Ahad, 3 Oktober 2010

22. SYAHID SAYYIDINA UTHMAN BIN ‘AFFAN

السلام عليكم ورحمة الله
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ……..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Sof:
يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولو كره الكــفرون
Maksudnya : Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Sayyidina Uthman merupakan khalifah yang ketiga di mana beliau memerintah selama kurang 12 hari untuk mencukupi 12 tahun. Pemerintahannya berlangsung dengan aman sehinggalah apabila memasuki tahun ketujuh iaitu tahun 30 Hijrah maka bermulanya zaman fitnah. Kebanyakan fitnah ini dimainkan oleh golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’ iaitu seorang yahudi dari Yaman yang memeluk Islam tetapi berperanan dalam melawan Islam dari dalam di mana dia telah memainkan peranan dalam mencari pengaruh dengan cuba menguasai dan menghasut penduduk di 3 negeri utama iaitu Basrah dan Kufah di Iraq serta penduduk Mesir. Banyak fitnah dan pengkhianatan yang dilakukan dengan matlamat yang besar iaitu menghancurkan Islam itu sendiri daripada terus berkuasa walau pun mereka bergerak atas alasan untuk memastikan gabenor yang dilantik oleh Sayyidina Uthman mesti berlaku adil. Beberapa pertukaran gabenor selari dengan kehendak penduduk terpaksa dilakukan oleh Sayyidina Uthman hasil desakan penduduk tempatan yang termakan dengan racun fitnah yang dilakukan oleh Ibnu Saba’ itu. Sayyidina Uthman melakukannya bukanlah kerana beliau takut atau terlalu berlembut dengan permintaan pemberontak itu tetapi bertujuan untuk memastikan keamanan negara tidak terjejas dan cubaan untuk membunuhnya dapat dilambatkan. Ini adalah kerana Sayyidina Uthman begitu yakin dengan 2 hadis Rasulullah s.a.w di mana yang pertama menyatakan bahawa beliau antara dua sahabat yang paling hampir dengan nabi akan mati syahid dan hadis kedua nabi meminta agar beliau menjaga amanah pemerintahan dengan baik dan jangan sekali-kali mematuhi tuntutan munafik yang cuba melucutkan amanah tersebut.
Kemuncak kepada fitnah itu berlaku apabila masuknya tahun 35 Hijrah sehingga Sayyidina Uthman sendiri memberitahu kepada para muslimin tentang perancangan jahat golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’. Para sahabat meminta agar mereka dibunuh kerana memberontak terhadap khalifah tetapi Sayyidina Uthman melarangnya kerana mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w yang menegah daripada membunuh golongan munafik di mana dibimbangi musuh Islam akan menuduh orang Islam membunuh sahabatnya sendiri. Fitnah terbesar ialah apabila serombongan penduduk Mesir sekitar seribu orang disamping rombongan dari Kufah dan Basrah yang datang ke Madinah bertujuan meminta Sayyidina Uthman supaya menukar gabenor Mesir lalu beliau bersetuju untuk melantik Muhammad bin Abu Bakar. Ketika pulang kira-kira tiga hari perjalanan dari Madinah maka rombongan dari Mesir terlihat seorang budak suruhan berkulit hitam melintasi mereka dalam keadaan tergesa-gesa lalu mereka meminta agar budak itu berhenti untuk disoal. Budak itu menjelaskan segala tujuannya untuk ke Mesir bagi menyampaikan surat yang didakwa daripada khalifah Sayyidina Uthman. Apabila surat yang mempunyai cop mohor Sayyidina Uthman itu dibaca oleh Muhammad bin Abu Bakar lalu rombongan ini terkejut besar apabila melihat isi surat itu di mana antara lainnya meminta agar gabenor Mesir sebelum ini mesti terus menjadi gabenor serta mesti membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongan bersamanya serta membatalkan surat perlantikan Muhammad bin Abu Bakar sebagai gabenor yang baru.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Selepas itu rombongan dari Mesir ini dengan perasaan yang begitu marah terhadap Sayyidina Uthman berdasarkan kepada isi kandungan surat tersebut lalu mereka kembali semula ke Madinah. Setelah menerangkan tentang surat tersebut maka Sayyidina Ali dan beberapa orang sahabat terus menemui Sayyidina Uthman di mana beliau bersumpah serta menafikan penulisan surat tersebut dan ia merupakan antara usaha jahat pihak Ibnu Saba’ dan Khawarij dengan menggunakan khadam dan cop mohornya. Sayyidina Ali dan para sahabat mengakui kebenaran Sayyidina Uthman ditambah lagi kedatangan rombongan dari Mesir disusuli pula oleh ketibaan Khawarij dari Kufah dan Basrah sedangkan mereka telah berpisah dan sudah pasti tidak akan mengetahui isi surat tersebut melainkan perkara ini telah dirancang terlebih dahulu sebelum mereka pulang dari Madinah sebelum ini. Surat layang ini digunakan sepenuhnya dalam menjatuhkan Sayyidina Uthman terutama keadaan Madinah yang sememangnya pada waktu itu begitu kurang penduduknya terutama golongan lelaki kerana ramai di kalangan mereka sedang keluar berperang, ada juga pergi berdakwah dan tidak kurang yang ke Mekah menunaikan haji. Jumlah yang ada begitu sedikit berbanding puak Khawarij seramai 3 ribu orang.
Setelah melihat keadaan Madinah yang begitu tegang maka Sayyidina Uthman telah mengutuskan surat bagi meminta bantuan para muslimin terutama di Mesir, Kufah dan Basrah untuk datang ke Madinah bagi mengusir puak Khawarij. Para muslimin begitu bersemangat dan bersedia untuk membantu Sayyidina Uthman yang kini dikepung di Madinah bermula 8 Zulkaedah tahun 35 Hijrah. Pada hari Jumaat pertama selepas pengepungan Madinah oleh Khawarij maka Sayyidina Uthman bangun membaca khutbah di masjid yang turut dihadiri oleh puak pemberontak Khawarij di mana dalamnya beliau telah melaknat puak yang memberontak itu. Puak Khawarij begitu marah lalu mereka menghalau para muslimin dari masjid dengan melontar batu sehingga Sayyidina Uthman sendiri terpaksa dipapah ke rumahnya kerana terkena lontaran batu itu. Sayyidina Uthman yang tahu tentang muslimin bersedia berperang dengan pemberontak lalu mengutuskan utusan untuk menegah para muslimin daripada berperang. Malah semasa dikepung Sayyidina Uthman yang ditemani oleh hampir 700 orang sahabat tetap menegah para sahabat daripada berperang dengan pemberontak.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Pertemuan terakhir Sayyidina Uthman dengan para muslimin ialah seminggu selepas bermulanya kepungan di mana beliau menyeru agar mereka bersabar. Selepas itu Sayyidina Uthman terus terkepung di dalam rumahnya sehingga keputusan air. Ketika Sayyidina Ali dan isteri nabi Ummu Habibah meminta kebenaran daripada pemberontak untuk memberi air kepada Sayyidina Uthman maka ia ditolak mentah-mentah oleh pemberontak
Pemberontak Khawarij memulakan tindakan seterusnya selepas 30 hari membuat kepungan terhadap Sayyidina Uthman terutama mereka bimbang tibanya bantuan tentera muslimin. Serangan awal mereka ialah dengan membakar pintu dan atap rumah Sayyidina Uthman di mana beberapa orang yang berada dalam rumah itu berusaha memadamkan api sedangkan Sayyidina Uthman sedang sembahyang. Para muslimin yang bertindak mengawal rumah Sayyidina Uthman mula bertempur dengan pemberontak di mana 2 orang muslimin gugur syahid iaitu Mughirah dan Aslami. Melihat perkara itu lalu Sayyidina Uthman memerintahkan semua yang bertindak mengawalnya agar pulang ke rumah masing-masing. Para muslimin akur dengar perintah khalifah tersebut. Akhirnya tibalah hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah yang merupakan hari terakhir bagi kehidupan dunia Sayyidina Uthman iaitu hari ke 40 daripada kepungan itu. Beliau yakin telah tibanya hari ajalnya lalu berpuasa dan banyak membaca al-Quran agar beliau mati syahid dalam keadaan berpuasa dan membaca al-Quran. Pemberontak meminta agar 3 orang daripada kalangan mereka untuk masuk membunuh Sayyidina Uthman secara bergilir tetapi ketiga-tiganya keluar dari rumah khalifah tanpa membunuhnya apabila mendengar nasihat Sayyidina Uthman antaranya bahawa mereka bertiga merupakan antara orang yang pernah didoakan oleh Rasulullah s.a.w dan mereka bukanlah pembunuhnya.
Selepas itu 3 pimpinan Khawarij masuk di mana Ghafiqi telah memukul Sayyidina Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Al-Quran itu terus terbuka dan tetap berada di tangan Sayyidina Uthman sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarah yang berbunyi:
.............فسيكفيكهم الله وهو السميع العليم
Maksudnya : Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Kemudian datang pula Sudan lalu dilibas pedangnya ke arah Sayyidina Uthman tetapi isterinya Nailah menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jari isteri Sayyidina Uthman itu. Sudan yang hilang peri kemanusian terus menetak Sayyidina Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur syahid. 2 anak Sayyidina Uthman iaitu Najih dan Sobih turut gugur syahid dibunuh ketika membunuh pembunuh ayah mereka. Kewafatan Sayyidina Uthman sebelum Maghrib hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah dalam usia 83 tahun. Jasad enam orang termasuk jenazah Sayyidina Uthman dituntut daripada pemberontak pada malam tersebut manakala 3 mayat pemberontak pula dibuang di dalam kebun sehingga dimakan oleh anjing. Para muslimin begitu sedih dengan kewafatan Sayyidina Uthman dan para sahabat melaknat para pemberontak yang melakukan kekacauan dan pembunuhan kejam itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan