Jumaat, 29 April 2016

Ujian Ditangani Dengan Iman Untuk Kejayaan Gemilang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Kahfi : إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ﴿٧﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. Kita sekarang berada pada minggu kedua terakhir daripada bulan Rejab yang merupakan antara bulan Haram di mana sewajarnya kita menjadikannya sebagai bulan persiapan dalam memantapkan fizikal dan mental kerana kita bakal menyambut kedatangan bulan Sya’aban sebelum memasuki penghulu segala bulan iaitu Ramadhan tidak lama lagi. Kedatangan bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w termasuk Peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Begitu juga dengan peristiwa yang sentiasa disebut-sebut pada Rejab ini iaitu Isra’ dan Mikraj. Bila kita menyoroti kedua-dua peristiwa besar ini maka di sana bagaikan ada persamaan dari sudut ujian yang besar dalam menguji keimanan di mana hanya umat yang lulus menghadapi ujian Allah sahaja yang berjaya manakala umat yang gagal dalam ujian hidup akan merana dunia dan akhirat. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hajj : وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ ﴿١١﴾ Maksudnya : Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata Antara perkara besar dalam mempersiapkan diri kita ke arah menjadi umat yang berjaya menghadapi ujian Allah ialah penjagaan hati iaitu mengisinya dengan segala sifat mahmudah terpuji disamping membersih dan menjauhi hati daripada segala sifat mazmumah tercela. Antara cara memastikan hati kita supaya sentiasa hidup tidak mati, sihat tidak sakit ialah sebagaimana yang diajar oleh Imam al-Ghazali : “Carilah hatimu sewaktu membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 132 surah Taha : وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ ﴿١٣٢﴾ Maksudnya : Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Antara ujian yang bakal menguji keimanan kita ialah : [1] Ujian berupa perintah Allah, seperti kewajipan solat ketika Isra’ Mikraj di mana bagi umat beriman ia diterima penuh taat untuk mendekatkan diri kepada Allah manakala kaum munafik menganggap ia adalah bebanan dan menyusahkan. Begitu juga seruan jihad dalam perang Tabuk di mana ramai sahabat yang miskin yang tidak mempunyai senjata dan kenderaan samada unta atau kuda menangis kerana tidak dapat mengikuti peperangan ini ketika golongan munafik girang gembira kerana tidak perlu pergi berperang dengan pelbagai alasan dangkal malah ada yang berperanan dalam memecahbelahkan kesatuan tentera Islam daripada Perang Tabuk Firman Allah dalam ayat 81 surah at-Taubah : فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّـهِ وَكَرِهُوا أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَقَالُوا لَا تَنفِرُوا فِي الْحَرِّ ۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ﴿٨١﴾ Maksudnya : Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Firman Allah dalam ayat 37-41 surah an-Naazi’at : فَأَمَّا مَن طَغَىٰ ﴿٣٧﴾ وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿٣٨﴾ فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Maka adapun orang yang melampau batas, Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. [2] Ujian berupa larangan Allah seperti larangan berzina, pecah amanah, membunuh, merompak, mencuri, rasuah dan segala kemaksiatan serta kezaliman. Ketika nabi s.a.w dibawa melawat Neraka dalam peristiwa Isra’ Mikraj maka diperlihatkan pelbagai jenis seksaan mengikut dosa masing-masing. Antara bahaya dosa dalam kehidupan dunia yang membawa kepada seksaan akhirat ialah : [1] Dosa Menghalangi Ilmu Pengetahuan. [2] Dosa Menghalangi Rezeki termasuk kemarau yang panjang sehingga pokok mati, sungai kering, binatang turut terjejas sehingga banyak kes ular misalnya masuk rumah dan sebagainya. Malah ada yang meninggal akibat strok haba termasuk anak mukim Terusan Limbat beberapa hari lepas. Oleh itu perbanyakkan istighfar dan taubat atas dosa disamping memperkasakan kerja suruh ke arah kebaikan serta cegah daripada kemungkaran dalam keluarga dan masyarakat. [3] Dosa menjarakkan hubungan kita dengan Allah. [4] Dosa Menjauhkan Pelakunya dengan orang soleh dan mendekatkan diri dengan golongan maksiat dan syaitan. [5] Dosa Menyulitkan Urusan kerana hidupnya jauh daripada kasih sayang Allah. [6] Dosa Menggelapkan hati sebagaimana pesanan Ibnu Abbas r.a : “Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan pencerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kelapangan rezeki, kekuatan badan, dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengandung ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki, dan kebencian”. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 155 surah al-Baqarah : وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ Maksudnya : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar [3] Ujian berbentuk musibah seperti ketakutan akibat jenayah, kelaparan akibat kos sara hidup yang meningkat sedangkan golongan miskin terutama petani, nelayan dan penoreh getah berdepan dengan harga hasil kerja yang begitu rendah, kekurangan harta akibat cukai yang turut dipikul oleh golongan miskin ketika subsidi ditarik satu demi satu, jiwa dengan kes bunuh dan hasil buah-buahan yang terjejas teruk akibat kemarau. Malah kita bimbang dengan kadar hutang Negara 2015 yang mencecah angka RM587 billion dengan kadar faedah yang perlu dibayar RM21 Billion setahun telah meletakkan Malaysia Negara berhutang paling tinggi di Asia. Malah kutipan GST RM28 juta setahun hanya untuk membayar hutang Negara bukan untuk disalurkan kepada rakyat jelata [4] Ujian nikmat untuk menguji samada kita syukur atau kufur di mana ramai manusia lupa Allah bila dapat nikmat dan keluh kesah bila nikmat ditarik. [5] Ujian dari orang zalim samada sesama Islam atau musuh yang kafir. Jika dalam peristiwa Isra’ Mikraj panggilan yahudi dan Kristian mengganggu perjalanan nabi s.a.w, begitu juga dalam perang Tabuk diganggu dengan propaganda golongan munafik. Oleh itu keyakinan kita begitu tinggi bahawa cahaya Allah tidak mampu dipadamkan malah ia terus bersinar dalam menerangi alam buana ini dengan cahaya Islam. Jangan mudah putus asa bila orang kafir cuba menyekat cahaya Islam dan jangan rasa terkejut bila adanya orang mengaku Islam yang bukan sahaja tidak mahu laksana system Islam malah menentangnya dengan pelbagai alasan yang dangkal. [6] Ujian sekitar, tetangga, pergaulan, tempat dan suasana kerja, termasuk sistem pemerintahan atau bernegara. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 24 surah at-Taubah : قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤﴾ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [7] Ujian keluarga, suami, isteri, dan anak di mana keluarga yang kita cintai boleh menjadi musuh kita kerana kedurhakaannya kepada Allah. Akibat kecintaan kita kepada 8 perkara iaitu ibubapa, anak, adik beradik, isteri atau suami, ahli keluarga, harta, perniagaan, rumah bukan atas dasar iman yang menyebabkan hilangnya cinta kepada 3 perkara utama iaitu cinta kepada Allah, RasulNya dan jihad pada jalan Allah menyebabkan umat Islam melalui zaman penghinaan dan penindasan musuh. Oleh itu kembalilah kita kepada cara hidup Islam terutama dalam mengulangi semula kemenangan Islam yang gemilang yang pernah dicapai oleh Solahudin Al-Ayyubi ketika memerdekakan Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera Salib pada bulan Rejab tahun 583 H (1187 M). Kita turut menyatakan kebimbangan dengan keputusan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi yang biasanya memberi kesan buruk terhadap umat Islam terutama di Palestin kerana setiap calon yang mahu menang mestilah menjadi pelobi dan penyokong kuat kepada zionis Yahudi. Semoga Allah mendatangkan kemenangan kepada pejuang Islam yang istiqamah dalam menjulang panji Islam sebagaimana Allah meruntuhkan kerajaan Namrud, mengalahkan kerajaan Firaun, menumbangkan Empayar Rom dan Parsi. Islamlah nescaya kita berjaya dan bahagia dunia akhirat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 13 April 2016

Islam DiJulang Tinggi Keberkatan DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 4-6 surah at-Tin : لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ ﴿٤﴾ ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ ﴿٥﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ ﴿٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. Kini kita berada di penghujung bulan Jamadil Akhir di mana mulai esok kita mula melangkah ke bulan Rejab. Perjalanan masa atau waktu berlalu begitu pantas yang menghasilkan 2 natijah atau kesan yang berbeza kepada umat manusia di mana umat yang berjaya memanfaatkan masa dengan sebaiknya terutama diisi dengan amal soleh pasti akan berjaya manakala golongan yang membazirkan nikmat masa dengan perbuatan sia-sia apatah lagi maksiat akan berada dalam kerugian yang berpanjangan. Ibarat kata Hukama’ : Umur kehidupan di dunia ibarat modal di mana keuntungannya dengan kejayaan kita menggunakan umur dalam melaksanakan amalan soleh manakala kerugiaannya bila dibuang pada perkara maksiat sehingga bukan sahaja umurnya rugi malah dirinya bakal berdepan dengan seksaan Allah. Allah memberi amaran tentang perkara ini dalam ayat 178 surah Ali ‘Imran : وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ ﴿١٧٨﴾ Maksudnya : Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak). عَنْ اَبِى بَكْرَةَ رضي الله عنه اَنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ قَالَ: مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَ حَسُنَ عَمَلُهُ. قَالَ: فَاَيُّ النَّاسِ شَرٌّ؟ قَالَ: مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَ سَاءَ عَمَلُهُ. رواه الترمذى Dari Abu Bakrah RA, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya, “Ya Rasulullah, manusia yang bagaimana yang paling baik ?”. Baginda SAW menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Orang tersebut bertanya lagi, “Lalu manusia yang bagaimana yang paling buruk ?”. Baginda SAW menjawab, “Orang yang panjang umurnya tetapi buruk amalnya”. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah : يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾ Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. Menyedari betapa pentingnya mencari keberkatan umur, rezeki, keluarga dan lainnya yang bermula dengan keberkatan Ilmu. Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot menukilkan : “Ilmu yang muktabar menurut syarak adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Allah samada suka atau tidak suka”. Malah nabi s.a.w memberi amaran bagaimana hinanya umat Islam di akhir zaman sehingga mudah digayang dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam walau pun memiliki jumlah yang ramai akibat lemahnya budaya ilmu dan beramal sehingga hati umat Islam sendiri mudah dijangkiti dengan sifat mazmumah atau tercela termasuk al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu benci pada kematian. Menurut Imam al-Ghazali, hati manusia ibarat kolam sementara segala anggota dan pancaindera zahir seperti mata, telinga, lidah dan lain-lainnya umpama sungai. Apabila anggota dan pancaindera terbabit dengan dosa, setiap dosa itu akan mengalir ke dalam hati maka akan rosak binasalah seluruh kehidupan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf : وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾ Maksudnya : Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Di dalam Al-Quran perkataan barakah dan cabang-cabangnya disebut sebanyak 32 kali. Melalui perkataan barakah, Al-Quran telah menentukan orang tertentu, tempat tertentu dan masa tertentu mendapat berkat daripada Allah SWT sehingga termaktub hikmah pada perkara-perkara yang mendapat berkat itu untuk menghasilkan kebaikan dan manfaat kepada persekitarannya. Misalnya dalam surah Hud ayat 48, Allah telah memberi keberkatan kepada nabi Nuh a.s. dan pengikut baginda a.s. serta memberi ancaman siksaan kepada mereka yang engkar dengan memberi sedikit kenikmatan sementara di dunia dan kelak akan diazab. Dalam surah Fussilat ayat 10, Allah memberi keberkatan ke atas muka bumi secara amnya apabila menegaskan Dialah yang menjadikan gunung-ganang di atas muka bumi yang mempunyai keberkatan iaitu yang dapat memberi faedah kepada semua makhluk di atas bumi termasuk haiwan, manusia dan tumbuh-tumbuhan. Imam al-Razi menegaskan erti berkat di sini ialah manfaat bumi yang banyak. Imam Al-Qurtubiy merumuskan bahawa keberkatan merangkumi kebahagiaan, pertambahan dan perkembangan. Begitu juga Allah menyifatkan Al-Quran sebagai sebuah kitab penuh berkat yang perlu ditadabbur atau diperhatikan oleh manusia yang berakal sempurna agar mendapat iktibar seperti termaktub dalam surah Shad ayat 29. Dalam surah Qaaf ayat 9, Allah menegaskan bahawa Dia SWT menurunkan air yang pernuh berkat daripada langit yang menumbuhkan tanaman dan biji-bijian untuk dituai. Rentetan daripada ini ulama mendefinisikan berkat sebagai 'limpahan rabbani' yang tercurah manfaatnya kepada apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT bagi memperlihatkan kebaikan perkara tersebut. Ulama juga dengan lebih lanjut memberi maksud berkat sebagai peningkatan dan pertambahan kebaikan dalam sesuatu perkara sama ada ia secara zahir atau pun batin. Umat hari ini mula mengabaikan keberkatan atau kualiti kerana terlalu mengejar kuantiti atau jumlah zahir yang nampak banyak semata-mata sehingga sanggup terlibat dengan perkara yang haram seperti rasuah, riba, pecah amanah, skim cepat kaya dan sumber haram lain demi hidup mewah tak bermaruah. Malah isu mas kahwin mahal yang membawa kepada pergaduhan keluarga sepastinya akan mewujudkan suasana kahwin lebih mahal yang menyebabkan kes zina yang lebih murah semakin membarah. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 36-37 surah Saba’ : قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٣٦﴾ وَمَا أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُم بِالَّتِي تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَىٰ إِلَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَـٰئِكَ لَهُمْ جَزَاءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا وَهُمْ فِي الْغُرُفَاتِ آمِنُونَ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (36) Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa. Keberkatan juga melibatkan Negara di mana semakin tunduknya system Negara kepada Islam maka semakin mencurahlah keberkatan dalam sesebuah Negara itu. Kita ambil contoh al-Quran berkenaan keberkatan kerajaan Saba’ yang menikmati kemajuan dari sudut sosial di samping mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini. Ia berbeza dengan tamadun Barat pada hari ini yang hanya maju dari sudut ekonomi, teknologi dan ketenteraan sahaja di mana semakin maju Negara itu, maka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin ramai penjenayah yang rakus di dalam negara tersebut. Antara sebab utama kejatuhan kerajaan Saba’ akibat sikap manopoli pemimpin sehingga menindas rakyat Itulah yang menjadi kebimbangan kita apabila pemimpin negara hanya memikirkan cara memperbanyakkan hasil kemasukan negara termasuk GST dan mengurangkan pengeluaran negara dengan menarik banyak subsidi sehingga membebankan rakyat. Golongan petani, penoreh getah misalnya menghadapi masalah harga yang terlalu rendah sedangkan pengilang dan syarikat mengecapi keuntungan yang berganda. Akhirnya negara ini menjadi "negara perniagaan" yang menyebabkan kegelapan dan kehancuran Negara sebagaimana yang diperingatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya : "Sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan kepada rakyat merupakan suatu kemusnahan." Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Mimbar Jumaat pada hari ini juga tidak lupa menyatakan kesedihan atas pengeboman yang berlaku di Turki dan Belgium sehingga tekanan terhadap umat Islam terutama di bumi Eropah semakin kuat selepas pengeboman ini Kita juga mengambil peduli terhadap saudara seagama kita terutama di Syria, Iraq dan selainnya yang menderita akibat peperangan. Begitu juga umat di Palestin merayu untuk kita mendoakan kejayaan mereka dalam memerdekakan bumi Palestin disamping bantuan material dan yang penting untuk bersatu memboikot barangan dan syarikat yang banyak membantu kezaliman dan kejahatan zionis Yahudi. Kita turut menyatakan kebimbangan dengan keputusan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi yang biasanya memberi kesan buruk terhadap umat Islam terutama di Palestin kerana setiap calon yang mahu menang mestilah menjadi pelobi dan penyokong kuat kepada zionis Yahudi. Semoga Allah mendatangkan kemenangan kepada pejuang Islam yang istiqamah dalam menjulang panji Islam sebagaimana Allah meruntuhkan kerajaan Namrud, mengalahkan kerajaan Firaun, menumbangkan Empayar Rom dan Parsi. Islamlah nescaya kita berjaya dan bahagia dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Qosas : وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ﴿٥﴾ وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَنُرِيَ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُم مَّا كَانُوا يَحْذَرُونَ ﴿٦﴾ Maksudnya : Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ