Ahad, 26 Februari 2017

Syariat Islam DiPerkasa Negara Maju Jaya

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 105 surah an-Nisa’ : إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّـهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan puasa antara matlamat daripada pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT dalam kehidupan disamping baik untuk kesihatan. Begitu juga hukum hudud seperti kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 58 surah an-Nisa’ : إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا﴿٥٨﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat Islam begitu menitikberatkan keadilan yang diikat dan dikaitkan dengan konsep akidah dan keimanan yang mendalam kepada Allah serta tugas manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, iaitu tugas sebagai agen pembangunan jasmani dan rohani. Hasil daripada keimanan kepada Allah, seorang Muslim akan bersifat adil, mencintai keadilan dan menyeru kepada norma-norma akhlak mulia termasuk kepada orang bukan Islam. Dalam masa yang sama Islam begitu benci kepada sebarang bentuk kezaliman sehingga Allah telah mengulang-ulang perkataan zalim sebanyak 226 kali di dalam al-Quran. Al-Quran tidak hanya menghubungkan adil sebagai sesuatu yang hanya diperkatakan di mahkamah sahaja, tetapi ia lebih merujuk kepada integriti dan kejujuran di dalam semua urusan hidup manusia termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya Syariat Islam datang untuk menekankan beberapa aspek utama iaitu: [1] Pembaikan aqidah untuk membebaskan akal manusia daripada cengkaman syirik dan khurafat. [2] Pembaikan aqidah untuk membebaskan manusia daripada pengaruh dan penyelewengan hawa nafsu. [3] Pembaikan masyarakat untuk membebaskan umat daripada kezaliman, kacau bilau dan penindasan system yang bercanggah dengan Islam. Untuk mencapai semua keperluan di atas, syariat Islam datang membawa suatu sistem yang menyusun hubungan manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, dan memelihara hak-hak mereka di muka bumi. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah : أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾ Maksudnya : Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan rasulNya wajib yakin bahawa hanya sistem Islam sahaja yang adil dan sebarang sistem ciptaan manusia yang bercanggah daripada Islam adalah zalim. Antara ciri-ciri kehebatan dan keadilan sistem Islam ialah : [1] Ia bersifat Rabbaniyyah iaitu hukum syariah serta sistemnya bukan merupakan ciptaan manusia yang diliputi oleh sifat-sifat kelemahan dan keterbatasan. Ia juga tidak terpengaruh dengan faktor-faktor tempat, masa dan budaya serta faktor warisan, iaitu watak dan hawa nafsu kerana ia datang daripada Allah Tuhan yang mencipta manusia itu sendiri. Seorang mu’min yang sebenar ketika melaksanakan manhaj rabbani ini akan melaksanakan seluruh perintah Allah dengan perasaan gembira dan senang hati bukannya berdolak dalik untuk tidak melaksanakannya dengan pelbagai alasan yang memualkan [2] Ia bersifat Alamiyah atau Universal (sejagat) di mana syariat Islam merupakan rahmat bagi seluruh alam, petunjuk dan pedoman serta jalan hidup bagi semua manusia. Hukum Syariah diturunkan bukan untuk kawasan atau puak tertentu tetapi adalah untuk manusia seluruhnya tanpa melihat warna kulit, jenis bahasa atau tempat. Oleh itu, tidak ada perkauman dalam dakwah Islam, tidak ada asabiyyah dalam hukum dan tidak ada kasta dalam Islam. [3] Menyeluruh (Syumūliyyah) di mana feqh Islam berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia kerana ia mencakupi 3 bidang perhubungan manusia iaitu hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan masyarakatnya. Ini kerana fiqh Islam adalah untuk kepentingan dunia dan akhirat, agama dan kerajaan serta untuk seluruh manusia dan kekal hingga ke Hari Akhirat. Ia mencakupi sistem dan perundangan yang meliputi dalam tiap-tiap aspek kemasyarakatan dan kehidupan sama ada yang berkaitan dengan aqidah, ibadah atau akhlak atau yang berhubung dengan undang-undang umum seperti masalah sivil, jenayah, keluarga, sosial, antarabangsa, pemerintahan, ekonomi dan lain-lain Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr: إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. [4] Keaslian dan Keabadian yang kekal dalam nas dan sumber-sumbernya tanpa mengalami penyelewengan dan perubahan. Al-Qur’an yang merupakan sumber utama perundangan Islam telah dijamin oleh Allah terpelihara sehingga hari kebangkitan dan tidak dapat dikotori dengan tangan-tangan jahat, dengan penyelewengan atau sebarang perubahan. Itulah al-Qur’an yang telah melalui peredaran masa lebih 14 abad sejak ia mula diturunkan. Malah sarjana barat turut mengakui keaslian al-Quran tanpa ada sebarang penyelewengan seperti pengakuan Prof. Reynold Nicholson yang menyebut; “Al-Qur’an merupakan dokumen kemanusiaan yang tinggi menerangkan secara terperinci rahsia kelakuan Nabi Muhammad s.a.w pada setiap peristiwa hidupnya, sehingga kita benar-benar menemui di dalamnya suatu unsur unik yang tidak boleh diragui dan diperdebatkan. Kita boleh menyingkap semula al-Qur’an, (sejarah) Islam sejak pertama kali ia muncul dalam sejarah. Ini merupakan suatu yang tidak boleh ditemui dalam agama-agama lain seperti Buddha, Kristian atau apa-apa agama daripada agama kuno.” [5] Memudahkan dan Menghilangkan Kesukaran dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam kehidupan manusia di samping menegakkan keadilan di muka bumi. Islam yang membawa prinsip yang bertimbang rasa tidak membebankan manusia di luar kemampuan mereka dan tidak membebankan manusia dengan tanggungjawab di luar jangkauannya. Ini adalah untuk menyedarkan manusia bahawa mereka tidak mempunyai alasan dan dalih untuk lari daripada perintah syarak atau meninggalkan larangannya. Imam Ghazali ada menyebut: “Sesungguhnya menjaga kemaslahatan dan mencegah kerosakan adalah impian dan cita-cita murni seluruh makhluk. Kebaikan dan kebahagiaan sepenuhnya terletak atas tercapainya cita-cita tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan maslahah ialah memelihara tujuan syarak iaitu menjaga agama, nyawa akal, keturunan dan harta benda. Apa sahaja yang membawa kepada terjejas 5 perkara itu atau seluruhnya, maka itu adalah keburukan dan kerosakan yang mesti ditentang.” Firman Allah dalam ayat 258 surah al-Baqarah: لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ…… Maksudnya : Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…… Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Meyakini bahawa Syariat Islam mengutamakan maslahah manusia, sama ada maslahah duniawi mahupun ukhrawi maka pelbagai usaha wajib dilakukan dalam memastikan seluruh system Islam dapat dilaksanakan dalam Negara kita termasuk dalam menyokong pindaan akta RUU 355 dalam memperkasakan mahkamah syariah seterusnya membolehkan undang-undang Islam yang lebih menyeluruh dapat dilaksana. Himpunan ratusan ribu pencinta Islam di Padang Merbok pada hari Sabtu lepas merupakan salah suatu usaha mulia terutama dalam mendesak ahli Parlimen beragama Islam dalam menyokong pindaan ini. Kita bimbang dengan masalah jenayah dan sosial di kalangan umat Islam sendiri yang makin ketara termasuk Rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan 159,725 kelahiran anak luar nikah atau tidak sah taraf di kalangan wanita Islam, didaftarkan di seluruh negara bagi tempoh 3 tahun, bermula 2013-2016. Kes dadah dengan jumlah 131,841 penagih dadah dikesan dalam negara sejak 2010-2016. Begitulah dengan pelbagai peyakit sosial yang lain akibat kelalaian pemimpin sendiri yang sentiasa memberi galakan kepada program yang merosakkan akhlak melalui TV dan sebagainya. Sewajibnya pemimpin lebih bersungguh dalam membina akhlak rakyat bukan meruntuhkannya. Rapatkan rakyat dengan masjid bukannya dekatkan rakyat kepada program maksiat. Tambahkan usaha dalam menerangkan kehebatan syariat Islam bukan membiarkan program melalaikan rakyat daripada agama terus subur. Kita bakal menuai apa yang kita semai. Jika ibadat menjadi agenda hidup rakyat maka Negara akan selamat dan berkat. Sebaliknya bila maksiat menjadi agenda hidup maka Negara menghampiri kehancuran dan kemurkaan Allah. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 45-46 surah al-Baqarah : وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦﴾ Maksudnya : Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (45) (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Selasa, 21 Februari 2017

Iman DiSirami Ujian Allah DiHarungi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 56 surah az-Zariyat : وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾‌ Maksudnya : Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Ciri manusia yang bijak ialah golongan yang tahu tujuan dan matlamat mereka dihidupkan di dunia fana ini seterusnya sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat yang kekal selamanya. Antara tujuan kita dihidupkan di dunia ini ialah : [1] Beribadat kepada Allah dan menjauhi sebarang perkara yang membawa kepada syirik terhadap Allah. [2] Memperolehi keredhaan Allah di mana setiap amalan dilakukan penuh ikhlas kerana Allah disamping menjauhi maksiat yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah. Ini membezakan kita daripada orang kafir di mana tujuan hidup mereka hanya untuk mencari keseronokan hidup dunia semata-mata sehingga nafsu menjadi tunggangan. [3] Menjadi manusia yang berguna kepada orang lain dengan membantu atas dasar kebenaran dan tidak bersekongkol atas dosa dan kerosakan. Ibnu Khaldun menyatakan manusia tidak mampu hidup bersendirian kerana dia perlu hidup bermasyarakat dalam memastikan sikap penting diri sendiri serta tidak mengambil tahu masalah orang lain dapat dihakis bagi menjamin keharmonian hidup bersama. [4] Mengutamakan kehidupan dunia daripada akhirat sehingga digunakan semaksima yang mungkin nikmat berbentuk harta, umur, kesihatan dan sebagainya dalam menambah pahala akhirat disamping menjauhi dosa maksiat Firman Allah dalam ayat 57 surah Yusuf : وَلَأَجْرُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ ﴿٥٧﴾ ‌ Maksudnya : Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 2-3 surah al-Ankabut : أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾ ‌ Maksudnya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Kejayaan dalam mencapai matlamat hidup dunia seterusnya akhirat tidak akan dicapai dengan mudah dan jalan singkat sebaliknya perlu kepada usaha yang bersungguh dan perjuangan yang berterusan. Antara ujian yang biasanya menimpa umat manusia dalam menguji keimanan mereka ialah : [1] Ujian berupa perintah Allah sebagaimana ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim diperintahkan Allah menyembelih putera tercintanya nabi Ismail. Begitulah kita diuji dengan kewajipan dalam melaksanakan kefardhuan solat 5 waktu, puasa Ramadhan, zakat, menutup aurat dan sebagainya di mana ramai yang mengaku Islam tetapi mengabai kewajipan agama kerana pudarnya iman dan kurangnya taqwa. Begitu juga rasa sangsi dengan ekonomi Islam sehingga turut terpengaruh dengan laungan sesat Yahudi bahawa dunia akan muflis jika riba tidak digunakan. Lebih malang bila menularnya pengaruh Islam Liberal termasuk dalam masalah hudud sehingga menganggap golongan yang ingin melaksanakan hukum potong tangan kepada pencuri, sebat kepada penzina, menyekat murtad dan lainnya adalah golongan pengganas dan dituduh punca orang bencikan Islam. [2] Ujian berbentuk larangan Allah seperti haramnya zina, pecah amanah, membunuh, merompak, mencuri, rasuah dan segala kemaksiatan serta kezaliman. Akibat mendahulukan kehendak nafsu menyebabkan umat Islam sendiri mengenepikan larangan wahyu sehingga tenggelam dalam maksiat. Kita wajib menjauhi segala bentuk maksiat kerana ia merosakkan kehidupan. Renungilah suatu peringatan daripada Abdullah Bin Abbas RA : “Wahai orang yang berbuat dosa, janganlah engkau merasa aman dari dosa-dosamu. Ketahuilah bahawa akibat dari dosa yang engkau lakukan, adalah jauh lebih besar dari dosa dan maksiat itu sendiri. Ketahuilah bahawa hilangnya rasa malu kepada Malaikat yang menjaga di kiri kananmu saat engkau melakukan dosa dan maksiat, adalah jauh lebih besar dosanya dari dosa dan maksiat itu. Sesungguhnya ketika engkau tertawa saat melakukan maksiat sedangkan engkau tidak tahu apa yang akan Allah lakukan atas kamu, adalah jauh lebih besar dosanya dari dosa dan maksiat itu. Kegembiraanmu saat engkau melakukan maksiat yang menurutmu menguntungkanmu, adalah jauh lebih besar dosanya dari dosa dan maksiat itu. Dan kesedihanmu saat engkau tidak bisa melakukan dosa dan maksiat yang biasanya engkau lakukan, adalah jauh lebih besar dosanya dosanya dari dosa dan maksiat itu. Ketahuilah bahwa perasaan takut aib dan maksiatmu akan diketahui orang lain, sedangkan engkau tidak pernah merasa takut dengan Pandangan dan Pengawasan Allah, adalah jauh lebih besar dosanya dari aib dan maksiat itu”. عن أبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: «إِنَّ اللَّهَ يَغَارُ وَغَيْرَةُ اللَّهِ أَنْ يَأْتِيَ الْمُؤْمِنُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ» (رواه البخاري ومسلم( Maksudnya : Sesungguhnya Allah Maha Pencemburu, dan cemburunya Allah adalah di saat seorang mukmin melanggar yang diharamkan-Nya Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 155 – 157 surah al-Baqarah : وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka mengucapkan : إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ . Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk [3] Ujian berupa musibah seperti banjir, kemarau, kebakaran, kematian. Tidak ketinggalan dengan kenaikan harga minyak yang sepastinya diikuti dengan harga keperluan yang lain. Walau pun cuba diubati dengan pemberian BRIM namun dirompak pula dengan GST sehingga dengan jelasnya Kerajaan memberi sedikit untuk mengaut keuntungan yang lebih besar dengan menindas rakyat di bawah. Sehingga rakyat diumpamakan seekor ayam yang dizalimi oleh pemimpin yang mencabut bulunya tanpa belas kasihan. Kemudian ayam itu diberi sedikit dedak sehingga lupa kesakitan akibat bulunya yang dicabut sebelum ini. Ayam itu bukan sahaja tidak marah malah menurut tiap langkah pemimpin yang telah memberi dedak kepadanya. Oleh itu kita jangan kelabu mata dan terpedaya dengan pemberian yang sedikit sehingga lupa kepada kezaliman yang begitu banyak dan nyata. [4] Ujian berupa nikmat di mana kita wajib menjadi hamba Allah yang syukur nikmat iaitu memiliki tiga unsur utama iaitu Hatinya meyakini bahwa semua nikmat yang didapatkan adalah berasal dari Allah, Lidahnya memuji Allah manakala Anggota badannya digunakan untuk beramal soleh. Dalam masa yang sama kita wajib menjauhi sifat manusia yang Kufur ni'mat iaitu tidak bersyukur atau menyalahgunakan nikmat Tuhan yang tidak terhitung banyaknya itu kepada jalan maksiat. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal: وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” [5] ujian dari orang zalim buat kita samada musuh Islam yang kafir, golongan munafiqun, orang jahil , fasiq menentang syariat Allah mahupun orang yang hasad dengki kepada kita. [6] Ujian keluarga, suami, isteri, dan anak. Keluarga yang kita cintai boleh menjadi musuh kita kerana kederhakaan mereka kepada Allah dan apa yang lebih malang mereka menyebabkan kita lalai daripada mentaati Allah dan rasulNya. Firman Allah dalam ayat 24 surah at-Taubah: قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤﴾ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [7] Ujian keadaan persekitaran, tetangga, pergaulan, tempat dan suasana kerja, termasuk sistem pemerintahan negara. Oleh itu kita wajib meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah terutama dalam menambah ilmu di dada disamping sentiasa memakmurkan majlis ilmu dan juga berkawan dengan hamba Allah yang soleh agar kita terselamat daripada fitnah dunia yang boleh menghancurkan kita bila kita lalai. Jangan biarkan diri kita, keluarga kita seterusnya masyarakat sekitar kita hanyut dengan tipuan dunia. Firman Allah dalam ayat 45-46 surah al-Baqarah : وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦﴾ Maksudnya : Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (45) (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ