Jumaat, 8 September 2023

Khutbah Jumaat : Kepimpinan Islam DiJulang Penyalahgunaan Kuasa DiTentang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ..... فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat  58   surah an-Nisaa’ :  إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ‎﴿٥٨﴾‏ Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Kepimpinan di dalam Islam mempunyai pengertian yang amat luas, termasuklah pemimpin dalam institusi keluarga, pemimpin masyarakat dan juga pemimpin negara. Semakin luas bidang kepimpinan kita maka semakin beratlah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Di dalam sejarah kepimpinan Islam, Rasulullah s.a.w adalah merupakan pemimpin umat Islam yang pertama berjaya membentuk sebuah negara Islam di Madinah Al-Munawarah. Sekalipun penduduk Madinah mempunyai berbagai-bagai suku kaum dan bangsa, namun dengan kebijaksanaan dan keadilan Rasulullah s.a.w mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Keadilan Rasulullah s.a.w sebagai seorang pemimpin amat terserlah dalam banyak perkara. Dalam melaksanakan syariat Islam, baginda Rasulullah s.a.w tidak pernah membezakan di antara sesama manusia samada ahli keluarganya, kaum kerabatnya, sahabat-sahabatnya mahupun golongan yang berpengaruh atau sebaliknya. Baginda senantiasa berlaku adil di dalam semua perkara. Corak kepimpinan Rasulullah s.a.w ini telah diikuti oleh para khalifah selepasnya seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan lain-lain lagi sehinggakan kemakmuran di kota Madinah dapat terus dikekalkan. Inilah antara bukti yang nyata di mana apabila seseorang pemimpin itu bersifat adil maka rumahtangga, masyarakat dan rakyat seluruhnya akan hidup aman sejahtera dan negara akan terus makmur dengan mendapat perlindungan daripada Allah SWT. Seseorang pemimpin itu hanya akan dianggap sebagai pemimpin yang adil apabila ia dapat melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya dengan sempurna. Dua amanah utama yang harus dipikul oleh seorang pemimpin di dalam sebuah negara ialah; Pertama : Melaksanakan syariat Allah SWT. Kedua : Menggerakkan dan memimpin ke arah kehidupan yang diredhai Allah SWT. Pemimpin yang adil hendaklah sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam menjalankan amanah yang telah diberikan kepadanya.    Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat  8  surah al-Maidah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ‎﴿٨﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.            Pembahagian kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil “separation of powers” merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada 3 cabang utama iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif), dan kehakiman (judisiari). Islam mendahului beberapa abad dalam pelaksanaan konsep pembahagian kuasa ini dan telah mempengaruhi sistem kehakiman negara Barat yang mengamalkan sistem demokrasi melalui pengkajian golongan orientalis daripada tamadun Islam. Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW terhadap diri Baginda sendiri, apabila Baginda membeli seekor kuda daripada seorang Badwi. Setelah mereka bersetuju dengan harga kuda itu, hanya Baginda belum menjelaskan bayarannya kerana berlaku hal yang lain, tiba-tiba si Badwi itu mempelawa kepada sesiapa sahaja untuk membelinya dengan harga yang lebih mahal dan ada pula yang mahu membelinya. Apabila Rasulullah SAW memanggil untuk membayarnya, tiba-tiba si Badwi itu tegas mahu menjual kepada orang lain dengan tawaran harga yang lebih mahal. Mengikut hukum Islam, bahawa Rasulullah SAW yang berhak menjelaskan bayarannya kerana jual beli itu masih berada dalam majlis yang belum berpisah (khiyar majlis). Namun, si Badwi itu tetap meminta untuk dibicarakan dengan membawa saksi dan Rasulullah SAW perlu menunjukkan saksinya. Khuzaimah bin Thabit RA lalu tampil menjadi saksi di samping ramai lagi saksi daripada kalangan sahabat yang lain. Akhirnya, si Badwi bersetuju menyerahkan kuda itu kepada Rasulullah SAW.  Di sini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang dilantik oleh Allah SWT mengatasi jawatan segala raja dan pemimpin negara, tidak menggunakan kedudukan Baginda untuk mempengaruhi sistem kehakiman yang mewajibkan keadilan Islam kepada semua. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 135 surah an-Nisaa’ : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا ‎﴿١٣٥﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan Keadilan Islam dalam memisahkan antara kuasa pemerintah , perundangan , dan kehakiman dapat kita saksikan dalam kisah Khalifah keempat Khulafa’ al-Rasyidin, Khalifah ‘Ali RH di mana pada suatu hari ketika beliau sedang berjalan di pasar pada suatu hari, tiba-tiba beliau melihat baju perisai kepunyaannya yang hilang hendak dijual oleh seorang bukan Islam (Ahli Kitab) di pasar itu. Lalu beliau mengambilnya dan mengaku baju perisai itu ialah kepunyaannya yang hilang, namun si penjual itu menegaskan bahawa baju perisai itu merupakan miliknya. Akhirnya, kes itu dibawa ke hadapan Hakim Syuraih al-Kindi untuk dibicarakan. Syuraih meminta saksi daripada Khalifah ‘Ali RA. Apabila Khalifah ‘Ali RA tidak dapat mengadakan saksi yang diterima, maka Hakim Syuraih menyerahkan baju perisai itu kepada yang dituduh iaitu seorang bukan Islam untuk mengambilnya. Tiba-tiba, si penjual yang dituduh itu berkata: ‌أَمَّا ‌أَنَا ‌فَأَشْهَدُ ‌أنَّ ‌هَذِهِ ‌أَحْكَامُ ‌الأَنْبِيَاءِ، ‌أَمِيْرُ ‌الْمُؤمِنِيْنَ ‌يُدْنيني ‌إِلَى ‌قَاضِيْهِ ‌يَقْضِيْ ‌عَلَيْهِ. ‌أَشْهَدُ ‌أَنْ ‌لَا ‌إلَهَ ‌إلَا ‌اللهُ ‌وَأَشْهَدُ ‌أَنَّ ‌مُحَمَّدًا ‌عَبْدُهُ ‌وَرَسُولُهُ، ‌الدِّرْعُ ‌وَاللهِ ‌دِرْعُكَ ‌يَا ‌أَمِيْرَ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌اتَّبَعْتُ ‌الجَيْشَ ‌وَأَنْتَ ‌مُنْطَلِقٌ ‌إِلَى ‌صِفِينَ. Maksudnya : “Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa inilah kehakiman para anbiya’ yang adil kerana seorang Amir al-Mu’minin (ketua negara yang berkuasa) mengadukan masalah ini kepada hakim untuk menghakiminya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya. Dan demi Allah baju perisai ini sememangnya kepunyaanmu, wahai Amir al-Mu’minin! Aku mengambilnya ketika ia terjatuh dari unta apabila kamu wahai Khalifah mahu berangkat ke Siffin.” Kemudian, si ahli Kitab itu terus menyerahkan baju perisai tersebut kepada Khalifah ‘Ali RA, lalu beliau mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluk Islam. Khalifah ‘Ali RA pula menghadiahkan perisai itu kepada Ahli Kitab itu dan beliau menjadi seorang pejuang Islam yang berjihad dengan ikhlas. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Pernah berlaku pula pada zaman Sultan Muhammad al-Fatih yang memerintah Kerajaan ‘Uthmaniyyah di mana Baginda menugaskan seorang arkitek berbangsa Rom (bukan Islam) kerana kemahirannya agar membina sebuah masjid yang besar dan indah bertiangkan marmar mengikut ketinggian yang telah ditetapkan. Tiba-tiba, masjid yang dibina itu tidak mengikut arahan baginda, menyebabkan sultan sangat murka lalu arkitek itu dipotong tangannya. Namun, selepas itu, sultan sangat menyesal atas tindakannya yang zalim itu. Adapun arkitek itu membuat pengaduan kepada hakim Istanbul yang terkenal ketegasannya, Syeikh Sori Khadir Jalabi. Hakim membuat keputusan bahawa sultan hendaklah dijatuhkan hukuman qisas dipotong tangannya atau membayar diat (wang dengan jumlah yang dihadkan) cara hukumannya mengikut pilihan pendakwa. Tiba-tiba, orang yang mendakwa tercengang dengan keputusan hakim lalu memilih hukuman bayaran sara hidup kepadanya. Kemudian, Sultan Muhammad al-Fatih menggandakan bayaran sara hidupnya lebih daripada keputusan hakim.  Semua kisah ini menunjukkan betapa Islam mendahului negara demokrasi Barat dalam melaksanakan konsep pembahagian kuasa dan menegakkan keadilan kepada semua, termasuk terhadap bukan Islam kerana perintah Allah yang mengatasi undang-undang ciptaan manusia. Negara demokrasi Barat yang menjajah dan menakluki negara Islam banyak mengambil kitab karangan para ulama’ Islam dalam segala lapangan ilmu, termasuk dalam lapangan pentadbiran dan kehakiman sehingga ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab itu telah mempengaruhi mereka. Akan tetapi, mereka memisahkan urusan pentadbiran dan kehakiman itu daripada agama. Namun, pengaruhnya tetap membawa pembaharuan kepada mereka. Rasulullah SAW memberikan amaran kepada para hakim dengan sabdanya: القُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: قَاضِيَانِ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ فِي الجَنَّةِ، رَجُلٌ قَضَى بِغَيْرِ الحَقِّ فَعَلِمَ ذَاكَ فَذَاكَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ لَا يَعْلَمُ فَأَهْلَكَ حُقُوقَ النَّاسِ فَهُوَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ قَضَى بِالحَقِّ فَذَلِكَ فِي الجَنَّةِ. - رواه أبو دأود و الترمذي والنسائي وابن ماجه Maksudnya : “Para hakim itu ada 3 jenis; dua jenis berada di dalam neraka dan satu jenis berada di dalam syurga. Seseorang yang menghukum secara salah walaupun dia mengetahui perkara yang benar, maka dia berada di dalam neraka. Seseorang yang jahil yang merosakkan hak manusia dengan kejahilannya, maka dia berada di dalam neraka juga. Dan seseorang yang menghukum secara benar, maka dia berada di dalam syurga.”  Sangat malang dan memalukan bagi pemimpin dan umat Islam yang ditimpa bencana kehakiman yang tidak mengikut Islam yang merupakan agamanya sendiri. Keadaan ini menunjukkan betapa penjajahan pemikiran dan sistem masih lagi bertapak dan perjuangan kemerdekaan masih belum selesai. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ