Jumaat, 5 Ogos 2011

52. RAMADHAN DIHAYATI UMAT TERPUJI

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ......فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Perasaan syukur yang tidak terhingga kita rafakkan ke hadrat Allah di atas nikmat Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Tawaran yang berharga daripada Allah terutama dengan anugerah lailatul qadar pada suatu daripada malam-malam Ramadhan di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Taqwa itulah kalimah yang sentiasa disebut atas mimbar Jumaat dan bila tibanya bulan Ramadhan. Antara ciri-ciri orang bertaqwa kepada Allah ialah sebagaimana yang disebut dalam al-Quran melalui firman Allah dalam ayat 17 – 19 surah az-Zaariyat:
كانوا قليلا من الليل ما يهجعون وبالأسحارهم يستغفرون وفى أموالهم حق للسائل والمحروم
Maksudnya : Mereka itu (orang taqwa ) sedikit sekali tidur pada waktu malam, pada waktu sahur ( akhir malam sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar memohon keampunan daripada Allah dan pada harta-harta mereka, ada bahagian yang ditentukan menjadi sedekah bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri daripada meminta-minta
Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan kebimbangan tentang tidur dengan katanya : “ Aku takut untuk tidur pada siang hari kerana bimbang banyak amanah rakyat akan terabai dan aku juga bimbang untuk tidur pada waktu malam kerana bimbang masa untuk beribadat kepada Allah semakin kurang”. Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadat, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Semoga kedatangan Ramadhan tahun ini mampu digunakan sebaik mungkin dalam menambahkan ibadat bukannya menambah berat badan. Jadikanlah Ramadhan bulan yang penuh keberkatan, janji penggandaan pahala dan pengampunan dosa serta makbulnya doa sebagai bulan pesta ibadat bukan bulan pesta makanan lazat. Banyakkan membaca dan tadarrus al-Quran serta yang paling penting adalah pengamalan terhadap kandungan al-Quran. Sesuatu ubat tidak berguna dalam menyembuhkan penyakit sekiranya hanya membaca arahan pada kulit ubat tersebut sahaja sebaliknya pesakit mesti memakannya barulah ubat itu berkesan dalam mengubati penyakit yang dihidapi. Begitulah juga al-Quran tidak akan dapat menyembuh penyakit diri, ekonomi, politik, sosial umat Islam jika ia hanya dibaca tanpa pengamalan kepada sistem-sistem yang ditunjuk oleh al-Quran dalam kehidupan. Penuhilah masjid dan surau sebagaimana kita merindui untuk memenuhi syurga Allah. Tarik dan ajak seramai mungkin anak-anak, saudara-mara, jiran tetangga kita dan umat Islam yang lain untuk bersama kita ke masjid dan surau. Jinakkan anak-anak muda kita dengan masjid dan jangan biarkan ada di kalangan mereka terus mencemari Ramadhan dengan lumba haram dan sebarang aktiviti yang tidak berfaedah. Kita mesti serius dalam menangani masalah semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat dan puasa. Kita juga wajib menghidupkan peranan masjid dengan pelbagai program disamping ibadat khusus sehingga masjid semakin hidup dan berfungsi sepanjang masa.
Kita mesti ingat bahawa kita sekarang ini berada zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman kita. Jangan biarkan masjid semakin kosong dan anak muda semakin liar daripada masjid sedangkan dalam masa yang sama pihak Kristian terus berusaha memenuhi gereja mereka termasuk dengan menarik anak-anak muda kita untuk dimurtadkan. Jika banyak gereja di barat bertukar menjadi masjid kerana penganut Kristian sendiri tidak lagi berminat dengan Kristian maka jangan kita biarkan masjid di negara kita turut kosong sehingga gereja pula menjadi pilihan kepada mereka yang murtad. Berusaha sebelum terlambat, bekerja sebelum terlewat, biarlah tumpah sebanyak mungkin peluh keringat dalam menyelamatkan aqidah umat Islam daripada kita mengalir air mata penyesalan bila melihat umat Islam semakin jauh daripada Islam akibat kesilapan dan kesalahan kita. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال الرسول  : بَادِرُوْا بالأعْمالِ فِتَنًا كَقَطَعِ اللَّيْلِ المُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيَمْسِى كَافِرًا أَوْ يَمْسِى مُؤْمِنًاوَ يُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيْعُ دِيْنَهُ بِعَرَضِ مِّنَ الدُّنْيَا
Maksudnya: Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat kelam. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir atau seseorang yang masih beriman di waktu petang kemudian pada esok paginya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit daripada mata benda dunia.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Belum lagi kita hilang terkejut dengan usaha sebuah gereja di ibu negara yang menjamu anak muda kaki lepak setiap hari Jumaat kini adanya komik bertajuk 'Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan' yang memuatkan kisah yang bertentangan dengan kepercayaan orang Islam di mana ia disebarkan secara percuma mengunakan perkhidmatan belia-belia berbangsa Melayu yang memerlukan upah wang ringgit di sekitar Lembah Klang dan Cheras yang jelas cuba mempengaruhi golongan kanak-kanak. Begitu juga dengan penterjemahan Bible dalam Bahasa Melayu dan Al-kitab dalam Bahasa Arab yang bukan sahaja disiar melalui internet malah turut disebarkan secara percuma yang secara tidak langsung cuba menerapkan fahaman agama lain dan mengelirukan umat Islam khususnya yang kurang didikan agama. Ada juga maklumat tentang adanya usaha untuk mewujudkan persatuan agama lain di sekolah-sekolah menengah yang berperanan seperti Persatuan Agama Islam di mana ia akan dijadikan suatu cara penyebaran Kristian kepada pelajar Islam sebagaimana yang telah pun berlaku di kampus-kampus.
Aqidah umat Islam semakin diasak apabila di Negeri Sembilan adanya dakwaan tentang wujudnya kumpulan pendakyah Kristian yang menjadikan remaja kaki lepak yang tidak berpuasa sebagai sasaran dengan pelbagai tawaran termasuk makan dan minum percuma di premis yang disediakan. Pada kesempatan itu maka pendakyah cuba menerangkan kebaikan agama Kristian dan cuba menimbulkan keraguan tentang ajaran Islam termasuk konsep pengampunan dosa antara Islam dan Kristian. Golongan kristianisasi ini juga menawarkan ganjaran berupa wang saku kepada remaja yang mahu murtad, malah mereka juga ditawarkan khidmat seks di mana bagi yang lelaki akan mendapat perempuan dan yang perempuan akan mendapat pasangan lelaki serta telefon bimbit. Malah ada kes seorang remaja yang dikatakan telah murtad hingga tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana didakwa meminum sebotol air yang dinamakan 'holly water . Bangunlah wahai umat Islam! musuh sedang menyerang aqidah kita. Bangkitlah wahai umat Islam! musuh sedang memurtadkan saudara kita.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia dan bulan Ramadhan yang berkat ini juga maka kita sebagai umat Islam yang bermaruah mengecam dan meminta ketua paderi gereja Katolik supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang dituduh pembawa kejahatan, tidak berperikemanusiaan serta menyebarkan Islam melalui mata pedang. Kita minta supaya beliau tidak menjadi anjing suruhan Amerika dan zionis yahudi dalam melagakan umat Islam dan Kristian. Pengganas dunia Amerika dan zionis yahudi hanya berjaya bila orang lain berbalah dan berpecah sebaliknya bila umat sedunia bersatu dan hidup dalam keadaan hormat menghormati antara satu sama lain menyebabkan pengganas dunia itu hancur dan kalah.
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan