijrah di mana beliau kehilangan kedua-dua belah tangannya kerana mengawal panji Islam daripada jatuh ke tanah sehingga beliau akhirnya menggigit panji itu dengan mulutnya sebelum datangnya musuh lalu memenggal kepalanya yang menyebabkan beliau gugur syahid di mana beliau telah digelar at-Toyyar yang bererti pemilik sayap untuk terbang di syurga. Walau bagaimana pun panji Islam itu tidak sempat jatuh ke bumi sebaliknya disambar dengan segera oleh tentera Islam yang lain. Akhirnya tentera Islam menang dalam peperangan ini hasil kecekapan panglima Islam yang baru dilantik semasa peperangan iaitu Sayyidina Khalid ibnu Walid disamping keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan dan kemenangan daripada Allah yang tertanam dalam sanubari tentera Islam.
Oleh itu fahamilah kita bahawa kibaran bendera bukan semata-mata untuk menyatakan kegembiraan kerana negara sudah merdeka daripada penjajah berbangsa Inggeris sebaliknya kita mesti lebih bersemangat untuk memerdekakan perlembagaan negara ini yang masih dijajah oleh perlembagaan penjajah Inggeris. Jangan hanya tahu mengibar bendera sedangkan kita lupa untuk bangun memberi peringatan kepada pemimpin agar menghentikan kezaliman, penindasan, salah guna kuasa dan tindakan kejam terhadap pengajian agama dan penghinaan terhadap Islam yang kebanyakannya lebih berani daripada penjajah itu sendiri. Jangan hanya tahu melihat bendera negara berkibar kerana cintanya kita pada tanahair sedangkan banyak tanah dan air milik negara tergadai kepada orang asing.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagi menyatakan kesyukuran kita atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi maka sewajarnya kita mengisi kemerdekaan ini dengan lebih bersungguh dalam menunaikan kewajipan agama kerana Allah barulah kita memperolehi kemerdekaan hakiki. Jangan kita hanyut dan terpedaya dengan slogan Keranamu Malaysia sehingga kita mendahulukan tuntutan negara daripada agama. Ingatlah kita bahawa agamalah yang memuliakan sesuatu bangsa dan membawa keamanan kepada negara. Jangan disebabkan mahu mengharumkan nama negara maka adanya umat Islam yang sanggup meninggalkan kewajipan agama terutama yang besar iaitu sembahyang. Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w sendiri bukan sahaja mengharumkan malah mempertahankan Daulah Islamiah tetapi tetap sembahyang dalam keadaan syiddatul khauf. Malah Rasulullah s.a.w pernah memberi peringatan bagaimana ikatan Islam akan dirungkaikan satu demi satu oleh umat Islam sendiri bermula daripada sembahyang diakhiri dengan system Islam. Jangan slogan Keranamu Malaysia lebih besar daripada KeranaMu Allah yang menyebabkan maslahat negara lebih besar daripada arahan Allah. Rupanya slogan Keranamu Malaysia telah menyebabkan umat Islam Islam sendiri lebih bersungguh dalam mengharumkan nama negara walau pun dengan mengenepikan ajaran agama. Kembalilah kepada Allah dalam menyambut merdeka bukannya mahu membebaskan diri daripada ikatan tali Allah iaitu Islam.
Firman Allah dalam ayat 7-8 surah Yunus :
إن الذين لايرجون لقاءنا ورضوا بالحيــوة الدنيا واطمأنوا بها والذين هم عن ءايــتنا غــفلون . أولئك مأوئهم النار بما كانوا يكسبون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan untuk menemui Kami (pada hari Akhirat untuk menerima balasan) dan yang redha dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengan kehidupan dunia dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda kekuasaan) Kami. Orang-orang yang demikian keadaannya (di dunia) maka tempat tinggal mereka ialah neraka disebabkan oleh keengkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan