Jumaat, 16 Disember 2016

Sunnah Nabi s.a.w DiJulang Penderitaan Aleppo DiHentikan

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 24 surah al-Anfal : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan Keberadaan kita pada bulan Rabiul Awwal sewajarnya digunakan semaksima yang mungkin dalam menyuburkan rasa cinta dan kasih kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w telah mengubah tamadun kebendaan yang menyaksikan hawa nafsu menjadi rujukan kepada tamadun yang mengikat hubungan manusia dengan Allah dengan tunduk kepada panduan wahyu. Kedatangan nabi s.a.w bukan sahaja untuk mengajar manusia cara membina rumahtangga yang bahagia di dunia sahaja dengan melaksanakan tanggungjawab suami isteri, ibubapa dan anak serta menjauhi sikap curang, keganasan terhadap pasangan sehingga mampu meraih kebahagian dalam Syurga Allah di akhirat nanti. Kehadiran nabi s.a.w untuk mengatur pentadbiran Negara berasaskan agama supaya bebas daripada rasuah, pecah amanah, penipuan sehingga wujudnya Negara yang berkat. Kepimpinan nabi s.a.w bukan sahaja untuk membawa menteri, pegawai kerajaan seterusnya rakyat jelata untuk hidup harmoni di dunia malah akan merasai kepimpinan yang soleh untuk meraih kebahagiaan yang kekal di akhirat. Antara rahsia dan kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam memimpin umat manusia yang begitu lama berada dalam suasana kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam, daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman ialah berteraskan Keperibadian yang unggul, Akhlak dan perwatakan yang terpuji, Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan dan Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini marilah kita sama-sama bermuhasabah menghitung diri berkaitan sejauh mana rasa cinta dan kasih kita kepada nabi Muhammad s.a.w, sejauh manakah kesungguhan kita dalam mengamalkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Individu manakah yang lebih kita kenal dan sanjung antara peribadi nabi s.a.w atau artis, pemain sukan dan selainnya yang kita lebih minati. Adakah kita sudah mempunyai seseorang yang kita sanjung dan junjung sepanjang hidup di dunia ini untuk kita bangkit bersama mereka bila keluar daripada lubang kubur menuju ke padang Mahsyar nanti. Nabi s.a.w mengingatkan kita bahawa seseorang itu akan bangkit daripada kuburnya bersama dengan orang yang paling dia kasih semasa hidup di dunia ini. Seorang muslim yang mengaku mencintai Rasulullah s.a.w semestinya dia selalu berusaha untuk meneladani sunnah nabi s.a.w dalam kehidupannya mengikuti petunjuk dan perbuatan baginda s.a.w. Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat 31 surah Ali ‘Imran berkata, “Ayat yang mulia ini merupakan hakim (pemutus perkara) bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah, akan tetapi dia tidak mengikuti jalan (sunnah) Rasulullah s.a.w, maka dia adalah orang yang berdusta dalam pengakuan tersebut dalam masalah ini, sampai dia mahu mengikuti syariat dan agama (yang dibawa oleh) Nabi Muhammad s.a.w dalam semua ucapan, perbuatan dan keadaannya” Imam al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, “Ketahuilah bahawa sesiapa yang mencintai sesuatu, maka dia akan mengutamakannya dan berusaha meneladaninya. Kalau tidak demikian, maka bererti dia tidak dianggap benar dalam kecintaanya dan hanya mengaku saja (tanpa bukti nyata). Maka orang yang benar dalam (pengakuan) mencintai nabi s.a.w adalah apabila terlihat tanda (bukti) kecintaan tersebut pada dirinya. Tanda (bukti) cinta kepada Rasulullah s.a.w yang utama adalah (dengan) meneladani baginda s.a.w, mengamalkan sunnahnya, mengikuti semua ucapan dan perbuatannya, melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangannya, serta menghiasi diri dengan adab-adab (etika) yang baginda tunjukkan, dalam keadaan susah mahupun senang, keadaan lapang maupun sempit”. Betapa malangnya bila kita begitu malu untuk berpakaian cara nabi tetapi begitu gembira berpakaian yang melanggar syariat termasuk mendedah aurat dengan seluar yang sengaja dikoyak, memakai subang bagi lelaki dan sebagainya. Merasa malu untuk mengucap salam tetapi merasa bangga dengan ucapan yang tidak berpahala yang lain. Imam al-Qurthubi berkata, :“Sesiapa yang terus-menerus meninggalkan sunnah nabi s.a.w maka ini menunjukkan kekurangan atau kelemahan dalam agamanya. Apalagi kalau dia meninggalkan sunnah tersebut kerana meremehkan dan tidak menyukainya, maka ini kefasikan yang merosakkan iman sebagaimana maksud suatu sabda Rasulullah s.a.w : “Sesiapa yang membenci sunnah atau petunjukku maka dia bukan termasuk golonganku“ Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 13 surah Al-Hujurat : يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) Sesuai dengan keberadaan kita pada bulan Disember di mana disambut hari Hak Asasi Sedunia maka kita yakin bahawa kehadiran Rasulullah s.a.w membawa Islam adalah untuk mengangkat hak asasi yang telah koyak dirobek budaya Arab Jahiliyyah. Islam membawa keadilan tatkala kaum wanita dihina dan dipandang rendah, hingga anak perempuan dibunuh kerana dianggap mencemar maruah keluarga, orang miskin dan hamba sahaya dicemuh dan dipandang rendah, dan ketika itu Baginda datang memperjuangkan hak asasi jauh beratus tahun sebelum Abraham Lincoln berjuang menghapuskan perhambaan di Amerika. Hak asasi dalam pandangan Islam berbeza dengan hak asasi dari kaca mata Barat, namun tidak bermakna Islam menolak hak asasi sepenuhnya. Hak asasi dalam Islam dipandu oleh hukum-hukum dan syariat yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis. Islam tidak mengiktiraf keserataan gender, homoseksual dan perkahwinan sejenis, perkahwinan antara Islam dan bukan Islam dan nasab anak haram kerana ia bertentangan dengan syariat. Namun selain dari itu Islam mengiktirafnya dan turut mengangkat hak asasi tersebut merangkumi hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak untuk merdeka dan mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat dan menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak berkerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia untuk mendapat pendidikan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 9-10 surah Al-Hujurat : وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّـهِ ۚفَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٩﴾ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ Maksudnya : Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat Penderitaan dan penindasan terhadap saudara seagama terus berlangsung silih berganti. Ada yang menjadi mangsa keganasan musuh Islam seperti umat Islam di Palestin, bangsa Rohingnya di Myanmar dan selainnya. Tidak kurang yang menjadi mangsa akibat perang saudara walau pun tidak dinafikan penglibatan musuh Islam di belakang peperangan yang berlaku kerana musuh tidak akan menghentikan peperangan yang boleh mengaut keuntungan dengan jualan senjata serta dapat menyedut hasil mahsul Negara yang berperang sebagaimana yang berlaku di Yaman dan paling teruk di Syria terutama wilayah Halab atau Aleppo. Mengambil kira dengan apa yang berlaku di Aleppo, Syria di mana mangsa perang terutama orang tua, wanita dan kanak-kanak terperangkap dan menunggu masa untuk terbunuh maka kita menggesa semua pihak yang terlibat dan berkepentingan supaya tidak bertindak memburukkan lagi keadaan dan mengambil segala langkah yang perlu untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua mangsa terutama orang awam. Kita bertegas menolak kezaliman pemimpin Bashar Asad tetapi dalam masa sama menolak campur tangan asing yang matlamatnya bertentangan dengan keperluan rakyat dan kepentingan umat Islam. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajar mengambil tanggungjawab membantu, menggunakan kuasa dan pengaruh demi kebaikan rakyat Syria. Kepentingan orang ramai dan umat Islam hendaklah menjadi tumpuan utama dalam menangani kes Syria, dan juga krisis dan konflik di seluruh dunia Arab. Adakah kita boleh tidur nyenyak sedangkan saudara seagama dilanyak dengan kereta kebal. Adakah kita boleh terus berseronok ketika batang tubuh saudara seagama sedang disembelih dan ditembak. Adakah kita boleh makan kenyang ketika saudara seagama sedang diganyang lebih dahsyat daripada binatang. Adakah kita boleh berehat senang ketika saudara seagama sedang meraung kesakitan. Hulurlah bantuan samada berbentuk kewangan, pakaian, makanan dan paling penting dengan doa memohon pertolongan Allah agar diturunkan bantuan dalam menghentikan penderitaan. Jadilah manusia yang sempurna iman yang sentiasa merasai penderitaan saudara seagama yang lain قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم :الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا – رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Seorang mukmin terhadap mukmin lainnya seperti bangunan, dimana yang satu dengan yang lain saling menguatkan بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sunnah Nabi s.a.w DiHayati Bala Allah DiJauhi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya Rabiul Awwal menjelang lagi bersama catatan sejarah gemilang dengan sama-sama mengingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, nabi akhir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Ketika umat manusia tiada ikatan dengan Allah sehingga berlaku penindasan berdasarkan hawa nafsu maka pengutusan nabi Muhammad s.a.w telah menautkan kembali ikatan manusia dengan Allah yang menyuburkan lagi ikatan sesama manusia berdasarkan wahyu. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w bukan kelahiran biasa tetapi telah berjaya mengubah tamadun manusia yang hidup berdasarkan hukum rimba di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, golongan bangsawan memperbudakkan orang lain yang dianggap keturunan hina. Kasih sayang atas dasar iman mengambil alih sikap assobiyyah atau kebangsaan sempit sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri untuk membawa rahmat kepada seluruh alam bukan tertentu untuk umat arab sahaja. Kasih sayang Rasulullah s.a.w kepada umatnya begitu tinggi sehingga baginda memperjuangkan Islam hingga sampai kepada kita walau pun banyak sekali ujian, ancaman, kesulitan hingga ancaman kematian terhadap baginda. Namun begitu baginda tetap memperjuangkan Islam hingga kita mampu merasai kemanisan Islam ini Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Ketika musuh Islam berusaha siang dan malam dalam menjarakkan kita daripada nabi s.a.w dan juga system Islam yang dibawanya maka marilah kita sama-sama menambahkan lagi ilmu tentang nabi s.a.w terutama berkaitan akhlak, system hidup, cara dakwah dan sebagainya agar rasa cinta kita kepada nabi s.a.w semakin bertambah. Malah kejayaan umat Islam dalam menzahirkan cara hidup nabi s.a.w dalam seluruh aspek kehidupan termasuk rumahtangga, pendidikan anak-anak, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya akan menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk memeluk Islam dan menolak segala tohmahan jahat musuh Islam yag memburukkan nabi s.a.w dan imej Islam. Tunjukkan bukti dan tanda-tanda kecintaan dan kasih kita kepada nabi s.a.w antaranya : [1] Beriman kepada nabi saw sebagaimana firman Allah dalam ayat 136 surah an-Nisa’ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نزلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا Maksudnya ; Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya. [2] Ketaatan kepada nabi saw sebagaimana firman Allah dalam ayat 80 surah an-Nisa’ مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا Maksudnya : Sesiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan Sesiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka. Ketaatan kepada Nabi akan membawa kepada sikap mahu mengikuti baginda. Tidak ada ketaatan yang mutlak, kecuali dilakukan kepada manusia yang membawa kebenaran dari Allah. Ketaatan kepada Rasulullah saw. pada hakikatnya merupakan ketaatan kepada Allah. Manusia wajib taat kepada Allah, kemudian Allah menegaskan bahwa ketaatan kepada Rasul adalah sebahagian daripada ketaatan kepada-Nya. [3] Mengikuti nabi saw sebagaimana firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Kegagalan umat Islam dalam mengikut jejak langkah nabi sa.w dalam setiap apek kehidupan termasuk ibadat, sosial, ekonomi, politik telah menyebabkan kita terus dijajah di Negara sendiri dan dilanyak oleh musuh Islam [4] Berselawat kepada nabi saw عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم) Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Tanda kasih kepada nabi yang ke-[5] Meyakini bahawa Rasulullah saw. adalah Nabi penutup segala nabi sebagaimana firman Allah dalam ayat 40 surah Al-Ahzab : مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا Maksudnya :” Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu Nabi Muhammad adalah nabi terakhir, penutup para nabi. Tidak ada lagi nabi, rasul, dan wahyu setelah kewafatan baginda. Umat Islam tidak perlu terjebak akan adanya dakwaan dari manusia yang mengaku bahwa dirinya adalah seorang nabi. [6] Membela Rasulullah saw di mana sikap cinta perlu dibuktikan dengan pembelaan kepada Rasulullah saw. Khususnya dari pihak yang ingin mendiskreditkan, memfitnah Rasulullah saw. Pembelaan kepada baginda bererti juga pembelaan kepada kebenaran dan keberlangsungan ajaran Islam. Sebagai contohnya pandangan olongan Islam Liberal terhadap keperibadian Rasulullah SAW iaitu sifat Nubuwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW tidak lain hanyalah kemampuan seorang manusia untuk memimpin manusia yang lain. Oleh itu siapa sahaja yang boleh memimpin boleh mengambil alih sifat nubuwah seumpama Rasulullah SAW dalam memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Baginda dianggap manusia biasa yang lazimnya berbuat silap dan benar; boleh dipuji dan dikritik. Oleh kerana itulah kita dapati tokoh-tokoh aliran Islam Liberal termasuk di Malaysia tidak segan-segan untuk mengkritik Rasulullah SAW. Di antara mereka ada yang menuduh baginda bernafsu seks yang kuat dan memiliki ramai perempuan simpanan gundik. Ada juga yang menuduh baginda bukanlah pemimpin negara Islam tetapi hanyalah sekadar pegawai daerah semata-mata. Adapun sunnah-sunnah nabi s.aw, maka tanpa ragu aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya releven untuk masyarakat arab zaman baginda, ketinggalan untuk dipraktikkan pada zaman kini. Justeru aliran Islam Liberal memandang orang yang berjanggut, bersiwak, memakai serban, jubah dan sebagainya sebagai orang yang ketinggalan zaman lagi tertutup mindanya. Begitu juga pandangan Islam Liberal terhadap hadis nabi terutama hadis tentang azab kubur, suasana hari akhirat berkaitan Padang Masyar, Titian Sirat, Pengadilan dan sebagainya, Isra’ dan Mikraj, Dajjal, Penurunan Nabi Isa, fitnah-fitnah akhir zaman dan sebagainya hanyalah cerita rekaan para perawi hadis untuk memberi pengaruh kepada orang ramai pada zaman mereka. Sekalipun hadis-hadis ini tercatit di dalam kitab-kitab hadis sahih, pada hakikatnya ia hanyalah cerita-cerita tahayul semata-mata.Ini suatu pegangn yang merosakkan aqidah yang wajib dijauhi dan dibanteras secara bersungguh Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 33 surah Al-Anfal : وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ﴿٣٣﴾ Maksudnya :” “Dan Allah sekali-kali tidak akan mengadzab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengadzab mereka, sedang mereka meminta ampun” Dalam beberapa minggu ini banyak musibah yang berlaku samada dalam Negara atau luar Negara berbentuk banjir, tanah runtuh, peperangan dan tsunami yang terbaru di Acheh. Oleh itu tirulah cara nabi s.a.w dalam berdepan dengan ujian Allah antaranya : [1] Taubat kepada Allah di mana peristiwa ini akan membuahkan bertambahnya iman seorang mukmin, memperkuat hubungannya dengan Allah. Dia sedar bahawa musibah ini tidak lain dan tidak bukan adalah akibat dosa-dosa manusia berupa kesyirikan dan kemaksiatan. Tidaklah terjadi suatu malapetaka melainkan kerana dosa. Malapetaka itu tidak akan dicabut oleh Allah kecuali dengan taubat [2] Banyak berdzikir, do’a, dan istighfar kepada Allah. Imam Syafi’e mengatakan, “ubat yang paling mujarab untuk mengubati bencana adalah memperbanyak tasbih”. Imam as-Suyuti pula menyatakan , “Hal itu karena zikir dapat mengangkat bencana dan azab”. [3] Membantu mangsa bencana. Ketika kita sekarang boleh makan, minum, dan memiliki rumah, maka ingatlah saudara-saudara kita yang terkena bencana. Saat ini mereka sedang kesusahan dan kesulitan. Maka hulurkanlah tangan kita untuk membantu mereka semampu mungkin. Terlebih lagi orang kaya, pengusaha, pemerintah, dan bangsawan, hendaknya mereka mengeluarkan hartanya untuk membantu mangsa bencana. Dahulu, ketika terjadi gempa pada masa Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau menulis surat kepada para gabenornya untuk bersedekah dan memerintah rakyat untuk bersedekah. قال النبي :مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ-رواه مسلم Maksudnya: Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya pada hari kiamat [4] Menegakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar di mana tadi kita sebutkan bahawa antara faktor berlakunya bencana adalah dosa umat manusia maka hendaknya hal itu dihilangkan, salah satu caranya dengan menegakkan dakwah, saling menasihati, dan amar ma’ruf nahi munkar sehingga mengecillah kemungkaran. Adapun bila kita acuh tak acuh dan mendiamkan kemungkaran maka bencana tersebut akan kembali menimpa kita. Peringatan Allah dalam ayat 78-79 surah al-Maidah : لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَ‌ٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ ﴿٧٨﴾ كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ ﴿٧٩﴾ Maksudnya :“Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan nabi Daud dan nabi Isa putra Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu” Marilah kita sama-sama kembali kepada jalan Allah, bersungguh dan istiqamah dalam meghidupkan sunnah nabi dalam setiap aspek kehidupan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ