أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 28 Oktober 2011

Zulhijjah DiHayati Kemenangan DiRai

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fajr : وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil; Kita baru sahaja menyambut ketibaan awal bulan Zulhijjah yang mempunyai keistimewaan yang mesti sama-sama kita rebut dalam menambahkan lagi bekalan akhirat disamping memohon keampunan atas dosa-dosa kita terhadap Allah. Jadilah kita sebagai hamba Allah yang sentiasa bersyukur di mana jangan kita hanya memandang remeh terhadap rezeki walau pun sedikit sebaliknya kita wajib sentiasa sedar tentang siapakah yang memberi rezeki tersebut yang wajib kita perbesarkanNya iaitu Allah yang Maha Agong. Kita juga jangan menjadi manusia derhaka dengan memandang dosa kecil itu sebagai perkara biasa sebaliknya fikirlah bersungguh-sungguh bagaimana kita telah menderhaka kepada Allah yang begitu dahsyat seksaanNya. Sempena berada pada hari-hari yang mulia ini marilah kita sama merebut kelebihan yang dijanjikan oleh Allah sebagaimana yang disebut oleh Allah pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari (ayyam) ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).” Jelas menerusi hadis ini amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqolani: “Jika seseorang melakukan hal seperti itu iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta, maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada 10 hari pertama pada Zulhijjah.” Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Ketibaan awal bulan Zulhijjah ini hendaklah diguna sebaik mungkin oleh setiap umat Islam dalam memperbanyakkan solat-solat sunat, terutama solat tahajud, berzikir, berdoa, membaca al-Quran, banyakkan istighfar serta taubat, melaksanakan ibadat korban dan mengerjakan ibadat haji bagi yang mampu. Kita yang mempunyai kemampuan hendaklah berusaha untuk berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ini bagi menghidupkan salah suatu daripada sunnah nabi Muhammad s.a.w. أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنْ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ - رواه النسائي في السنن Salah seorang isteri nabi berkata: Adalah Nabi SAW berpuasa pada sembilan hari pertama daripada bulan Zulhijjah dan Asyura’ (sepuluh Muharram) dan tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari Isnin yang awal dan 2 hari Khamis Kita juga jangan lepaskan peluang untuk merebut kelebihan puasa pada hari Arafah iaitu hari kesembilan daripada bulan Zulhijjah قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ " - رواه مسلم Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya Begitu juga amalan khusus yang ada pada bulan ini iaitu ibadat korban bagi yang berkemampuan maka ikutlah sunnah nabi dalam melaksanakannya قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلَا يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلَا يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا Maksudnya : apabila masuk bulan Zulhijjah dan sesiapa yang memiliki sembelihan korban untuk disembelih, maka maka janganlah sekali-kali dia memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (HR Muslim) Menurut Imam Nawawi rahimahullah: “Maksudnya daripada larangan tersebut ialah larangan memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting atau memotong rambut sama ada membotakkan dengan mencukur, memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini juga dilarang memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. Majoriti ulama dari mazhab Syafie, Maliki dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi sesiapa yang melanggarnya. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 132 surah al-Baqarah : وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ Maksudnya : Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam" Ketika menyambut kedatangan bulan Zulhijjah juga terutama bila menyoroti sejarah pembinaan Ka’abah dan juga ibadat korban maka kita sepastinya mengingati pengorbanan besar yang pernah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s sekeluarga. Tidak lupa untuk kita mencontohi cara dakwah terbaik nabi ibrahim a.s dalam berdepan dengan bapanya sendiri Azar pembuat berhala, masyarakat penyembalah berhala dan Namrud raja yang berkuasa. Pada hari ini kita masih tercari-cari bagaimana cara dakwah terbaik dalam memahamkan orang bukan Islam tentang Islam disamping mencegah daripada sebarang usaha dalam memurtadkan umat Islam. Umat Islam diibaratkan seperti kata syair : فَاِقدُ الشَّيْءِ لاَ يُعْطِي iaitu orang yang ketiadaan sesuatu tidak mampu memberi sesuatu kepada orang lain. Akibat ilmu yang cetek, aqidah yang rapuh, amal yang kurang menyebabkan umat Islam terdedah dengan masalah murtad. Apa yang lebih sedih akibat terjajah dengan fahaman sekulerisme yang memisah antara agama dan dunia, urusan dunia tiada bersangkut dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka menyebabkan ramai di kalangan umat Islam sendiri tidak menghargai nikmat iman dan Islam di mana ia dibiarkan rosak. Jika di Jepun terdapat syarikat untuk mendaftar siapa yang ingin membunuh diri dan kerajaan Jepun melarang bangunan tinggi daripada mempunyai cermin atau ruang yang boleh dibuka disamping landasan keretapi ditutup dibimbangi digunakan untuk membunuh diri. Negara kita juga jumlah bunuh diri semakin meningkat akibat jahil tentang matlamat hidup dan berasa bahawa dunia ini tiada kaitan lagi dengan akhirat. Ramai bimbang jika anaknya tidak dapat makan selepas kematian ibubapa sedangkan semakin ramai yang tidak bimbang apakah agama anak selepas kematian mereka Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran: وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi Kita masih terkial-kial mencari ubat mujarrab dalam menangani masalah zina, curi, rompak, bunuh dan pelbagai jenayah keji yang lain. Islam telah memberi ubat yang terbukti berkesan malah pernah dilaksanakan di alam Melayu ini. Akibat penjajahan pemikiran yang terus berlangsung menyebabkan umat Islam sendiri semakin jahil masih memusuhi sistem Islam itu sendiri. Sistem pendidikan negara hanya mementingkan keperluan dunia tanpa mengambil berat tentang akhirat. Malah sejarah membuktikan bagaimana pendidikan Islam di sekolah hanya sebagai melepas batuk ditangga supaya masyarakat tidak meragui tentang sistem pendidikan yang sebenarnya telah disekuleriskan. Matlamatnya kabur dan jauh daripada mencapai kehendak agama yang sebenar. Pengajian agama dipencilkan dan dianggap hanya sebagai pelengkap kepada jadual harian. Sepatutnya semakin banyak sekolah dan universiti maka semakin ramai yang celik agama dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan seharian. Apa yang berlaku adalah sebaliknya semakin ramai buta agama. Lebih menyedihkan lagi apabila tv, radio, akhbar, majalah bagaikan mengikut telunjuk yahudi dan Kristian dalam merosakkan lagi akhlak umat Islam. Ingatlah kita siapa kita, dari mana kita datang, ke mana bakal kita dikembalikan. Hidup kita bukan berakhir dengan kematian sebaliknya akan melalui 2 lagi alam iaitu alam kubur dan alam akhirat. Bersedia sebelum tiba, bertaubat sebelum terlambat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 7 Oktober 2011

Undang-undang Islam DiLaksana Kebahagiaan DiRasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah : وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami engkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin” Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan puasa antara matlamat daripada pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT dalam kehidupan disamping baik untuk kesihatan. Begitu juga hukum hudud seperti kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh. Terdapat 6 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu [1] memelihara agama atau aqidah, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara maruah [5] memelihara akal dan [6] memelihara harta Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 48 surah an-Nisa’ : إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat. Aqidah atau pegangan seseorang akan rosak melalui 3 cara iaitu [1] Iktiqad (kepercayan) antaranya dengan meayakini sesuatu perkara yang membatalkan iman, syak pada perkara yang yang wajib beriman dengannya dan syak pada perkara yang dinyatakan oleh agama secara qati’e (putus). [2] Perkataan antaranya mendustakan Allah dan Rasul dan perkara yang wajib beriman dengannya, memaki Allah dan Rasul, engkar perkara yang nyata wajib dengan dalil qati’e (putus), menghalal perkara yang nyata haram atau mengharam perkara yang nyata halal dengan dalil qati’e (putus), mempersenda dan membuat olok-olok dengan agama dan berkata dengan suatu yang menjadikan syirik atau kufur. [3] Perbuatan antanya jangan memperbuat suatu yang menjadikan syirik atau kufur, Jangan memperbuat suatu yang menyerupai syirik atau kufur Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Isra’ : وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan semakin serius termasuk jenayah membunuh diri di mana statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap orang bunuh diri sendiri seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim) Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 2 surah an-Nuur: الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. Islam begitu mementingkan penjagaan terhadap zuriat keturunan dengan mewajibkan kita menutup semua pintu zina termasuk pergaulan bebas, cara berpakaian dan sebagainya. Kita begitu bimbang bila jenayah membuang bayi kembali menghantui masyarakat. Begitu juga hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama dengan jenayah yang dahsyat ini. Sayyidina Umar Ibni Al-Khattab pernah berpesan, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Kata syair : Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Islam mewajibkan kita supaya menjaga maruah dengan akhlak mulia serta melarang menjatuhkan maruah orang lain termasuk tuduhan zina tanpa bukti dan sebagainya. Islam juga mewajibkan kita supaya menjaga akal daripada dirosakkan terutama dengan arak dan dadah serta perbuatan yang lain yang membawa kepada hilangnya akal. Begitu juga penjagaan syariat Islam terhadap harta supaya tidak dicerobohi sesuka hati termasuk mengambil tindakan yang tegas terhadap kesalahan mencuri dan merompak. Bila kita renungi dengan fikiran yang waras dan matang maka akan menambahkan lagi keyakinan kita terhadap kehebatan Allah dan keadilan sistem Islam di mana semuanya untuk kebaikan dan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat bukannya sebagai penyekat kebebasan dan penindasan yang menzalimi manusia. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat. Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah: وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ