Jumaat, 18 Januari 2013
Sistem Islam DiNobat Ajaran Nabi Muhammad s.a.w DiMartabat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Rabiul Awwal menjelma lagi yang mengingatkan kita tentang kelahiran bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Siti Aminah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman bagi menghilangkan kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada keadilan Islam yang gah. Kejayaan umat Islam dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesungguhan mereka dalam mencontohi system yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Sebagai contohnya dalam bab makan minu di mana nabi Muhammad SAW memulakan makan dengan menyebut kalimah Basmallah, kemudian membaca doa makan dan makan menggunakan tangan kanan serta makan makanan yang berada berdekatan dengan baginda. Sebelum menjamah makanan, Rasulullah SAW makan secubit garam dan disudahi dengan menjilat jari serta mengucapkan Alhamdulillah. Baginda menggunakan tiga jari untuk makan iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah serta baginda mengunyah makanan sebanyak 40 kali sebelum menelannya. Baginda tidak bernafas ketika minum air iaitu bernafas di luar bekas minuman serta baginda minum air seteguk-seteguk dengan dimulakan dengan Bismillah. Menu harian Rasulullah SAW di pagi hari ialah segelas air dicampur sesudu madu dan selesai solat sunat dhuha, baginda SAW akan memakan tujuh biji kurma ‘ajwah. Sekiranya berpuasa, baginda akan berbuka dengan segelas susu dan kurma. Baginda menambahkan cuka dan minyak zaitun di dalam makanannya pada waktu petang. Bahkan, baginda melarang umatnya meneruskan makan sekiranya sudah kenyang kerana perut sepatutnya dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, air dan udara. Kejayaan kita dalam mengikut sunnah Nabi kerana Allah termasuk dalam makan minum akan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat disamping menjamin hidup sihat. Kegagalan mengikut cara makan nabi mengundang pelbagai penyakit dan bahaya apatah lagi terlibat dengan makanan yang haram dan syubhat. Betapa malangnya manusia yang makan apa sahaja ikut selera tapi mahu hidup sihat apatah lagi tidak menghiraukan halal dan haram tapi mahu masuk Syurga. Ibarat suatu kisah wali Allah, Syeikh Ibrahim bin Adham ketika beliau berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan bayaran kepadanya. Lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang perlu dibayar dengan amal ibadah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk menjauhkan umat Islam sendiri daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan disamping memomokkan kepada dunia dengan tuduhan liar tentang nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan dengan pelbagai kejahatan. Sebagai contohnya tindakan Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang membuka tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan sama sekali. Sebenarnya musuh Islam tidak mampu menutup sanjungan kepada nabi Muhammad s.a.w daripada tokoh mereka sendiri seperti tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonapart di mana walaupun dia bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya begitu kagum kepada manusia agung ini. Saya kagum kerana keagungan akal dan hati nabi Muhammad s.a.w.” Begitu juga pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Tuhan.” Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun. Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi Muhammad s.a.w di puncak tinta kajian mereka. Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama nabi Muhammad s.a.w pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi. Malah Universiti Harvard di Cambridge sebagai institusi pengajian tinggi paling tua di Amerika Syarikat meletakkan ayat al-Quran di pintu masuk ke fakulti undang-undangnya iaitu terjemahan ayat 135 Surah An-Nisa :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah ar-Ruum :
الم ﴿١﴾ غُلِبَتِ الرُّومُ ﴿٢﴾ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ ﴿٣﴾ فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّـهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٤﴾ بِنَصْرِ اللَّـهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani
Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah kemenangan silih berganti antara Rom Kristian dan Parsi Majusi yang benar-benar dilihat berlaku oleh para sahabat. Malah semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 Masihi dengan kejatuhan kota Istanbul.
Kita pada hari ini sudah tidak dapat melihat mukjizat seperti pembelahan bulan, air yang keluar dari celah jari nabi yang mulia, pokok tamar yang berjalan bila diseru oleh nabi dan banyak lagi mukjizat yang lain namun mukjizat yang paling besar dan berkekalan terus ada pada tangan kita umat akhir zaman iaitu al-Quran yang mulia disamping hadis nabi. Umat Islam dahulu berjaya merajai dunia kerana berjaya melaksanakan perintah Allah dan rasulNya termasuk menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang mustahil untuk menghentikan kekejaman zionis yahudi dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa kerana ia telah dimaklumkan melalui lidah nabi Muhammad s.a.w. Begitu juga bagaimana kehancuran dunia akibat system riba serta kesalahan memberi tampuk pemerintahan kepada orang yang khianat telah dijelaskan oleh al-Quran dan hadis nabi. Tidak ketinggalan tentang tanda-tanda qiamat yang jelas berlaku satu demi satu pada zaman kita walau pun ia diberitahu oleh nabi lebih 1400 tahun lalu. Yakinlah bahawa kejayaan dan kegagalan kita bergantung kepada sejauh mana keyakinan dan kesungguhan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan. Jika Islam yang kita pilih maka kejayaan yang kita bakal raih. Jika jahiliah yang kita guna maka kehinaan yang kita bakal terima. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat. Islam DiJunjung nabi Muhammad s.a.w DiSanjung, Sistem Islam DiNobat Ajaran nabi DiMartabat, Nabi Dikasihi Sunnahnya DiHayati, Nama nabi disebut ajarannya diikut
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Jumaat, 11 Januari 2013
Islam DiJunjung Rasulullah s.a.w DiSanjung
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 34-35 surah al-Anbiya’:
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ ۖ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ ﴿٣٤﴾ كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai nabi Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?. Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan
Kini hampir 2 minggu kita berada pada tahun baru 2013 Masihi dengan sama-sama meninggalkan tahun 2012 dengan pelbagai cerita terutama berkaitan bencana alam yang silih berganti sehingga perbincangan berkenaan Qiamat begitu hangat dibincangkan. Para saintis begitu kalut membincangkan bencana alam seperti ribut salji di Negara-negara utara dunia, kepanasan melampau yang menimpa Negara-negara selatan dunia dan cuaca tidak menentu di Negara-negara tengah dunia sehingga keadaan sejuk tidak mampu ditanggung oleh manusia, kepanasan yang menggugat kehidupan serta memusnahkan harta dan mengancam nyawa. Malah Negara kita tidak terkecuali dengan banjir besar yang boleh dikatakan menimpa seluruh Negara, tanah runtuh, banjir lumpur malah ramalan ribut besar Sonamu begitu membimbangkan kita semua. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari Qiamat sepastinya meyakini bahawa segala apa yang berlaku merupakan antara tanda kekuasaan Allah di mana kedahsyatan Qiamat jauh lebih menggerunkan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam Surah ar-Ruum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Jika umat sebelum ini yang sempat hidup bersama dengan para nabi di mana ramai umat yang tetap mengengkari nabi-nabi mereka walau pun telah melihat dengan jelas mukjizat di depan mata sehingga mereka akhirnya dihancurkan oleh Allah samada dengan rebut taufan, banjir besar, pekikan guruh, ditukar kepada rupa binatang, ditelan bumi dan sebagainya. Kita walau pun tidak sempat hidup bersama dengan nabi Muhammad s.a.w namun di tangan kita adanya mukjizat yang berkekalan iaitu al-Quran di mana jika kita benar-benar beriman dan melaksana segala suruhan Allah disamping meninggalkan segala laranganNya sebagaimana terkandung dalam al-Quran dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka kita akan selamat dunia dan akhirat. Sebaliknya rasa was-was dan keengganan dalam mengikut isi kandungan al-Quran sepastinya menempah kecelakaan di dunia ditambah lagi dengan seksaan yang dahsyat di akhirat nanti.
Ulama’ menggariskan 3 perkara besar mengapa Allah cetuskan musibah bencana alam di muka ini. [1] Bencana yang berlaku itu adalah bentuk hukuman kepada manusia yang kufur kepada Allah. Allah menghukum umat Islam dan bukan Islam yang engkar kepada arahan dan perintah Allah, yang selama ini bergelumang dalam kancah maksiat, bertindak derhaka terhadap ajaran Allah, melawan agama Allah dan menafikan hukum-hukum al-Quran. Manusia dalam golongan itu ada kalanya berani bertindak mengubah kehendak agama mengikut selera nafsu sendiri sehingga terpesong jauh dari bentuk keaslian Islam yang sebenar. Lalu mereka mengundang kemurkaan Allah dan jelas di dunia lagi mereka sudah pun mendapat laknat Allah. Belum lagi bagaimana nasib di akhirat kelak. [2] Musibah yang berlaku di dunia ini adalah satu peringatan buat yang selamat atau masih hidup. Sama ada mereka terbabit sama ataupun mereka yang hanya sebagai ‘penonton’ kepada paparan bencana yang terjadi dengan tidak mengambil pengajaran apatah lagi untuik bertaubat dan berubah kepada yang lebih baik. [3] Berlakunya bencana untuk menunjukkan kepada kita Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya. Pesanan Ibnu Athaillah Askandary bahawa hikmah Allah turunkan cubaan ke atas hamba-Nya supaya mengingatkan manusia kepada Allah. Jika tidak disentuh kelalaian manusia, mereka akan terus melupakan Allah, lupa untuk menunaikan hak Allah dan hak makhluk Allah. Juga cubaan Allah itu dapat melemahkan nafsu dan seterusnya mengelakkan manusia daripada melakukan perkara yang Allah murkai. Justeru, segala rentetan bencana yang menimpa bumi sejak sekian lama wajarlah menjadi peringatan supaya kita tidak ‘derhaka’ terhadap Allah dan agamaNya. Ujian terhadap umat beriman juga sebagai proses bagi mempertingkat lagi tahap keimanan seseorang hamba ke tahap yang lebih tinggi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 63 surah al-‘Ankabut:
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّـهُ ۚ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّـهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai nabi Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai nabi Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik)
Ketika mengulas tentang isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible berbahasa Melayu maka sepatutnya ia diselesaikan secara baik demi maslahat agama bukannya dijadikan isu untuk kepentingan pangkat. Sebagai contohnya pihak yang ditonjol sebagai jaguh dalam mempertahankan kalimah Allah di kaca tv dan dada akhbar sepatutnya mengambil kira tentang tindakan yang telah diambil oleh keputusan mesyuarat kabinet Pusat yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2 April 2011 tentang kebenaran untuk membawa masuk Bible dari Indonesia yang sememangnya ada kalimah Allah. Begitu juga kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Januari 2010 yang mengumumkan bahawa kalimah Allah boleh digunakan di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak kerana ketua negeri bukan Sultan. Begitu juga keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang menyatakan kalimah Allah bukan eklusif untuk umat Islam sahaja. Sebagaimana kita maklum bahawa bidang kuasa mahkamah sivil dalam negara kita jauh lebih tinggi daripada mahkamah Syariah. Oleh itu isu ini tidak menguntungkan Islam jika hanya bercakap kosong sedangkan apa yang telah berlaku adalah sebaliknya. Umat yang beriman sewajibnya mempertahankan bukan sahaja kalimah Allah malah seluruh sistem Islam daripada dihina dan dipermainkan. Sehubungan dengan ini kita jangan terjerat dengan mainan politik murahan golongan yang ingin menjaja bahawa mereka adalah umat yang sayang kalimah Allah sedangkan mempertikaikan sistem Islam yang menyeluruh. Golongan yang hanya bimbang orang Islam akan murtad sedangkan bukan sahaja hukuman murtad tidak digubalkan berlandaskan syariat Islam malah umat Islam dibiarkan hanyut dengan hiburan melalaikan dan buta agama. Jangan tertipu dengan manusia yang mendakwa mereka sayangkan Islam sedangkan banyak perkataan dan perbuatan mereka mengkhianat terhadap sistem Islam. Ibarat kata Ibnu Umar r.a bagaimana aku mahu melayan manusia yang datang jauh dari Iraq untuk bertanya tentang hukum darah nyamuk sedangkan mereka tidak meghiraukan hukum dosa yang begitu besar dalam menumpah darah cucu nabi iaitu Sayyidina Husin di Karbala
Oleh itu kerajaan sewajibnya menjadikan pengajian agama sebagai asas dalam menyelematkan aqidah dan akhlak. Lihatlah negara Britain sebagi contoh di mana mulai 6 Julai 1994 telah mewajibkan semua pelajar sekolah berumur 5 hingga 16 tahun untuk mengambil mata pelajaran agama sehingga berjaya menyekat keruntuhan moral berbanding Amerika Syarikat. Gunakanlah tv dan radio semaksima yang mungkin terutama pada waktu perdana dalam menayangkan rancangan yang mendidik kerana pada hari ini ramai anak-anak menjadikan tv dan radio sebagai guru utama. Hentikan rancangan yang merosak aqidah dan akhlak rakyat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 6 surah Luqman:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Maksudnya: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, dalam Masjid yang mulia maka mimbar Jumaat pada hari ini menyeru kepada seluruh umat Islam yang cintakan nabi Muhammad s.a.w untuk mengutuk dan mengecan tindakan biadap sekali lagi Majalah mingguan Prancis, Charlie Hebdo yang membuka tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan sama sekali. Kita menyeru kepada pemimpin Negara umat Islam supaya mendesak agar kerajaan Perancis untuk memusnahkan komik ini serta mengambil tindakan sewajar terhadap penerbitnya. Kita sebagai umat yang bermaruah tidak akan membenarkan sama sekali nabi kita dihina, kita tidak akan membiarkan nabi kita dicerca, kita tidak rela nabi dipersenda. Biar nyawa melayang asalkan nabi dipertahankan, biar darah tumpah ke bumi asalkan nabi disanjung tinggi, biar bercerai nyawa dari badan asalkan nabi terus dijulang
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ