Jumaat, 10 Julai 2009

83. HINDARI CIRI MASJID DHIRAR

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 107dan 108 surah al-Taubah :
والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكــذبون . لاتقم فيه أبدا لمسجد أسس على التقوى من أول يوم أحق أن تقوم فيه فيه رجال يحبون أن يتطهروا والله يحب المطهرين
Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) kekufuran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), lebih patut engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan ( mensucikan ) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)
Kita kini telah berada dalam bulan Rejab yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam terutama yang paling masyhur ialah pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj. Tidak ketinggalan juga untuk umat Islam mengingati suatu lagi peristiwa yang amat penting ialah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H di mana Rasulullah s.a.w telah berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera bagi mengajar kebiadapan dan kezaliman kerajaan Rom yang telah membunuh Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom setelah mengetahui bahawa beliau telah memeluk Islam dan menjalankan kerja dakwah Islam di kawasan tersebut. Sepanjang peperangan ini tidak berlakunya pertempuran yang sengit kerana musuh berundur diri di mana Rasulullah s.a.w melarang tentera Islam daripada mengejar mereka kerana bimbang akan terjatuh dalam perangkap musuh yang kemungkinan besar akan datang menyerang secara mengejut dan juga disebabkan peluang memang mudah yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk menghantar wakil ke kawasan berhampiran bagi menyebarkan dakwah Islam. Islam bukan berperang untuk membalas dendam sebaliknya apabila keadaan memaksa seperti berlakunya penindasan terhadap umat Islam atau mempertahankan diri apabila musuh mahu menyerang serta bertujuan mengembangkan dakwah di mana orang bukan Islam Islam hanya perlu bersetuju untuk tunduk kepada sistem Islam sehingga mereka layak untuk mendapat hak keamanan sebagai rakyat bukannya memaksa mereka agar memeluk Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan yang dibenarkan oleh Islam begitu berbeza jauh dengan penjajahan terutama yang baru dilakukan oleh kuasa besar kuffar yang diketuai oleh Amerika yang berusaha meranapkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya terutama negara umat Islam. Amerika yang baru sahaja memperingati tahun kedua serangan 11 September di mana dalam masa yang sama telah 2 buah negara negara umat Islam baru dijajah iaitu Afghanistan dan Iraq disamping musuh bersiap sedia untuk meluaskan penjajahan ke atas Iran dengan alasan yang sama semasa menyerang Iraq iaitu berusaha membangunkan nuklear dan senjata merbahaya. Tidak ketinggalan di mana umat Islam di Palestin juga semakin tertekan terutama apabila Iraq mula dijajah sehingga hampir setiap hari adanya umat Islam yang terbunuh dan cedera serta rumah mereka ranap dimusnahkan oleh rejim yahudi. Negara arab sekelilingnya hanya melihat saudara seagama ditindas tanpa ada suatu tindakan yang sewajarnya kerana kebanyakan pemimpin negara umat Islam sanggup menjadi hamba kepada yahudi dan Amerika. Perasaan takut kepada mati dan terlalu cintakan dunia telah menyebabkan bumi Isra’ Mikraj iaitu Baitul Maqdis hampir ditawan sepenuhnya. Umat Islam di Palestin terpaksa berhadapan dengan musuh yang lengkap bersenjata sedangkan mereka tiada apa-apa kelengkapan yang spatutnya sehingga banyak serangan berani mati terpaksa dilakukan. Kita perlu faham bahawa seluruh rakyat yahudi Israel ialah rakyat yang sedia terlatih dengan latihan ketenteraan dan peperangan yang menyebabkan mereka termasuk dalam hukum kafir harbi yang menjajah bumi umat Islam dan boleh diperangi bila-bila masa sahaja. Ingatlah kita bahawa umat Islam bukan tidak pernah berdamai dengan yahudi malah perjanjian damai yang terbaru dilanggar oleh yahudi terlebih dahulu sebelum gerakan Islam bertindak menarik balik gencatan senjata dan menyerang balas yang menyebabkan bumi Isra’ hari ini begitu kacau bilau. Yahudi bagaikan benci pada perdamaian sebaliknya hanya menunggu saat yang dijanjikan oleh Allah iaitu yahudi bakal dikumpulkan di suatu tempat untuk dihancurkan oleh umat Islam yang benar-benar memperjuangkan kesucian agama Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Selepas selesai dalam misi peperangan di Tabuk maka Rasulullah s.a.w telah dijemput oleh golongan munafik untuk merasmikan sebuah masjid yang di bina oleh mereka yang digelar oleh Allah sebagai masjid Dhirar. Masjid ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat 107 surah at-Taubah yang telah dibaca pada awal khutbah tadi mempunyai 4 ciri buruk yang membezakannya daripada masjid yang dibina atas asas taqwa seperti Masjid Quba’. Ciri pertama yang ada pada masjid Dhirar ialah mendatangkan kemudharatan terhadap ummah, kedua untuk mengkufurkan kaum muslimin, ketiga untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam dan keempat ia menjadi pusat intipan untuk memerangi Allah dan rasulNya.
Cuba kita bayangkan bagaimana jahatnya golongan munafik di mana sanggup mempergunakan masjid untuk kepentingan mereka bukannya untuk memperkasakan lagi kekuatan umat Islam dalam mengembangkan dakwahnya yang suci melalui masjid sebagaimana sepatutnya. Jika masjid yang dibina bukan atas taqwa serta mendatangkan keburukan kepada umat Islam telah diarahkan agar diruntuhkan oleh Allah lalu dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w apatah lagi tempat yang lain yang dibina untuk menghancurkan kekuatan umat Islam serta menjadi tempat untuk melakukan maksiat kepada Allah seperti kelab malam, pusat judi, kedai arak maka ia lebih utama untuk diruntuhkan. Cuma cara meruntuhkan tempat sarang maksiat ini mengikut kebijaksanaan pemerintah samada meruntuhkan bangunan atau melalui tindakan undang-undang dan perlesenan yang ketat. Tempat maksiat yang melawan arahan dan larangan Allah ini tidak boleh dibiarkan merebak kerana ia akan merosakkan masyarakat seterusnya menggugat kestabilan negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Amat malang apabila masjid hari ini begitu dikawal ketat lebih daripada pusat maksiat sehingga ia banyak memberi kesan kepada pembinaan insan itu sendiri. Ada juga masjid yang hanya terkenal sebagai tempat pelancongan untuk dilihat kecantikan seni binanya sedangkan pengisian untuk menghidupkannya begitu terhad. Malah ada yang bertindak lebih rakus dengan meletakkan kamera dan alat perakam untuk mengintip majlis yang ada dalam masjid sehingga ia dianggap bagaikan sarang yang melahirkan pengganas sedangkan pusat maksiat yang lain dibiarkan bebas dan tidak dikawal begitu ketat. Kita ingat kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud : Akan datang suatu zaman di mana tidak tersisa daripada Islam kecuali tinggal namanya sahaja. Tidak tersisa daripada al-Quran kecuali tulisannya. Masjid-masjid mereka megah dan cantik tetapi jauh daripada petunjuk Allah…..
Oleh itu kita janganlah menjadikan masjid berperanan sebagaimana masjid Dhirar malah kita hendaklah menghidupkannya dengan majlis ilmu dan program yang dapat menyemarakkan lagi kehebatan Islam dan umatnya. Jangan liar dan jauh daripada masjid sehingga kita dijauhkan daripada mendapat rahmat daripada Allah. Jadikan masjid sebagai pusat yang membangkitkan lagi semangat persaudaraan dan semangat jihad dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam.
Firman Allah dalam ayat 109 dan 110 surah al-Taubah:
أفمن أسس بنيــنه على تقوى من الله ورضون خير أم من أسس بنيــنه على شفا جرف هار فانهار به فى نار جهنم والله لايهدى القوم الظــلمين . لايزال بنيــنهم الذي بنوا ريبة فى قلوبهم إلا أن تقطع قلوبهم والله عليم حكيم
Maksudnya : Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersamanya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka kecuali bila hati mereka telah hancur. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 8 Julai 2009

114. IKTIBAR PEPERANGAN TABUK

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 38surah at-Taubah :
يــأيهاالذين ءامنوا مالكم إذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم إلى الأرض أرضيتم بالحــيوة الدنيا من الآخرة فما متــع الحــيوة الدنيا فى الآخرة إلا قليل
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu : “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.
Kita sekarang berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga satu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma'an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Tetapi malangnya apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini di mana sudah tidak dihormati lagi sehingga musuh boleh membunuh, membakar, menembak, mengebom umat Islam sesuka hati di tanahair mereka sendiri. Penderitaan ini ditambah lagi dengan penyeksaan yang dilakukan oleh pemimpin negara umat Islam sendiri yang terus menindas rakyat demi kepentingan peribadi. Pemimpin negara umat Islam lebih suka melobi dan melutut di hadapan pengganas kuffar sedangkan pengganas kuffar terus bersandiwara dan mempermainkan mereka seperti tindakan Amerika Syarikat sesuka hati menutup kedutaannya di Kuala Lumpur dan Jakarta pada 11 September lalu atas alasan bimbang dengan serangan pengganas dan juga kegagalan 150 pelajar Malaysia yang pulang bercuti untuk masuk semula ke Amerika kerana tidak diberi visa. Jika pengganas Amerika menghormati pemimpin negara ini maka mereka tidak akan berbuat demikian sesuka hati. Dulu musuh tunduk kepada kemuliaan Islam dan umatnya tetapi kini akibat umat Islam meninggalkan Islam maka musuh menjadikan umat Islam sebagai bahan mainan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak kesulitan yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu. Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Inilah antara contoh pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam memastikan Islam bukan sahaja dapat dipertahankan malah akan terus tersebar luas ke seluruh alam. Pengorbanan yang telah ditunjukkan ini sepatutnya dapat menyedarkan umat Islam hari ini yang hanya tahu bertanya bilakah penderitaan umat Islam akan berakhir dan bilakah janji kemenangan oleh Allah akan hadir sedangkan diri umat Islam sendiri terus dihanyutkan oleh kesenangan dunia yang menyaluti diri serta dijangkiti pula dengan penyakit takut mati. Selagi umat Islam terus kaku memerhati penderitaan saudara seagama yang lain dan telah merasa cukup dengan pengorabanan yang tidak seberapa dalam memastikan kemenangan Islam maka jawapan kepada kemenangan yang dijanjikan Allah masih jauh malah penderitaan yang sedang dan akan dihadapi oleh umat Islam akan bertukar silih berganti. Oleh itu ikutilah jejak langkah nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas mereka yang bersedia sepanjang masa dalam mengorbankan seluruh kemampuan yang ada demi Islam bukannya mengorbankan kemuliaan Islam demi kepentingan diri. Jika kita sedar tentang tanggungjawab kita sebagai pejuang Islam yang dibebankan dengan amanah yang banyak dan berat maka kita tidak lagi mempunyai masa untuk ketawa dan kita juga sedar bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada. Kita sudah tidak punyai masa lagi untuk melengahkan kerja kerana di hadapan kita ada dua jawapan samada berkorban sehingga beroleh kejayaan atau terkorban dengan beroleh mati syahid yang diidamkan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Perjuangan Islam terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, cabaran, halangan, dugaan, tentangan dan rintangan. Begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sebelum keluar ke Tabuk di mana baginda terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani Amru bin Auf. Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W.
Manakala golongan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Jika kita perhatikan kepada golongan yang telah menyusahkan nabi ini maka golongan yang sama terpaksa kita hadapi pada hari ini dalam berdepan dengan musuh. Umat Islam yang cintakan Islam terpaksa berhadapan dengan pemimpin mereka sendiri yang lebih cintakan dunia daripada Islam sehingga ramai yang terbunuh dan menderita terpenjara serta tertekan akibat dikenakan pelbagai sekatan daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran. Kita juga terpaksa berhadapan dengan saudara seagama yang tidak mahu berkorban untuk Islam tetapi lebih banyak bertanya apakah yang mampu Islam berikan untuk kesenangan mereka. Tidak terlepas juga di mana kita terpaksa berhadapan dengan golongan munafik yang merosakkan Islam dan kesatuan umat Islam. Setelah cabaran dan ujian daripada ketiga-tiga golongan ini berjaya dilalui maka kita mampu berdepan dengan pengganas kuffar dengan lebih mudah dan senang. Sebab itulah kuffar terus menaja dan menjaga kepentingan ketiga-tiga golongan yang lahir dalam kelompok umat Islam ini agar pejuang Islam tidak terus berdepan dengan kuffar sebaliknya terpaksa melawan halangan daripada kalangan umat Islam terlebih dahulu.
Kita ingatkan kepada kuffar bahawa dunia Islam bukan selama-lamanya suram sebaliknya ia akan kembali terang. Kami tidak akan izinkan lagi saudara kami dibunuh di Palestin, Afghanistan, India, Kashmir, Selatan Filiphina, Iraq dan lainnya. Walau pun sudah ramai mujahidin yang telah gugur syahid namun pertempuran ini akan terus berlangsung selagi kuffar merajai dunia dengan kesesatan dan keganasan. Islam akan terus melahirkan mujahidin termasuk yang masih berada dalam perut muslimat-muslimat yang bakal dilahirkan untuk menyambut kemenangan Islam. Biar darah membasahi bumi tetapi Islam tetap dijulang tinggi. Biar nyawa terpisah dari badan namun kemuliaan Islam tetap dipertahankan. Semoga kemenangan yang pernah dicapai oleh nabi dan tentera Islam dalam peperangan Tabuk tanpa menumpahkan banyak darah kerana musuh berundur ketakutan maka begitulah juga kita semua sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kesatuan umat Islam yang sama-sama kembali semula kepada seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
انفروا خفافا وثقالاوجــهدوا بأمولكم وأنفسكم فى سبيل الله ذلكم خيرلكم إن كنتم تعلمون
Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ahad, 5 Julai 2009

19. ISLAM MEMULIAKAN WANITA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 124 surah an-Nur :
ومن يعمل من الصلحت من ذكر أو أنثى وهو مؤمن فأولئك يدخلون الجنة ولايظلمون نقيرا
Maksudnya : Sesiapa yang mengerjakan amal-amal soleh samada lelaki mahu pun wanita sedangkan dia beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiayai walau sedikit pun.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Isu wanita yang memakai pakaian yang menjolok mata dan seksi dikatakan menjadi penyebab kepada masalah zina yang berleluasa dan juga perkosaan terhadap wanita hangat diperkatakan pada minggu ini. Sebenarnya pandangan Menteri Besar Kelantan ini adalah sambungan kepada perkara yang pernah disentuh oleh beliau sebelum ini mengenai kehormatan dan hak wanita seperti larangan wanita bekerja pada waktu malam, larangan bergincu terutama ketika berkerja dan beberapa kenyataan yang lain. Ramai di kalangan wanita terutama yang tidak memahami agama atau pun terpesong dengan fakta yang diputar belitkan oleh media massa telah membangkang kenyataan bahawa wanita seksi sebagai punca kepada masalah ini dengan mengatakan bahawa sebenarnya wanita adalah mangsa kepada penganiayaan yang dilakukan oleh kaum lelaki.
Sebenarnya dalam al-Quran telah jelas mengenai perkara ini di mana Allah telah menggariskan hukum yang terbaik untuk dilaksana dan ditunaikan oleh kaum wanita berhubung masalah pemakaian mereka agar sentiasa menutup aurat bagi mengelak perhatian orang lain. Dalam surah an-Nisa’ dan juga surah an-Nur yang juga dikenali sebagai surah an-Nisa’ as-Sughra terutamanya telah menyentuh secara jelas mengenai kewajipan lelaki dan perempuan dalam menjaga aurat dan pandangan mereka bagi mengelakkan berlakunya perkara maksiat. Sempena bulan Rejab yang mengingatkan kita semua bagaimana dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana ketika di bawa melawat neraka maka Rasulullah s.a.w telah melihat begitu ramai daripada penghuni neraka adalah kaum wanita di mana antara kesalahan mereka ialah mendedah aurat.
Sebenarnya dalam masalah menyalahkan wanita yang menjadi penyebab kepada berlakunya penganiayaan terhadap mereka pernah ditimbulkan di sebuah negara di Eropah beberapa tahun yang lalu di mana perempuan yang mengadu dirogol telah didapati bersalah kerana memakai pakaian seksi yang menyebabkan lelaki itu melakukan perkara jahat terhadapnya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Masalah penutupan aurat sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kepada mereka yang memahami agama tetapi ia merupakan suatu perkara yang kadang-kadang dipertikaikan di kalangan umat Islam sendiri terutama bagi mereka yang terpengaruh dengan penutupan aurat tidak boleh dipaksa di mana seseorang itu hanya boleh menutup aurat dengan kerelaan dirinya sendiri. Mereka juga terpengaruh dengan kenyataan sesat yang mengatakan bahawa perempuan yang bertudung belum tentu baik dan perempuan yang tidak bertudung tidak semestinya jahat malah ramai di kalangan mereka yang tidak bertudung lebih kuat imannya di dalam hati.
Perkara tidak menutup aurat ini semakin menjadi-jadi terutama melalui tindakan undang-undang seperti pernah berlaku di mana seorang muslimah telah dibuang kerja beberapa tahun sebelum ini kerana datang berkerja dengan memakai purdah. Ada syarikat terutama hotel-hotel tidak menerima pekerja yang bertudung atas alasan tudung merupakan sesuatu yang tidak melambangkan kemajuan. Mereka dengan berani menghina pakaian Islam tanpa ada tindakan sewajarnya oleh pihak bertanggungjawab.


Siang Jumaat yang dikasihi,
Kedatangan Islam telah mengembalikan semula wanita kepada kedudukan mereka yang baik dan dihormati setelah agama dan kefahaman yang lain telah meletakkan kaum wanita ditempat yang hina. Wanita dan para isteri masyarakat India tidak diberi hak untuk hidup di mana isteri akan turut dibakar hidup-hidup apabila suaminya meninggal dunia. Seorang isteri yang dibakar hidup bersama mayat suaminya ini dianggap sebagai perempuan yang setia. Menurut kaum Tionghoa pula perbuatan menanamkan orang perempuan hidup-hidup bersama mayat suaminya telah menjadi adat kebiasaan . Turut diriwayatkan bagaimana para isteri orang-orang besar bangsa Tionghoa zaman silam akan dipakaikan celana dari besi antara kedua pehanya hingga bawah pusat dan dikunci kukuh oleh suaminya sepanjang peninggalannya. Ini menyebabkan mereka merasa kesusahan dan kerumitan dalam pergerakan sepanjang peninggalan suami mereka. Bangsa arab jahiliah pula membunuh atau menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana bimbangkan keaiban dan kepapaan. Jika mereka membiarkan anak perempuan itu hidup sekali pun maka dia akan dikerahkan untuk membuat pekerjaan yang berat dan tidak sesuai untuknya. Paling tinggi anak perempuan itu dijadikan alat untuk memuaskan nafsu buas lelaki dan dipermadukan tanpa batasan. Perempuan yang telah ditinggalkan suami akan diasingkan di suatu tempat lain di mana dia mesti memakai pakaian yang seburuk-buruknya dan dilarang keras memakai bau-bauan selama setahun. Setelah cukup setahun maka akan dibawa kepada perempuan itu seekor kambing atau keldai yang bertujuan supaya dia menyentuhkan kemaluannya kepada binatang tersebut. Sesudah itu dia akan diberi pula kotoran unta yang kemudian akan dilemparkannya. Sesudah itu barulah dia boleh keluar dari rumahnya dan dibenarkan menjalankan aktiviti hidup sebagaimana biasa.
Mengikut agama Yahudi dan Kristian pula mereka menganggap bahawa wanita dianggap najis atau kotoran, sumber dosa dan kedurhakaan, pusat segala pelanggaran, asas kepada segala bentuk perbuatan curang, dasar pendustaan atau penipuan dan tidak boleh dipercayai. Wanita dianggap beracun dan berbahaya di mana mesti dimusnahkan daripada alam ini.Kaum wanita dilarang belajar ilmu pengetahuan apa lagi mengajar kaum lelaki. Begitu juga mengikut Yahudi bahawa kaum perempuan tidak boleh mewarisi pusaka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Islam telah menolak dan meghapuskan segala fahaman dan penindasan terhadap kaum wanita dengan meletakkan mereka ditempat yang sewajarnya sebagai pembantu kepada kaum lelaki. Wanita menurut Islam digalakkan untuk mendapatkan ilmu pengetahun, mewarisi harta pusaka, berkerja dengan kerja yang sesuai dengan sifat kewanitaan mereka disamping menjaga lunas-lunas yang telah digariskan oleh agama. Cuma laungan kebebasan wanita yang sering kedengaran terutama apabila tibanya hari wanita sedunia dan hari ibu tidak lain dan tidak bukan untuk mengembalikan wanita kepada kedudukan yang hina dan dipergunakan segala kecantikan mereka bagi mengaut keuntungan yang besar. Oleh itu jagalah keluarga kita semua daripada terjebak dengan perkara maksiat dan pastikan diri kita dan keluarga kita sentiasa menutup aurat.

Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim :
يأيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة عليها ملائكة غلاظ شداد لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sabtu, 4 Julai 2009

Islam DiMartabat Negara Berkat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi
Kita wajib mempertahankan usaha murni yang telah dimainkan oleh ulama’ pejuang kemerdekaan negara dan pakar perundangan Islam yang telah membolehkan kedudukan Islam di Malaysia hak dan kedudukan istimewa oleh perlembagaan dan dalam masa yang sama tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain. Kedudukan Islam di Malaysia adalah jauh berbeza dengan Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat yang menyebabkan di Indonesia wujudnya pelbagai agama dalam satu keluarga dan murtad bukan suatu kesalahan. Oleh itu kita wajib bersatu dalam memastikan sebarang usaha jahat samada secara terang atau halus dalam mempertikai atau menghapuskan keistimewaan yang diiktiraf oleh perlembagaan kepada Islam. Kita tidak mahu sebarang sikap acuh tidak acuh dan tidak mengambil berat tentang sebarang pindaan untuk melemahkan Islam dan kuasa Mahkamah Syariah akan menyebabkan Islam dan umat Islam akan menerima nasibi sebagaimana Pancasila Indonesia. Tiada sebarang tolak ansur dalam usaha untuk melemahkan kedudukan Islam dalam perlembagaan dan undang-undang. Berlembut bererti redha Islam dihina dan diletakkan setaraf dengan agama lain
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ ………(متفق عليه)
Maksudnya : Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi…….
Minggu ini umat Islam dihangatkan kembali dengan isu cubaan jahat untuk meminda undang-undang yang berkaitan penjagaan anak apabila salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam supaya mengikut telunjuk kabinet negara yang memutuskan pada 23 April yang lalu bahawa status anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain termasuk Islam. Kita menyokong penuh kenyataan Majlis Raja-raja Melayu yang meminta agar pindaan ini ditangguh terlebih dahulu malah kita berdoa agar ia dibatalkan terus daripada pindaan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah akan menghapuskan bidang kuasa Mahkamah Syariah sedangkan dalam kes menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu. “Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga. “Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,”
Dari segi agama memang jelas menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu atau bapa yang tidak Islam kerana penjagaan anak adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang tidak Islam ke atas orang beriman. Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki bukan Islam kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang bukan Islam. Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang bukan Islam sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti. Ketika orang bukan Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu dalam memastikan keputusan kabinet itu diguna pakai maka kita sebagai umat Islam yang bermaruah wajib bangun dalam mempertahankan aqidah umat Islam yang cuba digadaikan dengan penuh biadap dan jahat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 25 surah al-Anfal :
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan takutlah kamu kepada siksaan yang tidak diturunkan khusus terhadap orang-orang yang zalim di antara kamu sahaja. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya
Pelbagai fitnah dan musibah berbentuk kerosakan aqidah, kerosakan akhlak, peningkatan jenayah, merebaknya penyakit merbahaya akibat daripada kegagalan umat Islam dalam memahami dan melaksanakan cara hidup Islam dalam kehidupan. Kes selsema babi yang terus meningkat akibat kecuaian dan kedegilan setengah pihak seperti dakwaan kurang tegasnya dalam melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap pelancong yang datang kerana tidak mahu menjejaskan industri pelancongan negara. Akibat mahu menjaga pelancong maka nyawa rakyat menjadi taruhan. Begitu juga kedegilan penternak babi terutama yang bukan sahaja tidak mempunyai lesen kebenaran malah memelihara babi lebih daripada permintaan setempat yang menyebabkan masyarakat terdedah kepada penyakit yang merbahaya ini. Kes ini turut mengganggu pengajian akibat beberapa sekolah terpaksa ditutup malah kerja guru besar semakin bertambah kerana terpaksa dibebankan untuk memeriksa kesihatan pelajar dari masa ke semasa. Kita bimbang selepas ini doktor dan jururawat terpaksa di tempatkan di sekolah-sekolah bagi memeriksa kesihatan setiap hari. Orang lain bawa penyakit, orang lain pula yang terpaksa memikul bebannya. Ketika membaca cara-cara untuk menghindar daripada penyakit selsema babi seperti sentiasa membasuh tangan dan memasuk air ke rongga hidung supaya kuman-kuman keluar maka kita dapati betapa indahnya ajaran Islam yang mewajibkan kita mengambil air sembahyang setiap kali mahu solat lima waktu. Oleh itu sesiapa yang menjaga solat lima waktu dan suka berwudhu’ insya Allah akan dijauhkan daripada penyakit selsema babi. Sebagaimana kita pernah terbaca bagaimana perempuan yang sentiasa bertudung akan dijauhkan daripada penyakit rambut, kulit kepala dan sebagainya. Begitu juga umat yang sentiasa menutup auratnya insya Allah akan terhindar daripada penyakit kanser kulit yang merbahaya akibat terkena cahaya matahari seperti dicatatkan pada tahun 1998 sahaja seramai 2000 wanita di Amerika Syarikat mati akibat kanser kulit. Setiap arahan Allah ada hikmatnya yang tersendiri untuk kebaikan dan manfaat kita di dunia apatah lagi di akhirat. Islamlah nescaya kita hebat dan sihat. Firman Allah dalam ayat 81 surah an-Nahlu:
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Umat Islam mesti serius dan bersungguh dalam mengembalikan sistem Islam dalam menangani pelbagai masalah bermula dari Aqidah sehiggalah akhlak yang semakin parah. Kita tertarik dengan cadangan Mufti Negeri Kelantan beberapa bulan lepas supaya dilaksanakan hukum takzir sebat di khalayak ramai bagi jenayah yang tidak besar supaya penjara tidak sesak dan kos menjaga penjenayah tidak terus meningkat disamping kes-kes ini diselesai dengan berkesan dan cepat tanpa menghalang penjenayah untuk menjalankan tugasan harian selepas itu. Begitu juga cadangan menteri agama minggu lepas di Dewan Negara supaya dilaksanakan hukum hudud bagi menangani masalah ragut di mana cadangan ini mestilah benar-benar serius bukannya untuk mencari publisiti murah. Sudah tiba masanya ditubuhkan jawatankuasa khusus dalam menggubal hukum hudud peringkat pusat sebagaimana pernah dibuat oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu sebelum ini. Sukatan pengajian berkenaan sistem perundangan Islam wajib diperkasakan disemua peringkat pengajian dari sekolah hingga universiti dalam memberi kefahaman mendalam berkenaan sistem Islam. Pilihlah samada laksana Islam dan kita dapat bahagia atau pun biarkan sistem Islam dipenjara sehingga kita bertambah derita. Pilihlah antara Islam sebagai ubat mujarrab dalam menyelesaikan pelbagai masalah atau lebih rela berhukum dengan sistem jahilah yang merupakan racun berbisa yang pasti menambahkan penyakit yang sedia ada
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 3 Julai 2009

Islam DiSanjung Umat Bertamadun

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Rom :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Kita sebagai umat yang beriman wajib mengakui bahawa setiap bencana yang berlaku di atas muka bumi ini merupakan ujian Allah bagi menguji tahap keimanan umat manusia atau pun pembalasan daripada Allah bagi menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada umat manusia yang selama ini sering melakukan penderhakaan terhadap Allah disamping amaran bagi segelintir manusia yang merosakkan bumi Allah tanpa memikirkan keselamatan orang lain supaya segera menghentikannya. Hari ini dunia sedang bercakap tentang serangan penyakit selsema babi yang membimbangkan sehingga mengganggu industri pelancongan di mana menurut laporan, tempahan menginap di hotel telah mengalami penurunan penempahan sebanyak 10 peratus. Malah, penularan wabak ini turut menghempap kepada sektor makanan dan pengangkutan. Di seluruh dunia, jumlah kes jangkitan selsema babi sehingga kini sudah menjangkiti 53,110 orang di 99 negara dan membunuh 232 nyawa. Manakala dalam negara pula mencatat jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 91 kes iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan dengan peningkatan mendadak 400 peratus dalam masa seminggu disamping 4 buah sekolah ditutup. Semua ini mengajar umat manusia untuk mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah yang tidak mampu disekat oleh manusia. Malangnya walau pun kes selsema babi semakin meningkat namun industri penternakan babi terus dipertahankan seolah-olah dunia sudah dibeli oleh kapitalis penternak babi tidak sebagaimana menangani masalah selsema burung, lembu gila, penyakit kuku dan mulut yang kebanyakannya diambil tindakan segera dengan membunuh binatang tersebut. Bila manusia lebih rela membela penyakit maka masalah makin parah dan penderitaan makin bertambah. Demi menjaga keuntungan setengah pihak maka rakyat dibiarkan menderita. Oleh itu di dalam berdepan dengan serangan penyakit yang merbahaya ini kita meminta agar kerajaan menghapuskan segala punca penyakit ini disamping kita mesti memperbanyakkan solat hajat dan berdoa agar dihindarkan daripada musibah ini

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Mimbar Jumaat hari ini juga mengajak seluruh umat Islam yang bermaruah untuk sama-sama mengutuk dan mengecam laporan jahat dan biadap yang dikeluarkan oleh International Crisis Group (ICG) yang beribu pejabat di Belgium yang menuduh sekolah pondok telah dijadikan tempat melahirkan pemberontak di Selatan Thai berikutan kumpulan pemisah menggunakan pondok untuk merekrut dan melatih remaja Muslim. Ketika umat Islam dibunuh dengan kejam termasuk ditembak ketika sedang solat berjemaah di dalam masjid, masih ada lagi musuh Islam yang cuba menimbulkan sikap anti-Islam. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, kita mendesak agar pemimpin negara memainkan peranan penting dalam menekan kerajaan Thailand supaya menarik balik 30 ribu tentera di Selatan Thailand disamping menamatkan perintah darurat yang memberikan kuasa kepada pihak tentera untuk menahan penduduk yang majoritinya Islam tanpa sebarang dakwaan. Kita tidak mahu isu saudara seagama dibunuh sesuka hati dibiarkan begitu sahaja sehingga kita berasa kecewa apabila Parlimen menolak untuk membincangkannya baru-baru ini

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah ,
قَالَ الرَّسُوْلُ  : لاتَقُوْمَ السَّاعّةُ حَتَّى يَكُوْنَ الوَلَدُ غَيْظًا وَالمَطَرُ قَيْظًا وَيفِيْضَ اللِّئَامِ فَيْضًا وَيَغِيْضَ الكِرَامِ غَيْضًا وَيَجْتَرِئ َالصَّغِيْرُ عَلَى الكَبِيْرِ وَاللَّئِيْمِ عَلَى الكَرِيْمِ - رواه الطبراني فى الأوسط
Maksudnya : Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik
Kita telah beberapa hari berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang gambaran dunia dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada diri nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang yang terlalu tua iaitu dunia ini terlalu hampir dengan saat kehancurannya yang dipanggil Qiamat. Pelbagai tanda Qiamat samada kecil dan besar telah berlaku di zaman kita ini termasuk cuaca yang begitu panas dan merbahaya di samping masalah sosial dan jenayah yang begitu teruk bermula dalam keluarga, masyarakat kampung sehinggalah negara. Masalah dadah yang semakin runcing sehingga hampir setiap rumah ada yang terlibat dengan jenayah ini sehingga bukan sedikit wang rakyat dihabiskan untuk mengubati penyakit yang telah parah ini. Bila pusat serenti bukan sahaja penuh malah tidak lagi mampu menampung penagih tegar ditambah dengan beberapa rusuhan yang terbaru di mana 500 orang penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor sehingga ada pelatih yang lari dan berapa banyak harta awam musnah. Ini antara gambaran bila manusia kosong hatinya daripada makanan rohani akibat negara diserang dengan hiburan melampau dan kehidupan yang jauh daripada panduan agama. Oleh itu system pendidikan agama bermula daripada keluarga, sekolah, pusat pengajian tinggi dan seterusnya apabila telah bekerja wajib diperkasakan supaya hati rohani rakyat tidak mati. Kita begitu bimbang apabila system pendidikan negara hari ini lebih menekan kepada keduniaan dari segi teori dan praktikal dengan menjadikan pendidikan agama hanya pelengkap jadual sahaja. Akhirnya dari segi kecemerlangan akademik, universiti negara kita jatuh tercorot berbanding Universiti Chulalongkon, Thailand apatah lagi universiti Singapura dan Indonesia. Begitu juga pendidikan peringkat rendah yang turut menjunam prestasinya sehingga hanya tinggi sedikit daripada Papua New Guinea. Ke mana sebenarnya arah tuju pendidikan negara yang nampaknya gagal dari segi dunia apatah lagi agama. Jangan asyik memuja Bahasa Inggeris sehingga gejala liberalisasi beragama, sekularisme yang menimpa umat Islam adalah majoriti daripada kelompok yang pro kepada pendidikan ala Inggeris dan pendidikan berteraskan bahasa berkenaan sedangkan bahasa Melayu telah lama dipakejkan dengan nilai Islam sejajar juga dengan perkembangan tulisan jawi yang menggantikan tulisan Pallava Sanskrit. Berubahlah kepada Islam agar dunia hebat, akhirat dapat.

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Bulan Rejab dijadikan Bulan Sembahyang oleh Kerajaan Kelantan semenjak beberapa tahun yang lepas bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa peri pentingnya solat dalam mencapai kecemerlangan dunia akhirat. Oleh itu betapa pentingnya peranan sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar sekolah, universiti dan pegawai serta pekerja yang sentiasa menjaga solat 5 waktu. Kita menyokong usaha Kerajaan Kelantan yang berusaha memastikan antara syarat penerimaan bekerja dan kenaikan pangkat menjadikan solat sebagai antara syarat kelayakannya disamping cuba meminda perundangan bagi membolehkan rakyat yang meninggal solat boleh dijatuhkan hukuman berat. Kita juga mendesak agar kerajaan pusat menjadikan program seperti Biro Tatanegara (BTN) untuk melahirkan pegawai dan pekerja yang jaga solat, jauhi rasuah dan amalan buruk yang lain tidak sebagaimana sebelum ini yang diguna untuk memuja pemimpin dan meniup semangat perlkauman sempit yang bertujuan menjaga kedudukan pemimpin. Begitu juga modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mesti dikemaskan dari sudut pengisian agama dan pengambilan hendaklah kepada remaja bermasalah seperti masalah disiplin di sekolah, tinggal solat, rempit dan sebagainya tidak sebagaimana hari ini di mana kadang-kadang pengisian agama diganti dengan tarian dan sebagainya. Jangan biarkan wang negara dibazirkan untuk merosakkan lagi rakyat sebaliknya gunakanlah untuk mengisi rohani rakyat yang gersang daripada agama.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut :
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hati Rosak Punca Islam DiTolak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 258 surah al-Baqarah :
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim
Perbezaan antara hak dan batil begitu terang, percanggahan antara iman dan kufur begitu jelas, pertembungan antara Islam dan jahiliah begitu ketara. Pejuang Islam termasuk golongan nabi dan rasul sentiasa berdepan dengan musuh Islam yang menolak kebenaran walau pun pelbagai hujah dan dalil dikemukakan. Akibat hati yang rosak dipenuhi penyakit takabbur serta ditutup daripada menerima hidayah Allah maka kebenaran ditolak, kesesatan dipertahankan. Pada zaman nabi Ibrahim, ramai kalangan umatnya termasuk bapanya sendiri Azar menyembah berhala sehingga nabi Ibrahim begitu bersungguh-sungguh berhujah dengan mereka agar meninggalkan perbuatan syirik yang merugikan itu. Kekuatan hujah kebenaran Islam tidak mampu dilawan oleh golongan yang menentang Islam tetapi golongan yang kufur pada Allah akan menggunakan kekerasan walau pun mereka tahu mereka kalah dan bersalah. Begitulah nasib yang menimpa nabi Ibrahim yang dibakar dalam api oleh Namrud dan pengikutnya tetapi Allah tetap membantu nabiNya dan dakwah Islam. Kita pada ini yang berjuang Islam terus berdepan dengan pemimpin dan golongan yang tidak yakin dengan Islam. Mereka tidak menyembah berhala tetapi menyembah system ciptaan manusia dari pelbagai segi termasuk pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Apabila hujah golongan yang tidak yakin kepada system Islam ini dapat dipatahkan maka kekerasan digunakan termasuk ISA, ugutan, buang kerja dan sebagainya. Begitu juga dalam mempertahankan kuasa yang dimiliki maka pelbagai cara yang bercanggah dengan demokrasi apatah lagi Islam digunakan semaksima yang mungkin sehingga mandat rakyat dicabuli, undang-undang rimba disanjungi. Tidak pelik bila undang-undang Allah pun berani dilanggar apatah lagi undang-undang ciptaan manusia yang boleh dipermain sesuka hati

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam surah al-Ghafir ayat 23 - 24
ولقد أرسلنا موسى بئايـتنا وسلطن مبين إلى فرعون وهـمـن وقـرون فقالوا سـحر كذاب
Maksudnya : Sesungguhnya telah Kami utuskan nabi Musa dengan membawa keterangan Kami dan dalil yang nyata kepada Firaun, Haman dan Qarun lalu mereka berkata : “ Ini ahli sihir lagi pendusta”.
Perjuangan nabi Musa a.s pula menyaksikan bagaimana baginda terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah sehingga dia sanggup melawan Allah tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah berpunca daripada hati yang rosak bertindak memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu-padu yang akan menentangnya di kemudian hari. Menurut catatan Ibnu Kathir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki daripada kalangan bani Israel demi memastikan survival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan menggulingkannya. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Pemimpin jenis ini gemar mengapi-apikan isu perkauman bagi menjaga kepentingan diri sendiri serta menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah sistem demokrasi itu sendiri demi memastikan kuasa politiknya tidak tergugat. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 79 - 80 surah al-Qosas :
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
Maksudnya : Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar
Firaun dibantu oleh Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Firaun turut dibantu oleh Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal system pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, kongsi gelap dan sebagainya. Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Masad :
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ
Maksudnya : Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal
Perjuangan nabi Muhammad s.a.w sendiri terpaksa berdepan dengan manusia yang rosak hati termasuk bapa saudaranya sendiri Abu Lahab bersama isterinya. Walau pun merupakan antara ahli keluarga yang paling gembira ketika menyambut kelahiran nabi Muhammad s.a.w sehingga menyembelih banyak ekor unta dan memerdekakan hambanya Suwaibah namun apabila nabi mula menyatakan dakwah Islam maka Abu Lahab merupakan penentang utama kepada dakwah suci itu. Sehingga mati dia bersama isterinya sentiasa mencari jalan bagi menjauhkan umat manusia daripada menerima dakwah nabi. Kebanyakan hartanya digunakan bagi menentang perjuangan Islam. Oleh itu kita mesti menjauhkan diri daripada menjadi manusia yang rosak hati di mana hanya seronok menyebut tentang kemuliaan nabi Muhammad s.a.w tetapi menentang sunnah dan sistem Islam yang dibawanya. Islam tidak akan berjaya hanya sekadar menyebut tetapi wajib diikut
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ