Khamis, 2 Februari 2012

28. NABI DISANJUNG TUGASNYA DIJUNJUNG

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا عظيما
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Perjuangan Islam bukannya dilalui dengan cara senang sebaliknya memerlukan kepada pengorbanan, ia tidak menjanjikan kemewahan sebaliknya menuntut kepada mengenepikan kepentingan diri sendiri, ia bukannya dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menagih kepada tumpahnya darah. Ketika merenung kembali kepada perjuangan dan kejayaan serta kegemilangan yang pernah dicapai oleh nabi Muhammad s.a.w dan para pejuang Islam sebelum ini adalah disebabkan mereka yakin dengan Islam sebagai system pemerintahan dan manhaj kehidupan. Generasi kemenangan begitu yakin bahawa mereka adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia dengan tunduk patuh kepada Allah. Generasi kemenangan telah memainkan peranan dalam membebaskan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah dalam setiap aspek kehidupan. Generasi kemenangan telah memberikan tamadun berasaskan Islam kepada dunia di mana tanpa tamadun Islam maka dunia akan kekal dalam keadaan terumbang-ambing di dalam kegelapan tanpa system hidup yang teratur, kemunduran, kejahilan dan keruntuhan. Generasi kemenangan bila menempuh sebarang pertempuran, pembebasan dan penawanan maka mereka meletakkan di hadapan mata mereka samada menang untuk mereka hidup dalam kemuliaan atau pun gugur syahid menemui Allah sebagai pejuang Islam. Jasa generasi kemenangan ini telah memberi faedah yang begitu berharga kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama sehingga pernah penulis barat menukilkan: “ Eropah pada masa dahulu adalah buta huruf dan terkenal dengan kejahilan sedangkan Andalusia atau Sepanyol yang diperintah oleh kerajaan Islam telah mempunyai perkembangan ilmu dan membawa bendera pengetahuan di dunia”.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Antara tugas nabi Muhammad s.a.w yang mesti dicontohi dan diikuti oleh umat Islam ialah tiga tugas utama sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat iaitu yang pertama membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Tugas kedua pula membersihkan manusia daripada aqidah yang sesat dan kemudiaannya diikuti dengan tugas yang ketiga iaitu mengajarkan umat dengan kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat agama. Setelah ketiga-tiga tugas yang besar ini dillaksanakan dengan penuh amanah dan istiqamah, insya Allah kemuliaan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah dapat dicapai sehingga kita menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat.
Apabila kita merenung kembali kepada tugas pertama iaitu membacakan ayat-ayat Allah disamping memastikan sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam antaranya mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Matlamat dalam melahirkan masyarakat yang boleh membaca al-Quran tidak akan tercapai tanpa usaha yang bersungguh dan berterusan daripada setiap lapisan masyarakat bermula daripada ibubapa sehinggalah pemimpin negara. Kita merasa bimbang kerana masalah buta huruf dalam negara umat Islam masih tinggi termasuk tidak tahu membaca al-Quran. Oleh itu setiap ibubapa mestilah memastikan paling kurang seorang daripada anaknya dihantar ke pusat pengajian agama bagi mendalami ilmu agama disamping memastikan dirinya sendiri dan anak-anak mestilah tahu dan pandai membaca al-Quran. Bila setiap rumah mempunyai ahli agama dan al-Quran pula sentiasa dibaca di dalamnya maka banyak masalah sosial yang menimpa umat Islam pada hari ini dapat ditangani. Tidakkah terdetik rasa gerun dalam diri kita sebagai ibubapa sekiranya bila telah meninggal dunia nanti maka berlaku di kalangan anak-anak kita yang bukan sahaja tidak tahu untuk solat jenazah kepada ibubapanya malah tidak pandai membaca al-Quran dan berdoa untuk kita akibat daripada pengabaian terhadap pengajian agama. Lupakah kita kita suatu pesan nabi bahawa apabila seseorang manusia itu telah meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada 3 sumber antaranya…. أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ :…. Atau anak yang soleh yang mendoakan untuknya.
Tugas pemimpin pula mestilah memberi sokongan dan bantuan semaksima mungkin dalam melahirkan lebih ramai rakyat yang faham serta mengamalkan agama sehingga pelaksanaan seluruh system Islam dalam kehidupan dapat dijayakan. Kita begitu malu sekiranya alasan untuk terus menekan pusat pengajian agama hanya disebabkan pelajarnya didakwa tiada semangat cintakan negara kerana tidak menyanyi lagu Negaraku dalam perhimpunan pagi.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Tugas kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat melalui ilmu yang dipelajari. Tugas ini adalah penting dalam melahirkan umat Islam yang benar-benar berpegang kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Sekira berlakunya pemisahan antara ilmu moden dengan aqidah Islam telah menyebabkan umat Islam terlalu berpegang kepada falsafah sesat barat sehingga menolak kaitan agama dengan ilmu tersebut. Sebagai contohnya dalam masalah ilmu sains yang terlalu berpegang kepada falsafah yang menolak ketuhanan yang menyebabkan sebarang kajian hanya berbentuk keduniaan semata-mata bukannya ke arah mengkaji kejadian yang diciptakan oleh Allah serta mengakui kekuasaanNya dalam mencipta dan mengatur segala sesuatu. Kita dapat dengar dan baca ulasan golongan yang hanya berpegang kepada teori sains sahaja dalam masalah tsunami dan banjir besar misalnya di mana golongan ini hanya menganggap bahawa apa yang berlaku adalah suatu perubahan alam akibat cuaca dan pergerakan alam semata-mata. Sedangkan kita umat Islam mestilah yakin bahawa setiap berlaku adalah mengikut kehendak Allah disamping setiap musibah yang menimpa adanya di sana kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh umat manusia samada dari segi pelanggaran terhadap suruhan dan larangan Allah dalam kehidupan seharian atau pun manusia merosakkan nikmat alam yang diciptakan Allah seperti merosakkan kawasan tadahan air dan sebagainya. Umat Islam mestilah merenung setiap apa yang berlaku untuk menambahkan lagi keimanan kepada Allah serta menyedarkan diri kita agar sentiasa berusaha dalam merapatkan diri kepada Allah sepanjang masa.
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :
وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير
Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Tugas yang ketiga bagi memastikan seluruh Islam dapat dilaksanakan dengan baik iaitu mengajarkan umat dengan kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat agama. Ketika ramai rakyat di negara barat sendiri mula memilih Islam sebagai agama walau pun pelbagai tuduhan liar oleh pemimpin mereka terhadap Islam yang dituduh sebagai pengganas namun betapa malangnya di negara kita ramai pula umat Islam sendiri akibat jahil tentang agama ditambah pula dengan pandangan sempit bahawa agama bukanlah suatu yang penting dan berharga telah menyebabkan ramai yang murtad. Begitu juga dengan jumlah umat Islam yang terlibat dengan perkara yang merosakkan tubuh badan seperti dadah, arak sentiasa meningkat. Apatah lagi dalam masalah pecah amanah dan rasuah yang telah menjadi suatu kebiasaan akibat kefahaman terhadap hukum Islam yang cetek ditambah dengan pegangan terhadap agama yang semakin rapuh. Malah dalam memilih pemimpin lebih banyak salah laku berbentuk rasuah yang berlaku sedangkan suatu amaran keras tentang bahayanya rasuah dalam memilih pemimpin melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
.... وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ
Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya
فرمان الله تعالى دالم أية 51 سورة النور :
إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا وأولئك هم المفلحون
Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : “ Kami dengar dan kami patuh”. Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan