Khamis, 24 Februari 2022

Khutbah Jumaat : Isra’ dan Mikraj Membina Kekuatan Umat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah : إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa Kini kita telah berada pada pertengahan bulan Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sesungguhnya ketibaan bulan Rejab sebagai petanda betapa kita semakin menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Seorang Ulama iaitu Abu Bakar al-Warraq RH berkata : “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.” Nabi S.A.W bersabda: الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمـُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ Maksudnya : “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah S.W.T menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang Haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” Rejab Mudhor ini merujuk kepada kabilah Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut. Selain itu, Ibn Kathir menukilkan pendapat Ibn Abbas R.A yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. Sebab itulah ramai di kalangan ulama salafussoleh yang selalu berpuasa sunat di bulan-bulan Haram seperti Sufyan al-Thauri. Beliau menyebutkan: “Bulan-bulan haram itu lebih aku sukai untuk berpuasa sunat padanya.” Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah : لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ‎﴿٤٢﴾ Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). Bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj khususnya banyak iktibar yang mesti diambil terutama di dalam mengembalikan kemuliaan dan kekuatan umat Islam. Sebelum berlakunya mukjizat Isra’ dan Mikraj yang merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita menyaksikan penghinaan dan serangan terhadap batang tubuh nabi Muhammad s.a.w semakin kuat sehingga berlakunya suatu peristiwa yang hebat ini di bawah aturan Allah. Ia menjadi motivasi yang begitu kuat pada diri nabi s.a.w dalam meneruskan kerja dakwah dan mentadbir bumi berasaskan Islam. Kemenangan Islam bukan datang dengan mudah dan senang bahkan terpaksa menumpahkan darah dan nyawa melayang Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali Imran : مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ ‎﴿٧٩﴾‏ Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. Perlu diinsafi bahawa hanya dengan senjata kekuatan sahaja, umat Islam akan muncul sebagai umat yang terbaik, berwibawa, dihormati, bermaruah dan disegani oleh kawan dan lawan sehingga tidak mudah dipermainkan dan dipengaruhi oleh musuh-musuhnya. Kekuatan yang dimaksudkan di sini bukan hanya sekadar kekuatan material atau luaran sahaja seperti kekuatan senjata, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya, malah kekuatan yang perlu ditekankan di sini ialah kekuatan dalaman iaitu kekuatan akidah, ibadah, akhlak, ukhuwah Islam dan seumpamanya. Kedua-dua kekuatan iaitu kekuatan dalaman dan luaran inilah yang telah melahirkan generasi terbaik dan cemerlang pada suatu ketika dahulu. Mereka memanfaatkan segala kekuatan tersebut sehingga mampu mencipta satu tamadun Islam yang tiada tolok bandingnya dalam lipatan sejarah Islam. kekuatan yang harus dijana dan direalisasikan dalam kehidupan umat Islam dewasa ini. Antara kekuatan tersebut ialah: [1] Kekuatan akidah merupakan tonggak yang paling penting dalam proses pembinaan sahsiah Muslim yang sebenar. Ia bermula dengan menanam dan menyuburkan jiwa keimanan yang hanya tunduk dan patuh ke hadrat Allah Yang Maha Berkuasa. Akidah yang mantap adalah benteng yang bertapak kukuh di dalam jiwa Muslim sehingga mampu menepis segala anasir asing yang cuba mengeruhkan kesucian Islam. Akidah yang kukuh adalah penyelamat umat daripada segala gejala sosial dan memelihara mereka daripada terjerumus dalam kancah kesesatan yang dimurkai Allah. [2] Kekuatan ilmu. Ilmu adalah sumber kekuatan dan ejen pemangkin ke arah kegemilangan serta keunggulan Islam dalam pelbagai lapangan hidup sebagaimana yang pernah dirintis oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat satu ketika dahulu. Generasi Rasulullah dan sahabat merupakan contoh generasi yang memahami Islam secara bersepadu dan menyeluruh dari segi teori dan amalinya, duniawi dan ukhrawinya. Justeru, umat Islam dituntut menguasai seluruh ilmu Islam yang memenuhi keperluan duniawi dan ukhrawi. Ini sesuai dengan kedudukan Islam itu sendiri sebagai cara hidup cukup sempurna dan lengkap yang merangkumi semua tuntutan keperluan manusia dunia dan akhirat. [3] Kekuatan akhlak. Ini kerana akhlak adalah antara mekanisme terpenting dalam Islam sehingga mendapat kedudukan yang istimewa sebagai nilai pengisi dan penyeri binaan asas iman dan Islam. Malah kualiti manusia yang berpaksikan kekentalan iman dan ketrampilan akhlak yang luhur merupakan aset yang amat penting bagi sesebuah negara dan seterusnya boleh bertindak sebagai agen penentu kepada jatuh bangunnya sesebuah negara. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal : وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ‎﴿٦٠﴾ Maksudnya : Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. Kekuatan yang seterusnya ialah [4] kekuatan harta. Ini kerana Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang mampu membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat di samping ia juga merupakan sebahagian daripada kepentingan asasi individu dan masyarakat umum. Harta yang dikurniakan Allah itu sebenarnya adalah satu amanah yang dipinjamkan buat sementara waktu kepada setiap Muslim di dunia ini agar dapat memanfaatkannya untuk kepentingannya dan juga untuk kepentingan masyarakat umum. [5] Kekuatan jihad. Jihad menurut pengertian syarak ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dan juga untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Jihad amat memerlukan pengorbanan sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam. Perlu diingat, pengorbanan tersebut bukan hanya sekadar mengorbankan nyawanya sahaja, bahkan ia juga merangkumi kesanggupan seseorang Muslim membelanjakan harta bendanya, mengerahkan tenaganya, masanya dan fikirannya ke jalan Allah. [6] Kekuatan ukhuwah. Ukhuwah Islam adalah antara tonggak terpenting yang sama-sama menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Islam amat menganjurkan umat Islam agar mereka membina persaudaraan dan ia merupakan antara intipati dan mesej utama perutusan Islam yang hendak disampaikan kepada umat Islam. Biarpun berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa, namun ia bukanlah merupakan batu penghalang besar ke arah itu dan Islam tetap menyatukan mereka atas dasar iman dan takwa kepada Allah. Demikianlah enam kekuatan yang perlu dijana dan dibangunkan oleh umat Islam kini agar mereka dapat mengharungi arus globalisasi yang membadai kini dengan jayanya. Tanpa kekuatan tersebut, sukar bagi umat Islam untuk menghadapi persaingan yang hebat tersebut. Malah enam kekuatan inilah senjata utama umat Islam untuk membangunkan kembali era kegemilangan tamadun Islam di persada dunia dalam waktu terdekat ini. Islamlah nescaya kita mulia dan berjaya dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ