Ahad, 15 Mac 2015

Cabaran DiTangani Kejayaaan Umat DiRaih Kembali

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah ar-Ruum: وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾ Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.(21) Tiap kali datangnya musim cuti sekolah maka ia biasanya dipenuhi dengan majlis perkahwinan dipelbagai tempat dengan pelbagai cara sambutannya. Islam mensyariatkan perkahwinan dengan syarat dan rukun yang khas kerana ia suatu yang penting dan bukan main-main dalam mengatur cara hidup manusia supaya lebih tersusun. Antara hikmat perkahwinan ialah : [1] Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar. [2] Memberi suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT. [3] Memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita. [4] Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT dalam mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT. [5] Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. [6] Perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia [7] Perkahwinan itu satu perkongsian di mana dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian maka kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya. [8] Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama. [9] Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya. [10] Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 14-17 surah al-A’araf: قَالَ أَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿١٤﴾ قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ ﴿١٥﴾ قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿١٦﴾ ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ ﴿١٧﴾ Maksudnya : Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. Perkahwinan itu sendiri bila dilaksana mengikut lunas syarak pasti akan membantu umat Islam dalam menghadapi cabaran masa kini. Dalam buku ‘Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini’ karangan Abdullah Naseh Ulwan menggariskan 5 cabaran yang dihadapi oleh umat Islam samada berbentuk musuh dalaman mahu pun luaran dalam menjauhkan kita daripada menjadi hamba Allah yang Berjaya di dunia dan akhirat iaitu : [1] Cabaran syaitan dan hawa nafsu. [2] Cabaran serangan pemikiran. [3] Cabaran keruntuhan akhlak. [4] Cabaran kerajaan sekular. [5] Cabaran sikap berputus asa daripada melakukan kerja-kerja Islam Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Dalam menghadapi cabaran pertama iaitu syaitan dan hawa nafsu maka wajib kita mengikuti 6 langkah yang telah ditunjuk oleh al-Quran iaitu : [1] Jadikan Syaitan musuh kita Surah Fatir ayat 6 : إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ ﴿٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (6) [2] Istiqamah dengan jalan yang lurus. Firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 153 وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣﴾ Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [3] Memohon perlindungan Allah. Firman Allah dalam Surah an-Nahlu ayat 98-99 فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ﴿٩٨﴾ إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٩٩﴾ Maksudnya : Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. (98)Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. [4] Sentiasa ingat kepada Allah. Firman Allah dalam Surah az-Zukhruf ayat 36-37 وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ﴿٣٦﴾ وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ Maksudnya : Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [5] Muraqabah sebagaimana firman Allah dalam Surah al-A’araf ayat 201 إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ ﴿٢٠١﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). [6] Jauhi orang-orang yang lupa dan lalai. Firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 68 وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ ﴿٦٨﴾ Maksudnya : Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Manakala dalam menghadapi Cabaran serangan pemikiran dan keruntuhan akhlak maka kita mesti sedar dengan perancangan musuh Islam yang bergerak siang dan malam dalam menghancurkan kita. Antaranya dengan menjauhkan hubungan kita dengan Allah dengan hanyut mengikut hawa nafsu sebagaimana kata seorang pemimpin Tertinggi Imprealis: “ Arak dan nyanyian merupakan 2 unsur yang mampu menghancurkan umat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.” Oleh itu kita dapat saksikan termasuk selepas banjir baru-baru ini begitu mudah untuk mencari sumbangan untuk mendapatkan al-Quran tetapi agak sukar untuk mendidik diri untuk membaca seterusnya memahami dan melaksanakan system al-Quran dalam kehidupan. Betapa mudah untuk kembali membaik pulih atau membina masjid baru namun untuk menyuburkan masjid pasti menemui jalan yang agak susah. Membina bangunan walau pun tinggi mencakar langit tidak serumit membina diri manusia yang berakhlak tinggi yang disenangi oleh makhluk di bumi dan di langit. Manusia lebih mudah difahamkan dengan duit dunia berbanding pahala akhirat. Oleh itu marilah kita sama-sama lahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang menjadikan dunia ini hanya sebagai alat atau jalan dalam meraih kebahagian yang kekal di akhirat. Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur : رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧﴾ Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Seterusnya dalam menghadapi Cabaran kerajaan sekular maka wajib memperkasakan ilmu Islam dalam setiap aspek kehidupan sehingga hasutan memisahkan antara kehidupan dunia daripada akhirat dapat dihakiskan. Contohnya tanpa ada perasaan dosa pahala dalam mengurus Negara menyebabkan hutang Negara semakin bertimbun serta sikap pecah amanah dan rasuah dijadikan budaya. Manakala sikap berputus asa daripada melakukan kerja-kerja Islam mesti diubati kerana musuh Islam sentiasa berusaha dalam membuang semangat jihad daripada diri umat Islam dengan pelbagai cara. Begitu juga tekanan terhadap gerakan Islam dan ahlinya sehingga ramai yang dihukum gantung seperti yang terbaru di Mesir bagi menyekat kebangkitan Islam. Oleh itu bangkitlah kita daripada terus dihina dan diinjak-injak oleh musuh dengan kembali kepada seluruh ajaran al-Quran. Yakinlah janji kemenangan daripada Allah bila kita memenuhi syarat kemenangan. Islamlah nescaya kita selamat dan Berjaya dunia dan akhirat. Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan : فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Selasa, 3 Mac 2015

Islam DiNobat Perancangan Jahat Musuh DiSekat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah : وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾ Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah antaranya mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Pada hari ini suasana itu telah hilang terutama dengan kehilangan sistem khilafah setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah Turki 1924 sehingga kesatuan umat Islam tidak mampu disatukan di bawah suatu pemerintahan. Umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu tiada tempat mengadu sehingga musuh Islam dengan mudah melakukan keganasan dan kekejaman terhadap umat Islam tanpa ada sekatan dan halangan. Malah bila berlakunya sesuatu musibah di negara umat Islam seperti banjir besar, tsunami, gempa bumi dan sebagainya maka bantuan daripada negara umat Islam sendiri begitu lambat dan tidak selaras dengan baik. Ini membuka peluang kepada orang lain untuk menjuarai hal kebajikan dan lebih membimbangkan ia datang bersama dakyah kepada agama atau ideologi yang bertentangan dengan Islam. Malah kita biasa dengar bagaimana di hospital seolah adanya petugas khusus daripada agama lain yang akan mendekati pesakit yang sedang nazak sedangkan pesakit Islam hanya bergantung pada ahli keluarga terdekat yang ada untuk mengajar kalimah syahadah. Bagaimana jika tiada ahli keluarga terdekat yang berada disampingnya maka siapakah yang akan mengambil tanggungjawab besar ini. Sama-samalah kita berfikir dan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana penghujung kehidupan merupakan saat yang paling berharga supaya dapat meraih husnul khatimah Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan : وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَـٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا ﴿٣٠﴾ Maksudnya : Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". Kesesatan dan kebatilan yang bergerak dengan organisasi yang tersusun mampu mengalahkan kebenaran yang bergerak dengan terabur. Kita sedar bagaimana Islam dan umatnya akan terus berdepan dengan pelbagai perancangan dan serangan daripada musuh Islam sehingga hari Qiamat. Antara 10 Rancangan Kuffar dalam menghancurkan Islam dan umatnya ialah : [1] Menjauhkan umat Islam daripada Al-Qur’an sehingga ramai di kalangan umat Islam sendiri buta al-Quran apatah lagi untuk memahami seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian. Sebab itu selepas banjir besar baru-baru ini agak mudah untuk kita mengagihkan naskhah al-Quran kepada mangsa banjir tetapi untuk kita duduk sama-sama membaca dan memahami al-Quran agak susah. Oleh itu kita wajib kembali kepada al-Quran sebagaimana zaman kegemilangan Islam iaitu merasai betapa pentingnya al-Quran kepada kehidupan kita, menjiwai setiap ayat al-Quran di mana sebarang berita gembira dan ancaman azab mesti dirasakan ditujukan kepada kita bukan ianya hanya dijadikan bahan bacaan semata-mata atau merasakan bahawa kisah dalam al-Quran adalah kisah dahulu kala tiada kaitan dengan kita seterusnya kita berlumba-lumba untuk melaksanakan system al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan. Kita wajib mengembalikan fungsi dan peranan al-Quran seperti yang dilaksanakan oleh generasi kemenangan sebelum ini. Mereka boleh berjaya kerana al-Quran dijunjung sedangkan umat kini meletaknya dipunggung, mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan sedangkan umat kini jadikan sebagai barang hiasan, mereka bersungguh mengkaji al-Quran sedangkan umat kini banyak mencari alasan untuk lari daripadanya Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 71 surah at-Taubah : وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّـهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Rancangan musuh Islam yang saling berkait rapat iaitu yang ke-[2] Lenyapkan sistem pemerintahan Islam di mana Lornis Brown berkata : “ Apabila orang Islam bersatu di bawah empayar Arab, maka ia boleh menjadi satu malapetaka dan bahaya kepada dunia. Adapun jika mereka kekal dalam perpecahan, maka ketika itu mereka tiada nilai dan tidak memberikan kesan kepada sesiapa. Umat Arab dan umat Islam mestilah terus berpecah belah supaya mereka terus kekal tanpa kekuatan dan autoriti.” Akhirnya penderitaan umat Islam tiada tempat untuk mengadu dan tiada suatu kuasa pemerintahan Islam yang mampu menyekat keganasan yang berlaku Rancangan ke-[3] Lenyapkan kesatuan kaum Muslimin di mana dengan dasar pecah perintah maka umat Islam saling memandang bahawa isu umat Islam di Negara lain adalah masalah Negara dan bangsa masing-masing tiada kaitan dengan diri mereka seperti penderitaan umat Islam di Palestin, Iraq, Syria, Myanmar dan sebagainya. Tiada lagi ruh persaudaraan Islam akibat rasukan semangat assobiyah atau kebangsaan sempit. Sedangkan kita sentiasa diajar tentang persaudaraan Islam yang melangkaui bangsa, Negara, budaya, bahasa قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى - رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit Rancangan musuh yang ke-[4] Lemahkan bangsa Arab di mana Morro Byger menulis dalam bukunya Dunia Arab Masa Kini: “ sesungguhnya ketakutan kita terhadap umat Arab dan perhatian kita terhadap mereka bukanlah lahir daripada kewujudan petrol yang banyak pada mereka. Bahkan kerana sebab Islam. Wajiblah memerangi Islam bagi menghalang kesatuan Arab yang soleh yang boleh membawa kepada kekuatan mereka, kerana kekuatan Arab akan sentiasa beriringan dengan kekuatan Islam, kemuliaannya dan perkembangannya.” Rancangan ke-[5] Dirikan negara diktator di dunia Islam di mana W.K Smith seorang orientalis Amerika yang mahir dalam hal ehwal Pakistan: “ apabila orang Islam diberikan kebebasan di dunia Islam serta hidup dibawah system demokrasi , maka sesungguhnya Islam akan mendapat kemenangan di Negara-negara tersebut. Hanya dengan cara diktator sahaja yang boleh memisahkan antara umat Islam dan agamanya.” Kita dapat lihat bagaimana kejatuhan satu demi satu pemerintahan kuku besi oleh rakyat seperti di Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya tetapi musuh Islam segera bertindak memastikan penggantinya mesti daripada boneka bagi memastikan sebarang usaha dalam mengembalikan pemerintahan Islam dapat dikuburkan. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Rancangan musuh yang ke-[6] Hancurkan akhlak Muslim, fikiran , hubungan mereka dengan Allah dan bebaskan mereka mengikut hawa nafsu sebagaimana kata seorang pemimpin Tertinggi Imprealis: “ Arak dan nyanyian merupakan 2 unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.” Malah Karl Marx pengasas ideology sosialis ketika ditanya tentang pengganti kepada aqidah ketuhanan, beliau menjawab: “ penggantinya ialah teater iaitu panggung drama dan filem, maka palingkan mereka yang sibuk dengan amalan kerohanian ke arah pementasan drama.” Rancangan musuh yang ke-[7] Ragukan kaum Muslimin terhadap agamanya di mana sejarah pernah mencatatkan bagaimana perisik Portugal telah melakukan risikan di Andalusia terutama berkaitan aktiviti dan kecenderungan pemudanya lalu bila didapati pemudanya lebih menumpu kepada ilmu maka rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Islam ditangguh sehinggalah pemuda hanyut dalam hiburan dan perkara yang tidak berfaedah yang mewujudkan generasi muda yang lemah. Berdasarkan keadaan itu perisik Portugal berasakan itulah masa yang tepat untuk menyerang Andalusia. Akhirnya, Andalus yang dikuasai pemerintahan Islam selama 800 tahun jatuh ke tangan Portugal dalam tempoh tiga bulan sahaja. Rancangan musuh yang ke-[8] Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas sehingga zina dianggap suatu perkara biasa. Kita terlalu bimbang dengan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas mulai tahun 2016 jika ia tidak berteraskan Islam. Kita tidak mahu mengulangi kegagalan sebagaimana suatu kajian yang dijalankan di United Kingdom yang mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks. Ingatlah amaran nabi s.a.w قال الرسول : لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا ، فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ - رواه أحمد بسندحسن Maksudnya: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya Rancangan musuh yang ke-[9] Pisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan biarkan mereka hancur dengan barangan Barat. Manakala Rancangan musuh yang ke-[10] Singkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya di mana telah ramai pemimpin gerakan Islam dipenjara dan parti Islam diharamkan seperti di Algeria, Mesir dan sebagainya. Oleh itu sama-samalah bangkit dalam melawan dan menguburkan perancangan jahat musuh Islam ini. Jangan biarkan kita terus menjadi hamba abdi kepada musuh Islam dalam setiap perkara samada melalui serangan fizikal mahu pun mental. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan : فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ