Selasa, 12 Januari 2016
Musibah Tabah DiHadapi Musuh Allah Bijak DiTangani
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 9-11 surah Hud :
وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ ﴿٩﴾ وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ ﴿١٠﴾ إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ ﴿١١
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Dunia ini umpama dewan peperiksaan yang ada pelbagai kertas ujian. Kehidupan ini tidak akan lari daripada ujian dan dugaan di mana manusia yang beriman pasti mereka menerima ujian kehidupan sebagai sebahagian dari resam hidup yang perlu dilalui dengan hati tabah. Ketika menempuh pelbagai ujian hidup, mohonlah kepada Allah SWT dengan doa yang ikhlas agar diberi ketabahan dalam melalui ujian. Liku hidup ini bukan soal senang dan susah semata-mata, tetapi bagaimana Allah membantu meringankan kesusahan seseorang Mukmin itu dalam setiap kali kita berdepan dengan kesukaran ujian-Nya. Bagaimana sukar atau berat sekalipun sesuatu ujian itu, jika Allah berikan kemudahan, pastinya ujian yang berat itu akan menjadi mudah. Namun sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT, sentiasalah bermohon untuk diberi ketabahan dalam menempuh ujian hidup.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 2-3 surah al-Ankabut :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾
Maksudnya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Ketika menrima ujian kehidupan maka mukmin mesti bermuhasabah diri terhadap 5 perkara mengenai kehidupannya iaitu :
[1] Sejauh mana keikhlasan seseorang Mukmin itu akan setiap amalan yang dilakukan.
[2] berkaitan ibadah yang dilaksanakan apakah dia benar-benar telah melaksanakan setiap perintah Allah SWT.
[3] Kegigihan seseorang Mukmin dalam melaksanakan syariat Allah SWT iaitu melaksanakan yang halal dan meninggalkan segala yang haram. Kita tidak mahu ketika kita di Kuala Krai masih lagi teringatkan dengan musibah banjir besar 2014 disamping beberapa kawasan dinaiki air baru-baru ini tiba-tiba ada pihak yang membelakangkan amaran Allah dengan menganjur hiburan yang melibatkan artis perempuan di kawasan Hospital Kuala Krai ketika sambutan tahun baru minggu lepas. Bala’ Allah mana lagikah yang ingin dijemput dan diundang
[4] Usaha dan ikhtiar yang dilakukan dalam berdepan ujian hidup bukan menyalahkan takdir Allah
[5] solat taubat yang didirikan benar-benar atas rasa insaf dan takut akan pembalasan Allah SWT.
Suatu riwayat menjelaskan akhlak Amirul Mukminin Sayyidina Umar Khattab yang berbicara mengenai kenikmatan ujian musibah. Katanya: "Demi Allah, tidak ada satu bala yang menimpa ke atasku melainkan Allah memberikan 4 nikmat kepadaku, iaitu [1] musibah itu tidak dikenakan kepada agamaku melainkan musibah itu untuk diriku. [2] tidak ada yang lebih nikmat selain musibah itu datang kepadaku mengikut kemampuanku. [3] aku merasa nikmat kerana musibah itu tidak menghalangku untuk redha kepada Allah atas qadha’ dan qadar-Nya dan [4] sesungguhnya aku mengharap pahala dari setiap musibah yang mendatangiku."
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ – رواه البخاري
Maksudnya : Sesiapa yang memiliki 3 perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu [1] dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan [2] dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta [3] dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka
Ketika 2015 melabuhkan tirai bersama seribu macam perasaan suka dan duka maka rakyat Malaysia menyambut kedatangan 2016 dengan pelbagai harapan yang baik dari setiap sudut samada agama, ekonomi, sosial dan sebagainya. Sehari sebelum melangkah ke tahun 2016, kita dapat menyaksikan bagaimana suatu kes yang begitu lama dibicarakan akhirnya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan yang memutuskan pengesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa muallaf Muhd Riduan, 6 tahun lepas hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Muhd Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya itu selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam sedangkan Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh mengisytiharkan bahawa perintah hak penjagaan itu adalah tidak sah dan batal kerana Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah hak penjagaan apabila pihak lain (ibu) bukan beragama Islam. Kes ini sepatutnya membuka mata pemimpin agar bersungguh dalam memperkasakan undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah itu sendiri. Kita yakin kegagalan dalam memperkasakan undang-undang syariah bakal meneruskan kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak dan peningkatan jenayah dalam Negara.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Mulk :
تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١﴾ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ﴿٢﴾
Maksudnya : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Rakyat Malaysia melangkah masuk tahun 2016 dengan keadaan ekonomi yang agak penat di mana angka hutang Negara kini mencecah RM692 bilion ketika nilai ringgit terus menurun. Malah hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion bakal menyaksikan banyak aset Negara termasuk tanah tergadai kepada Negara asing terutama China. Ketirisan dana awam akibat rasuah, pecah amanah mencecah RM28 bilion begitu membimbangkan. Ketika pemimpin berbangga dengan hasil GST sebanyak RM39 bilion dengan memeras harta rakyat terutama golongan miskin yang mencecah 40 peratus daripada 30 juta orang rakyat Malaysia maka satu demi satu subsidi rakyat ditarik termasuk subsidi padi RM65 juta, subsidi minyak masak RM950 juta, subsidi beberapa jenis beras, pelupusan bil elektrik RM150 juta bagi pengguna yang mengguna kurang daripada RM20 sebulan. Kini rakyat bimbang jika subsidi gas turut ditarik atas asalan berlakunya ketirisan sebanyak RM800 juta akibat seludup ke Negara jiran. Ketika tol akan naik maka bebanan dalam menghantar anak-anak ke sekolah dan Universiti bakal menjerut leher rakyat terutama dengan pengurangan peruntukan kepada Kementerian Pengajian Tinggi kepada RM1.378 bilion daripada RM2.4 bilion sebelum ini. Begitu juga harapan rakyat miskin yang begitu memerlukan bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWPM) kini makin kabur akibat dikurangkan peruntukan sehingga 95 peratus daripada RM200 juta kepada hanya RM10 juta. Itu belum lagi menyentuh berkenaan pengangguran yang hampir mencecah setengah juta pada 2015. Jika tekanan ekonomi yang begitu dahsyat ini tidak diselesaikan segera maka jumlah kaunter agih zakat mesti diperbanyakkan lagi pada masa akan datang
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 41 surah alr-Ruum :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)
Kita masih berada pada bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w maka antara sifat nabi ialah sifat amanah yang merupakan penentu kepada kesejahteraan sesuatu ummah dan kemakmuran sesebuah negara. Sebaliknya, sifat berlawanannya pula boleh mencetuskan kerosakan dalaman yang melemahkan sesuatu pemerintahan sehingga memudahkan kerja-kerja musuh dari luar. Kebesaran Islam dan Nabi Muhammad SAW seharusnya dihayati, difahami dan diamalkan dalam konteks sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya sebagai pemimpin di unit atau bahagian dalam organisasi. Nabi Muhammad SAW juga ialah contoh pemimpin unggul yang telah berjaya membina tamadun agung, memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir di alam yang fana ini tetapi memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung di alam akhirat. Baginda menunjuk garis panduan berguna dalam mengawal urusan dunia berdasarkan agama agar tidak berlaku kerosakan dan kezaliman
Peringkat nasional, kita tidak mahu akibat mahu keuntungan maka nyawa rakyat menjadi taruhan seperti isu projek bauksit di Kuantan, Pahang yang kini dibekukan buat sementara setelah berlaku suatu mengancam nyawa sedangkan bantahan sebelum ini tidak dihiraukan
Begitu juga peringkat antarabangsa terutama krisis antara Arab Saudi-Iran atas alasan mazhab walau pun ramai pemerhati menyatakan akibat mahu mencari pengaruh poltik dan ekonomi antara kedua Negara terbabit di mana krisis ini akan menjadikan rakyat tidak berdosa menjadi mangsa terutama bila berlakunya campur tangan pihak ketiga daripada musuh Islam terutama zionis Yahudi yang memperkudakan Amerika Syarikat dan juga Russia. Krisis ini jika gagal ditangani dengan cara yang baik akan menambahkan lagi penderitaan umat Islam setelah hancur di Iraq, Afghanistan, Syria, Yaman. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ