Ahad, 27 November 2016
Islam DiNobat Rohingya DiSelamat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Islam begitu menitikberatkan usaha dalam menguat dan mengukuhkan kedudukan umat Islam agar kita menjadi bangsa mulia bukannya hina, bangsa hebat bukannya bangsat, bangsa kuat bukannya melarat, bangsa memerintah bukannya dijajah. Betapa malangnya ia bertukar rupa akibat kita umat Islam yang terlena berabad lamanya kerana sebagai umat terbaik yang dilahirkan untuk seluruh manusia ini tidak sepatutnya kita menjadi beban kepada orang lain bagi memenuhi keperluan hidup kita baik di bidang ekonomi, ketenteraan dan lain-lain. Kita adalah umat yang banyak bercakap tetapi sedikit bekerja, jadi tidak hairanlah kita umat Islam yang berjumlah 1.6 billion berlutut di bawah Yahudi yang hanya berjumlah 3 juta orang.
Apabila kita merenungi al-Quran, maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat lain, bukan sebagai umat al-Quran yang dilukiskan oleh Allah sebagai umat terbaik kerana mereka menyeru orang berbuat makruf dan mencegah orang berlaku mungkar, serta beriman kepada Allah. Sedangkan ramai umat Islam pada hari ini melihat makruf sebagai sesuatu yang mungkar dan melihat yang mungkar sesuatu yang makruf. Malah lebih dari itu, dia menyuruh orang berbuat mungkar dan mencegah mereka berbuat makruf, sehingga dilanda fitnah yang tidak ditemukan hujung pangkalnya, yang membuat intelektual muslim menjadi bingung. Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan lupa kepada Allah Tuhan Maha Besar.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Allah sentiasa menyeru untuk kita bersungguh dan istiqamah dalam melahirkan kekuatan umat Islam dalam setiap aspek kehidupan. Malangnya apa yang berlaku akibat mengenepikan seruan Allah dan rasulNya menyebabkan umat Islam mensia-siakan kelebihan dan kekuatan yang ada. Antara kekuatan yang disia-siakan oleh umat Islam ialah : [1] Kekuatan akal kerana kita bagaikan burung tiung hanya suka meniru. Kita tidak mahu berdikari, tidak suka mencipta sendiri, tidak kreatif, senang menghafal daripada berfikir dan lebih senang mengutip fikiran orang lain, baik fikiran pendahulu kita ataupun masyarakat lain, kerana kita menganggap tidak perlu bersusah payah berfikir sendiri. Suatu ketika dahulu bekas Menteri Luar Israel, menyatakan secara terbuka cita-cita dan keinginan negaranya. Dia mendapat serangan dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir pernyataanya itu dibaca oleh bangsa Arab (umat Islam) dan rencana jahatnya diketahui. Namun dengan tenang dia menjawab dengan katanya: “Tenanglah, pecayalah padaku, bangsa Arab (nisbah kepada umat Islam) tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca”. Inilah kenyataan pahit yang dimiliki suatu umat yang ayat pertama dalam al-Quran yang diturunkan kepadanya memerintahkan; “Iqra” (bacalah). Ternyata mereka malas dan tidak suka membaca. Kalaupun membaca, mereka tidak pandai memahami, kalaupun memahami, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya. [2] Kekuatan amalan yang disia-siakan di mana amat menyedihkan, umat kita merupakan umat yang paling sedikit dalam berbakti dan amal perbuatannya, tetapi yang paling banyak bercakap dan berdebat. Kita banyak bicara dan sedikit kerja. Andaikata bekerja, kita hanya mengerjakan sesuatu yang kurang penting dan meninggalkan yang penting, malah kadang-kadang kita mengerjakan yang tidak bermanfaat sedikitpun. [3] Kekuatan Ekonomi disia-siakan, padahal kita hidup di bumi terbaik, yang paling baik daerahnya, paling subur tanahnya, paling kaya bahan galiannya, tetapi kita tidak memanfaatkan kekayaan itu sebaliknya dikorek oleh orang lain dan kita hanya menjadi pengguna setia sahaja. [4] Kekuatan Tenaga umat Islam yang jumlah begitu ramai disia-siakan malah yang lebih malang kita perpecah da nada Negara yang berlaku perang saudara [5] Kekuatan Jiwa Kita sia-siakan Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat “Rabbaniyah” ke dalam jiwa kita. Tepat sekali apa yang dikatakan oleh seorang intelektual Islam ketika mengatakan tentang “sekolah-sekolah moden”, bahawa ia boleh membuka mata generasi muda untuk mempelajari berbagai hakikat dan pengetahuan, namun ia tidak mengajari matanya bagaimana menangis dan tidak mengajari hatinya supaya khusyuk. Musibah paling tragis yang menimpa umat kita dewasa ini ialah menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau dan menjadikan permainan dan senda gurau sebagai agama. Kita hanya berlumba menghiasi tembok masjid dan dinding rumah dengan ayat-ayat al-Quran, tetapi tidak menghias kehidupan kita dengan al-Quran. Kita hanya membaca al-Quran untuk orang mati tetapi tidak mengajarkan al-Quran kepada orang hidup. Kita berusaha memiliki al-Quran, membawanya berkat, padahal berkat yang hakiki terletak kepada sejauh mana kita mengikuti perintah Allah dan menjauhi larangan Nya yang terkandung dalam al-Quran
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 75 surah an-Nisaa’ :
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ﴿٧٥﴾
Maksudnya : Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)".
Pada hari Jumaat yang mulia ini juga marilah kita sama-sama mengutuk dan mengecam pembunuhan etnik yang sedang berlaku di Myanmar. Ketahuilah bahawa kita sangat-terlambat, sebab tidak ada akses berita tentang saudara kita umat Islam Rohingnya, sehingga kita pun tidak mampu berbuat-apa-apa, padahal hakikatnya penindasan itu sudah berlangsung selama 228 tahun yang lalu, namun kita baru percaya setelah hampir dua juta muslim Rohingnya hidup di luar negerinya, dan lebih dari 500,000 mati dibunuh. Oleh kerana itu, pembelaan di tingkat pertama ini adalah memberikan maklumat yang benar tentang kezaliman yang mereka alami.
Berikut ini adalah ringkasan dari tragedi yang dihadapi oleh umat Islam di sana oleh pemerintah teroris Burma:
[1] Penghapusan kewarganegaraan atau etnik Rohingya Muslim di Arakan berdasarkan undang-undang yang mereka buat tahun 1982 M. Mereka dianggap orang asing ibarat pelarian di negara mereka sendiri yakni di Burma atau Myanmar setelah tahun 1824 (tahun masuknya penjajah Inggeris ke Burma) meskipun fakta dan sejarah mendustakan dakwaan itu.
Ketahuilah bahawa Islam masuk Arakan sejak abad pertama Hijriyyah, zaman sahabat Nabi 1400 tahun yang lalu. Islam masuk dibawa oleh para pedagang Arab pimpinan Waqqash bin Malik dan sejumlah tokoh tabi’in.
Kemudian gelombang kedua, Islam dibawa oleh para pedagang Arab Muslim pada abad kedua Hijriyah, tahun 172 H/788 M di masa Khalifah Harun al-Rasyid. Mereka singgah di Pelabuhan Akyab Ibukota Arakan. Umat Islam terus berkembang di Arakan hingga berdirilah Kerajaan Islam oleh Sultan Sulaiman Syah dan berlanjutan hingga 3- 5 abad lamanya (1430-1784 M), dipimpin oleh 48 raja Islam, dan berakhir dengan Raja Sulaiman Syah. Kemudian kerajaan Islam runtuh oleh serbuan kaum Buddha tahun 1784 M. Sejak ketika itulah sampai ke hari ini umat Islam ditindas dan diperlakukan seperti haiwan.
[2] Mengetatkan sistem keselamatan terhadap Muslim yang mahu keluar dalam perjalanan baik di dalam negeri mahupun di luar negeri.
[3] Penangkapan dan penyiksaan Muslim di kem-kem tahanan tanpa soal bicara.
[4] Memaksa umat Islam untuk melakukan kerja sebagai buruh paksa tanpa upah, seperti pembinaan jalan, penggalian parit di daerah pergunungan di Burma.
[5] Pengusiran umat Islam dan memberi penempatan kaum Buddha di rumah-rumah mereka.
[6] Menyita harta wakaf-wakaf umat Islam dan hasil pertanian mereka.
[7] Memeras kekayaan umat Islam, dan mencegah mereka dari mengimport dan mengeksport atau melakukan kegiatan perdagangan.
[8] Menghalangi umat Islam untuk menjadi kakitangan atau pegawai kerajaan, dan sebahagian kecil dari mereka yang telah mendapatkan kedudukan dalam masa penjajahan Inggeris dulu dipaksa untuk berhenti kerja
[9] Menghalang dan merintangi anak-anak Muslim dari melanjutkan pendidikan di sekolah-sekolah, dan universiti negeri.
[10] Melarang umat Islam untuk hadir dalam muktamar dan persidangan Islam antarabangsa (OIC) sehingga penderitaan mereka disembunyikan
Oleh itu kita menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih tegas dalam menghentikan pembunuhan etnik terutama dalam menekan kerajaan Myanmar. Kita pula jangan asyik dengan bola sepak Piala Suzuki yang berlangsung di Myanmar sehingga melupakan pada nasib saudara seagama yang sedang ditindas. Adakah boleh kita bersorak girang ketika saudara agama kita disembelih, dibakar, dibunuh kejam. Adakah kita boleh tidur lena ketika rumah saudara kita dibakar, dirampas dan mereka dihalau keluar daripada kampung halaman. Bantulah dengan wang dan paling penting doa kepada Allah agar penindasan ini dapat dihentikan segera. Jika pada hari ini kita boleh menyaksikan bagaimana Allah sedang menghantar tenteranya berupa api untuk membakar Israel selepas larangan azan maka bantuan Allah akan turun di mana-mana dengan syarat kita kembali bersatu bawah panji Islam dan saling menolong atas dasar iman. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Sabar Hadapi Ujian Syukur Merai Kebahagiaan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 11 surah at-Taghabun :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Kehidupan dunia ini ibarat berada di dewan peperiksaan di mana kita diuji berdasarkan tahap keimanan kita kepada Allah sebagaimana pelajar menghadapi peperiksaan mengikut tahap mereka samada rendah, menengah mahu pun tinggi. Pelajar akan menjawab segala soalan yang diberi samada dengan baik atau pun sebaliknya mengikut kefahaman dan persiapan awal yang dilakukan sebelum memasuki dewan peperiksaan. Begitulah tiap diri kita telah dan akan berdepan dengan musibah atau ujian daripada Allah dengan baik atau tidak berdasarkan ilmu dan penghayatan kita kepada syariat Islam dalam kehidupan seharian. Kemampuan kita dalam menghayati syariat Islam pasti membuahkan hasil yang baik untuk dunia dan akhirat kita. Manakala kegagalan dalam menghidupkan system Islam dalam kehidupan menyebabkan manusia mudah hanyut dengan godaan hawa nafsu dan syaitan yang akhirnya mengheretnya kepada kehancuran dan kebinasaan.
Ketika menyaksikan pengumuman keputusan UPSR semalam di mana peratus yang mendapat A dalam semua mata pelajaran merudum teruk di antara sebabnya pertukaran format. Begitulah keadaan umat manusia hari ini yang semakin ramai gagal dalam berdepan dengan ujian Allah akibat cabaran kepada hawa nafsu mereka yang semakin bercelaru terutama dengan ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat tetapi ia gagal diambil manfaat sebaliknya lebih ramai yang menggunakannya pada jalan keburukan. Dalam masa yang sama format untuk soalan alam barzakh tetap sama tetapi umat yang bakal berjaya menjawabnya semakin sedikit akibat kekurangan bekalan akhirat yang dibawa berbanding dosa maksiat yang dibangga. Ramai pelajar dan ibubapa begitu rungsing bila keputusan peperiksaan tidak cemerlang kerana ia bakal menjejaskan kerjaya masa depan. Mengapakah perkara yang sama tidak dihayati untuk bekalan akhirat di mana tiap diri kita perlu bimbang sekiranya gagal membina peribadi A pada akhlaknya, A pada amalan solehnya kerana kegagalan ini akan membawa penderitaan di alam barzakh seterusnya di alam akhirat tempat pembalasan yang kekal selamanya. Oleh itu kita wajib bersungguh dalam melahirkan generasi yang cemerlang dengan kehidupan dunia bertunjangkan Islam sebelum meraih kebahagian akhirat yang kekal abadi
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hajj:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ ﴿١١﴾
Maksudnya : Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.
Ketika berdepan dengan suatu musibah atau ujian Allah maka tingkatan sikap manusia dalam menerima takdir Allah terbahagi kepada 4 tahap iaitu :
[1] Marah dengan takdir yang Allah samada dalam hatinya atau diucap dengan lidahnya di mana ini boleh menjejaskan imannya dan wajib dijauhi
[2] Sabar sebagaimana ungkapan syair arab : “Sabar itu memang seperti namanya (nama sejenis tumbuhan), yang rasanya pahit. Namun hasil dari kesabaran akan lebih manis dari madu”. Ketika seseorang merasakan beratnya ujian dan tidak suka dengan ujian yang menimpanya, namun dia lebih memilih bersabar sehingga dia merasa ada atau tidaknya ujian sama saja. Meskipun dia tidak menyukainya, namun keimanannya menghalanginya untuk marah. Bersabar ketika menghadapi ujian hukumnya wajib, dan seseorang yang tidak bersabar ketika itu akan terjerumus dalam dosa. Dan sabar adalah tingkatan yang paling minima yang dimiliki oleh seorang Muslim ketika menghadapi ujian. Adapun tingkatan yang lebih tinggi dari sabar, hukumnya sunnah dan lebih afdhal atau utama.
[3] Redha di mana dia menjadikan ujian dan nikmat yang menimpanya sama saja, iaitu sama-sama bahagian daripada takdir dan ketetapan Allah, meskipun musibah tersebut membuat hatinya sedih di mana perasaan ini terhasil daripada keimanan kepada qadha dan qadar. Sehingga hal inilah yang menjadi pembeza antara sifat sabar dan redha.
[4] Syukur di mana ia adalah tingkatan tertinggi dan yang paling utama dalam menghadapi ujian Allah kerana dia mampu bersyukur atas musibah yang menimpanya. Oleh karena itu, dia boleh menjadi hamba Allah yang penuh rasa syukur ketika dia melihat masih banyak orang lain yang lebih berat musibahnya dibandingkan dirinya. Musibah dalam hal dunia lebih ringan dibandingkan musibah dalam hal agama, karena musibah di dunia lebih ringan dibandingkan azab di akhirat. Pada hakikatnya, musibah adalah penghapus dosa dan akan menjadi tambahan kebaikan di sisi Allah ketika dia menjadi hamba yang bersyukur.
قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ - رواه البخارى ومسلم
Maksudnya : Tak ada sesuatu pun yang menimpa seorang muslim berupa kelelahan, kesusahan, kesakitan, penganiayaan dan hal-hal yang dibenci, sehingga duri yang menyakitinya, kecuali Allah akan memberi keampunan terhadap dosa-dosanya oleh sebab hal-hal tersebut
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura:
وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠﴾
Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Ketika kita berasa rungsing dengan keputusan peperiksaan samada yang telah selesai atau yang sedang berlangsung maka kita juga perlu merasa bimbang dengan ujian terhadap akhlak kepada generasi muda pada hari ini. Contohnya kebimbangan berkenaan statistik kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah yang semakin meningkat saban tahun. Kebimbangan ini berasas sebagaimana dilaporkan media massa, bahawa hampir setengah juta anak tidak sah taraf telah didaftarkan dalam tempoh 2005-2015. Secara purata, boleh disimpulkan sebanyak hampir 4,435 anak luar nikah dilahirkan setiap tahun dalam tempoh tersebut. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa dalam tempoh yang sama, sebanyak 526 kes pembuangan bayi telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia.
Realiti dunia masa kini, golongan remaja dan belia khususnya wanita tidak terlepas daripada belenggu hedonisme dan hiburan yang tidak terkawal. Oleh itu pihak berkuasa wajib memantau program hiburan dengan menetapkan garis panduan yang lebih ketat bagi mengelakkan pergaulan yang terlampau bebas antara lelaki dan perempuan dalam setiap acara yang dijalankan. Begitu juga lambakan drama dan filem berunsur percintaan berserta adegan yang tidak sepatutnya di tv mampu mempengaruhi pemikiran remaja dan turut menyumbang keterlibatan remaja dalam perkara yang dapat menjurus kepada hubungan sebelum berkahwin. Kerajaan melalui Lembaga Penapisan Filem diseru agar lebih tegas dalam menapis kandungan filem yang ingin ditayangkan tanpa mengenepikan realiti masyarakat timur yang terkenal dengan tatasusila dan batas pergaulan yang sosial. Pengusaha industri filem pula diseru agar tidak terlampau obses mengejar keuntungan hingga mengenepikan nilai moral dan etika kemasyarakatan dalam pembikinan filem. Sepatutnya filem digunakan untuk membina akhlak bukan merosakkan akhlak. Kerajaan juga wajib bersungguh dalam melaksanakan hukum Islam bagi memastikan kerosakan akhlak dapat ditangani segera dan berkesan. Selain itu bermula daripada ibubapa dan masyarakat sekitar mesti bersungguh-sungguh dalam membentuk suasana dalam rumahtangga dan sekitar yang sihat termasuk penjagaan aurat, banteras pergaulan bebas, mengawal penggunaan internet dan telefon pintar agar diguna pada perkara manfaat bukan sebaliknya. Perkasakan kerja amar makruf nahi munkar, nasihat menasihati, tegur menegur dalam rumahtangga dan masyarakat agar suasana yang patuh syarak dapat diwujudkan sehingga turunnya keberkatan daripada Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Umat Islam yang Berjaya juga wajib peka terhadap isu semasa bukan sahaja dalam Negara malah antarabangsa terutama yang melibatkan kesan kepada cara hidup umat Islam. Contohnya bila dunia sedang membicarakan proses pertukaran Presiden baru AS yang turut memberi kesan kepada umat Islam maka kita wajib menghayati apa yang disarankan oleh al-Quran antaranya :
[1] Persediaan untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan ujian. Bukannya hanya sebagai pemerhati atau penonton, lalu membuat rumusan yang tidak berpijak dalam realiti sebenar.
[2] Persediaan dengan “segala jenis kekuatan” adalah puncak tertinggi bagi satu-satu persiapan dengan sepenuh kemampuan, bukannya ala kadar. Antara yang terpenting, sudah tentu ilmu, akhlak, ibadah, kerukunan rumahtangga, pegangan hidup.
Kita tidak mahu umat Islam terus menjadi buah catur setiap kali berlakunya perubahan kepada pemimpin Negara besar sebaliknya kita wajib bersungguh dalam memperkasakan system Islam dalam kehidupan samada ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial serta bersatu di bawah panji Islam sehingga kemerdekaan bumi Palestin semakin dekat, penderitaan umat Islam di Syria, Yaman, Iraq, Afghanistan, Myanmar dapat diubat, kekejaman zionis Yahudi dan cita-cita besar pembunuh dunia ini untuk mewujudkan Israel Raya dapat disekat. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Sabtu, 5 November 2016
Surah al-Kahfi DiHayati Kekuatan Ummah DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 54-55 surah al-Kahfi :
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَـٰذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا ﴿٥٤﴾ وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَن يُؤْمِنُوا إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُمْ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ الْأَوَّلِينَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ قُبُلًا ﴿٥٥﴾
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.
Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untukm menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ - رواه الحاكم والبيهقي
Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat.
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ - رواه مسلم
Maksudnya : Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada fitnah Dajjal.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 104-105 surah al-Kahfi:
الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا ﴿١٠٤﴾أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا ﴿١٠٥﴾
Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
Sebagaimana maklum bahawa turunnya al-Quran bukan semata-mata untuk mendapat pahala daripada bacaannya sahaja sebaliknya ia lebih besar daripada itu iaitu dengan menghidupkan sistem al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan samada ibadat khusus, ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Begitulah juga dengan galakan membaca surah al-Kahfi adalah bagi menghayati pengajaran berharga daripadanya. Surah al-Kahfi banyak merakamkan amaran Allah kepada orang yang kufur terhadap nikmat-Nya, di samping memberikan khabar gembira kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, menghuraikan dengan jelas pertentangan antara iman dan “madiyyah” (materialisme) serta menggariskan makna kebahagiaan yang sebenar menurut Islam. Kisah-kisah yang terkandung di dalam surah al-Kahfi menjadi bahan renungan dan peringatan kepada umat beriman sepanjang zaman khususnya di era tamadun ke“dajjal”an bermaharajalela. Ini kerana, pertarungan materialisme dan iman berterusan sepanjang zaman.
Di zaman mengaku tuhan umpamanya, penganut materialisme diwakili Firaun dan menteri-menterinya termasuk Haman dan Qarun. Sementara golongan beriman diwakili Nabi Musa dan para pengikut setianya yang beriman kepada Allah. Di zaman kini, golongan materialisme diwakili negara-negara “superpower” yang memiliki peralatan perang canggih, media putar-belit, empayar hiburan dan sebagainya untuk menyesatkan umat manusia agar perang-memerangi dan terkeluar dari jalan kebenaran. Islam tidak menolak keperluan material (kebendaan), tetapi memerangi materialisme, suatu fahaman yang menjadikan kekayaan, pengaruh dan kuasa sebagai matlamat utama dan tuhan-tuhan baru yang dipuja dan disembah. Materialisme adalah suatu bentuk kezaliman yang disebut di dalam surah al-Kahfi. Tamadun kebendaan di akhir zaman ini telahpun memperlihatkan ciri-ciri untuk memperdajjalkan umat manusia dalam semua perkara. Antara cirinya ialah mengaburkan kefahaman orang ramai, melabelkan sesuatu dengan nama yang tidak sepatutnya, memalsukan kebenaran, mengubah perkara yang baik kepada keji dan keji kepada baik, serta mengatakan sesuatu perkara sedangkan dirinya tidak mempunyai kearifan dalam isu yang ditimbulkannya itu. Hal itu yang paling banyak terjadi sekarang ini sama ada kita sedar atau tidak sedari. Ia juga mengingatkan tentang Fitnah Dajjal yang merupakan fitnah yang terakhir dan paling besar sekali.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنْ الدَّجَّالِ- رواه مسلم
Maksudnya : Di antara penciptaan nabi Adam a.s sampai ke hari kiamat itu, tidak ada perkara yang lebih besar dari Dajjal
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi:
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى. وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
Maksudnya : Sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah lagi bagi mereka petunjuk. Dan Kami kuatkan hati-hati mereka dengan kesabaran, tatkala mereka berdiri lalu berkata; Tuhan kami, Pengurus bagi langit-langit di bumi, kami tidak akan seru Tuhan selain Allah kerana kalau begitu, bererti kami berkata sesuatu yang melewati batas.
Imam Jalaluddin as-Suyuti menceritakan bahawa kaum Yahudi bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang 3 soalan berkisar masalah ruh, Ashabul Kahfi dan Zulqarnain bertujuan untuk mengejek Nabi s.a.w. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya, bagi menjawab soalan tentang ruh di dalam surah al-Isra’ ayat 85, manakala soalan-soalan berbaki dijawab di dalam surah al-Kahfi. Segelintir kaum Yahudi memang suka merendah-rendahkan Nabi s.a.w dengan soalan bersifat “supernatural” seolah-olah merekalah jaguh segala maklumat. Namun, Allah Taala tidak menilai berapa banyak ilmu pengetahuan yang dimiliki tetapi berapa banyak ia diamalkan dalam kehidupan.
Ketika menyoroti kisah Ashabul Kahfi dan kembara ilmu nabi Musa bersama nabi Khidir a.s maka kita dapati bagaimana perlu setiap individu muslim memiliki peribadi yang hebat antaranya : [1] Sentiasa mencari dan menyebarkan Ilmu agama agar setiap tindakan dan amalan selari dengan kehendak agama [2] Berdakwah kepada Allah dan memberikan kefahaman yang baik tentang system Islam kepada masyarakat [3] Bersabar atas gangguan masyarakat [4] Mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah [5] Sentiasa berusaha dalam menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah atau tercela [6] Suka berkumpul dengan para ulama dan orang soleh yang boleh menegur dan membaiki kekurangan yang ada [7] Menjadi teladan yang baik bagi masyarakat dengan menghiasi diri dengan segala sifat mahmudah atau terpuji [8] Bangga dengan agamanya dan tidak mengikuti orang-orang kafir samada dari sudut pakaian, bersosial, berfikir dan bertindak [9] Berjihad dan mengorbankan jiwa di jalan Allah Ta’ala.
Ciri pemuda yang unggul telah diungkapkan oleh Imam Hassan al-Banna, : "Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 83-84 surah al-Kahfi:
وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾
Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya". Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya
Seterusnya kisah Zulqarnain, seorang raja yang memiliki keimanan, kebaikan dan kekuatan yang luar biasa. Baginda memiliki semua jenis sumber kekuatan material serta menguasai semua kemudahan dan perkakasan yang ada pada zamannya. Sungguhpun demikian, Zulqarnain menggunakannya untuk kemanfaatan manusia, berkhidmat kepada insan dan membangunkan sebuah kota yang berkebajikan. Meskipun Zulqarnain berada di kemuncak kegemilangan dan kekuasaan, namun beliau tetap tunduk kepada Allah Yang Maha Mencipta dan Menjadikan. Beliau tidak mudah dikaburi dengan harta yang menjadi perhiasan duniawi walaupun dilimpahkan seluas dataran bumi kepadanya. Ini antara contoh pemimpin terbaik yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat.
Bukannya menjadi pemimpin yang suka melihat bantuan subsidi ditarik, cukai GST diambil untuk kemewahan pemerintah sedangkan rakyat terus dihimpit dengan keperitan hidup dengan kos barangan terus naik seiring dengan kenaikan harga minyak. Sewajarnya dalam keadaan rakyat yang terpaksa berjimat cermat maka kerajaan lebih wajib berhemah dan amanah dalam membelanjakan hasi Negara. Antara cadangan dalam menjimatkan wang Negara ialah mengkaji semula saiz kabinet yang terlalu besar, setiap menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan peratusan gaji bulanan serta memulangkan elaun minyak, tol, percutian dan keraian untuk memastikan pemimpin turut merasai penderitaan rakyat. Penjimatan daripada perbelanjaan protokol menteri, projek mewah yang tidak bemanfaat kepada rakyat terbanyak serta cegah kawal sepanjang masa terhadap ketirisan akibat pecah amanah dan rasuah.
Sebagaimana pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Pemimpin kaya menyebabkan rakyat menderita papa kerana dia tidak merasai susah jerih rakyat, sedangkan bila pemimpin miskin maka rakyat akan merasai nikmat kekayaan Negara yang dirasai secara bersama melalui agihan yang saksama
Berhati-hatilah dalam memilih pemimpin agar kita dipimpin oleh orang yang amanah, dedikasi yang bukan sahaja mampu menguruskan dunia berdasarkan agama malah mampu memandu kita kepada kebahagian akhirat yang kekal selamanya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ